Adik Muszaphar meninggal dunia

PETALING JAYA 27 Okt. – Adik kepada angkasawan pertama negara, Sheikh Mustafa Shukor Al Masrie, 32, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini petang ini selepas berada dalam koma sejak seminggu lalu.

Anak keempat daripada lima beradik itu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan selepas jatuh pengsan akibat terlanggar tiang ketika memasuki sebuah restoran di Jalan Klang Lama di sini, Ahad lalu.

Anggota keluarga terdekat termasuk isteri, Hayati Retha, 29, dan dua anaknya, Sheikh Aiman Shukor, 3, serta Siti Balkish, 1, berada di sisi Allahyarham ketika menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6 petang.

Hayati yang kelihatan sering menitiskan air mata tidak mampu untuk berkata-kata, dan setiap pertanyaan pemberita hanya disambut dengan esakan.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dikapan di PPUM dan akan disembahyangkan di kediamannya di Seksyen 12, di sini sebelum dikebumikan di Makam Tuan Haji Said, Seremban sebelum solat Zohor, esok.

Suasana pilu menyelubungi keluarga angkasawan pertama itu apabila jenazah Allahyarham tiba di perkarangan rumahnya kira-kira pukul 8.20 malam ini.

Sementara itu, bapa Allahyarham, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor memberitahu, berita mengenai anaknya dimasukkan ke hospital itu dirahsiakan oleh ahli keluarga kerana khuatir mengganggu pemikiran dan kesihatan beliau yang berada di Moscow, Rusia.

Sejurus mendengar berita itu, beliau dan isterinya, Datin Zuraida Sheikh Ahmad bergegas pulang ke Malaysia, kelmarin.

“Seorang anak saya pulang selepas mencipta nama manakala seorang lagi kembali ke rahmatullah,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini hari ini.

Tambahnya, Allahyarham begitu teruja menunggu kepulangan abangnya, Sheikh Muszaphar sehingga dia mempunyai perancangan tersendiri untuk menyambut kepulangan angkasawan pertama Malaysia itu.

“Kalau tengok bilik arwah penuh dengan gambar Dr. Sheikh Muszaphar,’’ ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menziarahi jenazah.

Pada perkembangan yang sama, Sheikh Muszaphar dibenarkan menamatkan tempoh kuarantin di Rusia lebih awal untuk menghadiri pengkebumian adiknya, Sheikh Mustafa Shukor Al Masrie yang meninggal dunia hari ini.

Beliau dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.45 pagi esok.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, beliau telah meminta bantuan Kedutaan Malaysia di Moscow bagi menguruskan kepulangan Sheikh Muszaphar Shukor.

“Saya sendiri bercakap dengan Sheikh Muszaphar melalui telefon semalam dan daripada nada suaranya, dia kedengaran tabah dan tenang menerima berita bahawa adiknya tenat sebelum ini.

“Dia memang mengikuti perkembangan adiknya dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

0 comments: