Sheikh Muszaphar, Faiz layak wakili negara


Dr. Sheikh Muszaphar Shukor (kiri) dan Dr. Faiz Khaleed.
ROZAMAN ISMAIL dan HELMI MOHD FOAD

PUTRAJAYA 24 Sept. – Malaysia melakar satu lagi sejarah sebelum menyertai kumpulan eksklusif negara yang menerokai angkasa lepas apabila kedua-dua calon angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr. Faiz Khaleed disahkan lulus semua ujian dengan cemerlang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan, kedua-duanya layak mengikuti misi pertama negara ke angkasa lepas pada 10 Oktober ini dengan pemilihan terakhir akan dibuat pada hari berkenaan.

Ini bermakna salah seorang daripada dua calon tersebut berpeluang menjadi angkasawan pertama negara apabila kapal angkasa Soyuz 15-S berlepas dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan dua minggu lagi.

Angkasawan yang bakal dipilih untuk ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) itu akan ditentukan oleh pihak Rusia pada saat-saat akhir, kata Perdana Menteri dalam pengumuman khas di pejabatnya di sini tengah hari ini.

Majlis pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi radio dan televisyen.

Menurut Abdullah, Sheikh Muszaphar ditempatkan dalam kumpulan krew pertama untuk misi Soyuz 15-S manakala Faiz menganggotai kumpulan krew kedua.

“Kerajaan amat berbangga kerana Lembaga Penetapan Krew mengiktiraf bahawa kedua-dua calon angkasawan negara telah lulus dengan cemerlang dan mereka layak untuk mewakili Malaysia bagi misi pertama negara ke angkasa lepas.

“Segala perubahan terakhir dalam pemilihan calon yang akan mengikuti misi ini akan ditentukan oleh pihak Rusia kelak. Proses ini perlu bagi memastikan misi berjalan dengan lancar dan jaya,” katanya.

Turut hadir ketika pengumuman itu dibuat ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis dan Pengerusi Jawatankuasa Panel Pemilihan Angkasawan Negara, Tun Hanif Omar. Perdana Menteri memberitahu, jawatankuasa panel pemilihan telah membuat perakuan berasaskan kepada mesyuarat jawatankuasa kerja Lembaga Antara Kerajaan Rusia dan juga laporan akhir penilaian persediaan misi Soyuz 15-S oleh Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roskosmos).

Selain Sheikh Muszaphar, 35, pegawai perubatan dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), pihak berkuasa angkasa lepas Rusia mencadangkan kumpulan krew pertama untuk misi Soyuz 15-S dianggotai oleh Yuri Malechenko dari Rusia dan Peggy Whitson dari Amerika Syarikat (AS).

Kumpulan krew kedua pula terdiri daripada Sharizan Sharipov dari Rusia dan Michael Fincke dari AS selain Faiz, 27, yang merupakan seorang doktor gigi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kedua-dua kumpulan krew itu akan berada di Baikonur Cosmodrome mulai Jumaat ini sebelum pelancaran yang dijadualkan pada 10 Oktober ini iaitu tiga hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Berdasarkan pencapaian kedua-dua calon angkasawan itu, kata Perdana Menteri, negara berjaya melahirkan dua anak Malaysia yang boleh mengikuti misi ke angkasa lepas pada bila-bila masa mereka diperlukan serta diberi pengiktirafan oleh badan latihan angkasawan antarabangsa.

“Bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, saya mengucapkan selamat maju jaya dan saya berdoa agar misi ini akan berjalan sebagaimana yang dirancangkan dengan selamat dan jayanya,” kata beliau.

Angkasawan Malaysia yang terpilih bakal berada di ISS selama sembilan hari sebelum pulang ke bumi bersama angkasawan-angkasawan lain yang kini telah pun berada di ISS yang terletak di orbit kira-kira 333 kilometer dari muka bumi.

Di ISS, Sheikh Muszaphar atau Faiz akan menjalankan tiga eksperimen berkaitan sel barah, bakteria dan pengkristalan protein.

Program angkasawan negara itu merupakan persetujuan timbal balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Rusia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

Sheikh Muszaphar dan Faiz merupakan dua calon terakhir daripada 11,275 rakyat Malaysia yang memohon menjadi angkasawan pertama negara ketika tawaran dibuka pada 2003.

0 comments: