Lelaki Indonesia Rogol Wartawan Direman Seminggu Lagi

IPOH, 25 Sept (Bernama) -- Polis hari ini mendapatkan perintah untuk menyambung tempoh reman terhadap seorang lelaki warga Indonesia yang didakwa merogol seorang wartawan dari negara berkenaan bagi tempoh seminggu lagi bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Supt Zakaria Pagan berkata lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu sebelum ini direman pada 17 September lepas bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut daripada pelbagai aspek berkenaan kes itu.

"Perintah sambung reman terhadap lelaki yang merupakan seorang buruh binaan itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar dan suspek itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian itu wartawan wanita dari Indonesia yang berhasrat untuk membuat laporan khas mengenai isu penderaan dan penindasan pekerja republik itu di negara ini musnah sama sekali apabila dia menjadi mangsa rogol dan keganasan rakan senegaranya sendiri.

Wartawan sebuah majalah wanita yang berpangkalan di Wilayah Kalimantan Utara itu pada mulanya mahu melakukan penyamaran bagi menyediakan satu laporan berbentuk penyiasatan mengenai isu tersebut.

Bagaimanapun, baru dua hari wartawan berusia 34 tahun itu menjejakkan kaki di negara ini, dia sendiri terpedaya oleh seorang lelaki warga Indonesia berusia 50-an yang berjanji untuk memberi maklumat mengenai isu tersebut.

Polis yang menerima maklumat daripada orang ramai mengenai kejadian itu telah menyerbu tempat kejadian iaitu di sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan di Liman Kati, Kuala Kangsar dan berjaya menahan suspek.

-- BERNAMA

0 comments: