Showing posts with label Satu Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Satu Malaysia. Show all posts
Minda Pengarang: Konsep 1Malaysia rapatkan hubungan antara kaum


KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung tanggapan keliru mengenai konsep 1Malaysia yang diperkenalkannya sebaik mengambil alih kepemimpinan kerajaan perlu diberi perhatian serius. Kita sedar konsep itu mengundang pelbagai pandangan dan polemik berterusan kerana ia sesuatu yang baru. Usaha Najib mengusulkan konsep membentuk satu bangsa Malaysia yang sejahtera dan makmur melangkaui tahap toleransi yang diterima umum selama ini tentunya berdepan dengan pelbagai pandangan berbeza kerana masing-masing pihak boleh bersuara berlandaskan demokrasi. Jadi tidak hairanlah, rakyat masih kabur dengan hala tuju yang ingin diketengahkan itu sebagai kesinambungan daripada dasar yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini, yang memacu kesejahteraan, kemajuan dan pembangunan negara sejak lebih setengah abad lalu. Namun, seperti yang dikatakan Perdana Menteri sebelum ini, pengisian konsep 1Malaysia akan melalui proses evolusi bukan revolusi bagi membolehkan rakyat memahami, menghayati dan bergerak ke arah matlamat yang ditetapkan. Sebagai rakyat berbilang kaum, setiap pihak berusaha untuk mempertahankan haknya supaya tidak terhakis. Jadi jaminan kerajaan untuk tidak mengetepikan peruntukan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan membabitkan soal bahasa, agama dan hak keistimewaan selain kontrak sosial yang selama ini menjadi pegangan semua rakyat, wajar dihargai.

Kita yakin tiada pihak akan rugi dalam pelaksanaan konsep ini kerana ia proses yang cukup panjang untuk mencapai cita-cita negara bangsa yang kita idamkan yang melangkaui batas ras dan etnik. Kemakmuran negara bergantung kepada keutuhan perpaduan 27 juta rakyat pelbagai kaum yang hampir setengah abad berjaya memacu Malaysia ke persada antarabangsa. Itulah kekuatan kita sebenarnya dan kini selepas 50 tahun merdeka, kita perlu menggerakkan semula konsep baru bagi memantapkan hubungan kaum, yang kebelakangan ini dilihat tercalar. Melalui konsep 1Malaysia, kerajaan cuba merapatkan kembali hubungan kaum yang renggang dan jika tidak ditautkan kembali ia boleh mencetuskan masalah besar pada masa depan. Usaha untuk menyatukan rakyat wajar dimulakan sekarang, perlu diberi kefahaman mencukupi supaya rakyat sedar akan kewajaran tindakan kerajaan itu. Dalam pada itu, rakyat pula janganlah terlalu mendesak kerajaan supaya memenuhi tuntutan mereka saja sehingga menyebabkan pihak lain berasakan hak mereka terhakis. Malah, peringatan Najib supaya rakyat tidak menyalahgunakan konsep 1Malaysia dengan membuat tuntutan keterlaluan dan desakan tidak munasabah adalah tepat bagi mengelakkan masalah lebih besar timbul. Bagi kita dialog dan perbincangan antara pemimpin kaum dan agama, selain ahli akademik perlu diteruskan dari semasa ke semasa bagi mencari formula terbaik dalam melaksanakan konsep berkenaan. Perbincangan yang dijalankan perlu mengambil kira semua aspek dengan memberi perhatian khusus kepada pengalaman lalu sehingga membolehkan Malaysia mempertahankan kemakmurannya. Bertitik tolak daripada itu, perbincangan yang dijalankan dapat melalui proses musyawarah yang tertib supaya semua pihak berasakan mereka terbabit dalam menentukan masa depan negara.
Menilai konsep 1 Malaysia


Noordin (dua dari kiri) memberi pandangannya sambil diperhatikan oleh Norizan (kiri), Rahim dan Chamil di Kolokium 1 Malaysia anjuran Gabungan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) di Kuala Lumpur.


Konsep 1 Malaysia yang dipelopori oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menjadi sebutan ramai, namun dalam masa yang sama banyak juga pihak masih belum memahaminya terutama dari segi kedudukan orang Melayu.

Berikutan itu, Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) dengan kerjasama Utusan Malaysia yang menjadi media rasmi menganjurkan Kolokium 1 Malaysia yang bertemakan ‘Hala Tuju Ekonomi Bumiputera’. Ia bertujuan bagi mendapatkan pandangan bagaimanakah kedudukan ekonomi bumiputera melalui konsep tersebut.

Selain itu, ia juga bagi memperjelaskan, apakah benar melalui konsep itu, kedudukan istimewa orang Melayu akan tergugat.

Majlis yang diadakan di Kuala Lumpur itu mengundang tiga ahli panel iaitu Pengerusi GABEM, Tan Sri Rahim Tamby Chik, Penganalisis Ekonomi, Mohd. Noordin Abbas dan Ketua Pegawai Eksekutif INMIND., NORIZAN SHARIF Moderator pula ialah Ketua Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya.

Dalam kolokium hampir 3 jam itu yang turut dihadiri oleh wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan MOHD.KHUZAIRI ISMAIL, ketiga-tiga ahli panel berkenaan mengupas cabaran ekonomi bumiputera melalui konsep 1 Malaysia tersebut.

Ke arah kemakmuran bersama

RAHIM: 1 Malaysia pada pandangan saya menerangkan tiga perkara. Pertama, mengenai hasrat kepimpinan untuk melihat perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity). Ini boleh dicapai kerana berdasarkan sejarah kita melalui Sejarah kesultanan Melayu Melaka 500 tahun lalu telah mempamerkan contoh terbaik.

Pemimpin negara ketika itu yang terdiri daripada orang Melayu dan bumiputera mampu mewujudkan satu masyarakat kosmopolitan. Sejarah negeri Melaka misalnya ketika itu mempunyai 25 bahasa dan 250,000 penduduk terdiri daripada pelbagai bangsa hidup secara harmonis 110 tahun. Ini adalah satu manifestasi dari perpaduan dalam kepelbagaian.

Ini berbeza dengan banyak negara lain seperti di Afrika dan negara Balkan contohnya yang mana walaupun berasal dari satu rumpun tetapi akibat beberapa perbezaan mereka saling menumpahkan darah antara satu sama lain.

Faktor kedua di bawah 1 Malaysia ialah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. Tidak akan wujud satu perpaduan atau satu Malaysia jika kaum-kaum tertentu tidak mempunyai tahap ekonomi yang saksama atau lompang yang jauh yang boleh menimbulkan kecemburuan atau sakit hati dan ragu-ragu antara kaum atau kumpulan tertentu. Oleh itu kita harus mencorak satu Malaysia menuju ke arah pencapaian matlamat dan kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

Matlamat ketiga ialah menghormati dan mengiktiraf hak setiap warga negara sebagai mana yang Perdana Menteri tekankan. Maknanya hak sesiapa pun asalkan dia seorang warga negara adalah tanggungjawab sesuai dengan Perlembagaan Malaysia sebagai asas pembinaan sistem kenegaraan. Kita menghormati hak sesiapa pun tetapi mesti berlandaskan keperluan Perlembagaan.

Oleh itu tiga perkara ini iaitu perpaduan dalam kepelbagaian, kesejahteraan dan kemakmuran bersama dan menghormati dan mengiktiraf hak setiap warga negara adalah asas untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia. Tanpa tiga perkara ini adalah sukar untuk kita menjadikan konsep ini satu kenyataan. Dalam erti kata lain konsep ini menjelmakan Malaysian patriotisme iaitu perasaan kasih, sayang dan cinta kepada negara.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah diwujudkan oleh Tun Abdul Razak pada tahun 70-an untuk membanteras kemiskinan serta menyusun semula masyarakat. Kita tahu dasar ini adalah relevan bukan untuk orang Melayu tetapi untuk semua kaum tetapi keutamaan untuk mereka yang berpendapatan rendah. Dasar ini telah berjaya memajukan negara kepada tahap yang tinggi dan memperbaiki kedudukan kaum Melayu melalui penguasaan ekuiti yang walaupun tidak tinggi tetapi ia tetap satu kejayaan.

1 Malaysia sebenarnya bertujuan untuk mengurangkan politiking, salah faham dan kebingungan yang berlaku ketika ini. Berasaskan sejarah ekonomi negara khusus kepada membela mereka yang berpendapatan rendah yang rata-ratanya bumiputera dan Melayu.

Hasrat membanteras kemiskinan dan menyusun semula masyarakat telah berjaya menjadi ukuran. Dari segi membanteras kemiskinan kita telah berjaya melakukannya dalam pelbagai bidang. Ini adalah hasil kejayaan banyak pihak termasuklah kepimpinan negara, pihak perkhidmatan awam, pihak swasta dan sebagainya.

Yang menjadi masalah kita ialah penyusunan semula masyarakat yang pada pandangan pucuk pimpinan negara akan menjadi asas untuk membekalkan keadilan dan keharmonian. Membanteras kemiskinan satu masalah dan menyusun semula masyarakat adalah usaha untuk memberikan kestabilan yang lebih kukuh kepada negara. Ini merupakan untung nasib mereka yang tinggal di negara ini dan rata-ratanya adalah bumiputera dan Melayu yang telah berjuang untuk dasar ini.

Namun pencapaian mereka masih tenggelam timbul dan tidak menentu malah sehingga sekarang masih ada persepsi bahawa tiada jaminan bahawa golongan ini akan dapat mencapai sasaran penguasaan ekuiti 30 peratus pada tahun 2020 nanti. Dari segi penyusunan semula ini masalah masyarakat berpendapatan rendah rata-ratanya bumiputera dan Melayu mesti diambil penyelesaian kognitif. Selain itu masalah dan cabaran yang dihadapi dalam usaha untuk menjayakan DEB ini ialah kita perlu menghasilkan kek ekonomi yang lebih berkembang untuk dikongsi bersama.

Pertama, perlunya pertumbuhan ekonomi yang memuaskan, keduanya sistem penyampaian kerajaan, ketiganya sikap dan paradigma di kalangan orang Melayu sama ada mereka mahu berubah atau masih mahu berada di takuk lama dan keempat ialah kerjasama yang rapat dengan masyarakat bukan bumiputera.

Pertama sekali, pertumbuhan ekonomi akan menentukan kejayaan kita menyusun semula masyarakat. Pada masa lalu kita bergantung sebahagian besar kepada perbelanjaan. Maknanya kita bergantung kepada peruntukan kerajaan pusat dan negeri. Perbelanjaan ini dibuat dan dilaksanakan mengikut program, aktiviti dan projek mengikut keperluan masyarakat berdasarkan beberapa panduan.

Usaha menyusun semula masyarakat dan pembangunan ekonomi negara sangat bergantung kepada keadaan ekonomi global. Keduanya ialah sistem penyampaian kerajaan maknanya perkhidmatan awam yang akan melaksanakan perancangan kepada kumpulan sasaran. Masih terdapat beberapa kelemahan dalam melihat sejauh mana sistem penyampaian ini berfungsi dalam melaksanakan aspirasi yang telah disasarkan.

Misalnya permasalahan yang kita laksanakan sekarang ini terdapat pegawai yang tidak melihat dasar ekonomi yang dilaksanakan adalah untuk rakyat jelata iaitu bumiputera dan bukan bumiputera. Terdapat mereka ini yang merasakan semangat kemelayuan yang berlebihan akhirnya operasi kementerian itu akan terhalang. Seharusnya kementerian atau GLC terbabit harus menumpukan kepada membantu rakyat yang berpendapatan rendah dan bukan menolong Melayu dan bumiputera sahaja.

Perkara ketiga ialah sikap dan paradigma masyarakat Melayu yang telah dibantu sejak dari tahun 70-an lagi namun masih ramai yang gagal. Sikap orang Melayu itu sendiri sama ada masih mahu menjadi kuda tunggangan dan kemudian berharap akan mendapat habuan lagi. Ini berkaitan dengan sikap dan paradigma kita mesti betul.

Yang terakhir ialah persediaan untuk bekerjasama rapat dengan masyarakat bukan bumiputera. Ini penting untuk memastikan penyusunan masyarakat adalah berjaya sejajar dengan konsep 1 Malaysia. Kita mahu melihat sikap yang lebih terbuka kerana dari segi fakta dan sejarah ekonomi dikuasai oleh bukan Melayu. Oleh itu dalam usaha kita memanjangkan DEB kita perlu bekerjasama dan berkongsi masa depan dengan mereka dari segi perkongsian politik, ekonomi dan sebagainya bersama-sama.

Perlu penjelasan elak salah faham

NORIZAN: Saya suka melihat 1 Malaysia itu dalam konteks ekonomi rakyat. Untuk melihat soal ini saya tertarik kepada apa yang ditulis dalam sebuah buku. Disebutkan kalau kita mahu menjadi hebat, kita tidak perlu banyak bercakap. Kita bagi sedikit pandangan, dan biarkan orang lain yang bercakap. Saya tidak pasti 1 Malaysia yang dilontarkan Perdana Menteri mengguna pakai pendekatan itu. Sebab slogan 1 Malaysia yang diumumkan pada 3 April lalu tanpa penjelasan lanjut. Bagaimanapun ada lapan ciri yang disebutkan iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.

Pada pandangan saya, ciri-ciri ini tidak ada hubungan antara satu sama lain atau bagaimana lapan ciri ini dicantumkan. Saya cuba kategorikan ciri-ciri ini kepada tiga. Iaitu Ketabahan, Rendah Hati dan Kesetiaan dalam satu kumpulan. Pendidikan dan Penerimaan pula dalam kumpulan kedua, manakala kelompok ketiga ialah Integriti, Kecemerlangan dan Meritokrasi.

Kalau ini boleh dikelompokkan begitu, mungkin ia membantu untuk boleh diterima. Kalau tidak lapan nilai itu, saya bimbang tidak bercantum hanya akan menjadi satu bentuk yang kita sebutkan sebagai nilai semata-mata. Saya bersetuju apabila disarankan perlu ada penjelasan yang jelas mengenainya. Sebab sehingga sekarang masih ada yang bercakap tentang Malaysian Malaysia seperti yang disebut pembangkang atau Malaysia First daripada DAP satu ketika dulu. Kita merasakan mampu untuk faham, tapi orang di luar sana mungkin tidak. Kebimbangan saya ialah 1 Malaysia ini tidak ditafsir dengan betul. Apa yang akan berlaku ialah orang bukan Melayu akan tafsirkan dengan dia sendiri dan mengharapkan dengan tafsiran itu. Sampai satu masa mereka merasakan harapan itu sebenarnya tidak kesampaian. Akhirnya rakyat merasakan mereka diberikan harapan yang sebenarnya bukan itu yang dimaksudkan. Maka tidak mustahil berlaku penolakan.

Saya rasa konsep itu diperbetulkan dulu supaya kita ada kefahaman yang sama dan saya setuju tempoh 48 hari masih belum terlambat jika ia mahu diperbetulkan. Saya nak sebutkan lima perkara kalau ditanya dalam konteks ekonomi rakyat. Bila kerajaan umum pakej rangsangan ekonomi, rakyat akan bertanya akhir sekali apa yang mereka dapat? Memang tidak dinafikan mereka dapat kelebihan itu, cuma mereka tidak rasa kerajaan bukan lagi bantu secara langsung. Jadi perkara ini perlu diberikan perhatian yang jelas. Saya melihat kepada lima perkara yang ingin disentuh.

Pertamanya, Perdana Menteri tunjukkan beliau akan perkenalkan satu dasar ekonomi baru yang pada saya adalah langkah yang wajar. Dalam membuat dasar itu perlu diberi perhatian kepada generasi muda X dan Y. Mereka sudah tidak mahu bercakap menggunakan perkataan bahasa Melayu sama seperti kita gunakan perkataan Red Indian di AS. Mereka tidak mahu orang Melayu itu dilihat sentiasa berada dalam reserve. Mereka mahu orang Melayu dilihat bangsa yang ke depan. Kalau itu keadaannya, saya melihat dalam konteks model baru ekonomi yang akan diperkenalkan Perdana Menteri nanti, kita harus membicarakan soal Melayu menjaga kepentingan melayu itu dalam kerangka agenda Malaysia. Bagaimana kita mahu melaksanakannya dalam kerangka itu.

Jurang ekonomi antara kaum sekarang makin mengecil tetapi masih belum mencapai tahap yang dikehendaki. Jadi apa yang kita buat sekarang bukan hanya bercakap soal merapatkan jurang, tapi bagaimana pakej yang sesuai dimasukkan ke dalam agenda itu.

Yang kedua, kita bercakap tentang ekonomi rakyat. Melayu mana yang dapat? Bila kita bercakap tentang Melayu kita akan fikir Melayu masih memerlukan tongkat. Saya rasa Melayu ini tidak boleh dikelompolkan dalam satu kumpulan. Melayu hari ini tidak lagi sama. Ada yang sudah jadi jutawan, berjaya di luar negara. Ada yang tinggal di bandar dan kampung. Sebab itu juga selepas 50 tahun negara merdeka dan pelbagai kumpulan Melayu ada, masih ramai yang beratur untuk masukkan anak ke sekolah MRSM atau UiTM. Saya rasa Melayu ini patut kita pisahkan.

Kedua-dua institusi itu bagi saya masih relevan, tapi untuk Melayu yang mana? Bagaimana kita nak keluarkan Melayu yang miskin itu. Orang tidak marah kalau anak petani atau orang kampung dibantu sepenuhnya walaupun mereka tidak cemerlang.

Ketiga, dalam bercakap pasal 1 Malaysia, seperti ada jurang di kalangan pemimpin politik khususnya UMNO dengan rakyat di bawah. Satu jurang yang mana cara kita melihat, pemahaman dan pendekatan. Tidak ada hubungan antara rakyat, orang Melayu dan parti politik. Mungkin sejak sekian lama kita bergantung kepada media tradisional, apabila datang media baru yang diraikan anak muda sebagai suara mereka, tidak berlaku interaksi antara kepimpinan politik untuk cuba memahami generasi X dan Y.

Keempat, saya tidak bersetuju MeCD (Kementerian Pembangunan Usahawan) dimansuhkan. Pada saya MeCD seharusnya menjadi sebuah agensi yang menyediakan peluang pekerjaan.

Kelima, pada pandangan saya, kalau ingin dimansuhkan, saya suka menyarankan Kementerian Pembangunan Wanita Dan Keluarga serta Kementerian Belia dan Sukan. Pendekatan pembangunan wanita dan belia itu seharusnya bersifat melangkaui sektor atau kementerian. Seharusnya, perlu ada satu suruhanjaya yang menyelaraskan semua program berkaitan wanita dan belia di setiap kementerian.

Bumiputera maju,bukan bumiputera untung

MOHD. NOORDIN: Terdapat banyak tafsiran mengenai pemahaman 1 Malaysia berdasarkan kepentingan tertentu. Maknanya komuniti bumiputera akan mentafsirkannya mengikut apa manfaat yang diperoleh. Begitu juga dengan kaum- kaum lain yang akan mentafsir berdasarkan kepentingan sendiri. Kita tidak boleh salahkan sesiapa kerana itu adalah sesuatu yang semula jadi untuk mentafsirkan apa-apa jua maksud 1 Malaysia berdasarkan kepentingan masing-masing. Bagaimanapun saya tertarik dengan hakikat bahawa 1 Malaysia itu berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Maka, kalau kita kupas dari sudut itu maknanya konsep itu sangat jelas dan ia harus menjadi sangat jelas. Penting bagi kita kaum bumiputera untuk berkongsi bagaimana 1 Malaysia itu patut ditafsirkan. Kita perlu faham dan kemudiannya menerangkan kepada komuniti bukan bumiputera bahawa inilah definisi sebenar 1 Malaysia. Pemahaman ini bagi saya sangat mudah. Apabila dikatakan berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan, bermakna hak bumiputera di bawah Perkara 153 itu tidak akan terjejas. Yang menjadi masalah ialah apabila terdapat perbezaan tafsiran ekoran persepsi yang berbeza.

Masalah pertama seperti ketika ini apabila negara sedang menghadapi satu situasi kelembapan ekonomi dunia yang turut mempengaruhi kelembapan ekonomi domestik. Ini menyebabkan meningkatnya rasa panik dan bimbang di kalangan rakyat, terutamanya mereka yang dalam kategori pendapatan sederhana dan rendah iaitu kumpulan bumiputera. Kerisauan itu menyebabkan mereka menjadi sangat possessive dalam mentafsirkan 1 Malaysia. Begitu juga dengan kaum bukan bumiputera yang turut bimbang dengan keadaan ekonomi. Definisi 1 Malaysia bukan bumiputera juga berteraskan kelembapan ekonomi yang mana ekonomi ketika ini banyak menjejaskan mereka kerana mereka menguasai kek ekonomi.

Dalam tekanan ekonomi itu dan ditambah dengan konsep 1 Malaysia yang dibentangkan, maka mereka juga berasa takut. Adakah mereka yang tengah sengsara dengan keadaan ekonomi akan juga sengsara berdasarkan tafsiran dan pelaksanaan 1 Malaysia itu. Jadi di sini kalau kita lihat, kaum bumiputera dan bukan bumiputera kedua-duanya risau. Maka mereka akan definisikan 1 Malaysia itu sebagaimana ia akan memberikan kelebihan kepada mereka. Justeru apa yang perlu dilakukan ialah dibuat satu pentafsiran yang jelas mengenai konsep 1 Malaysia supaya ia dilihat akan memberikan faedah kepada semua kaum.

Bagi kaum bumiputera apa yang dititikberatkan ialah hak kami tidak wajar dikompromi. Di kalangan kaum bukan bumiputera pula aktiviti ekonomi yang boleh mendatangkan keuntungan menjadi perhatian yang paling utama.

Apabila dikaitkan bahawa ekonomi dan politik tidak boleh dipisahkan maka mereka rasa perlu untuk pergi jauh dalam arena politik Malaysia. Saya suka mengingatkan bahawa disebabkan masalah ekonomi ini rata-rata rakyat dan komuniti berbeza berasa sangsi kerana sekarang ini ada retorik politik yang cuba memecahbelahkan kepelbagaian kaum di negara ini.

Saya tidak lari daripada hakikat bahawa kaum bukan bumiputera merupakan rakan kongsi bumiputera yang paling baik, bukannya mereka dari luar negara. Sebab kaum bumiputera lebih memahami kerana budaya kita secara asasnya sama sebab kita semua 1 Malaysia. Jadi salah tanggapan ini saya rasa harus kita tangani bersama.

Saya sedar komuniti bumiputera memang banyak hadapi cabaran yang hebat. Apabila komuniti perniagaan bumiputera cuba mendapat bantuan daripada GLC, bank atau syarikat-syarikat besar, penilaian pertama biasanya kurang memuaskan. Bagi saya, itu bukan salah GLC, bank atau syarikat gergasi tersebut, sebaliknya kita perlu membuat penilaian sendiri.

Kadang-kadang kesalahan kita ialah mencipta persepsi yang salah kepada orang luar, jadi apa yang perlu dilakukan ialah badan-badan bukan kerajaan bersatu berdepan dengan persepsi itu dan membawanya ke saluran yang betul. Kita berusaha untuk meningkatkan status ekonomi supaya lebih kuat untuk bersaing dengan kaum bukan bumiputera, bukan untuk menjadi berat sebelah dengan mereka.

Dalam perniagaan kita kena ambil cabaran untuk meningkatkan kemampuan supaya syarikat Malaysia mampu mencapai standard antarabangsa. Kadang-kadang kita rasa takut tanpa sebab. Kita takut untuk bercakap pasal hak kaum bumiputera kerana bimbang menyinggung perasaan kaum lain.

Kita perlu terangkan dengan betul dan benar bahawa kemajuan kita juga bersama dengan mereka yang mana semua pihak akan untung. Kaum bumiputera sebenarnya paling liberal dalam komuniti perniagaan. Kita letak retorik politik terutamanya yang cuba memecahbelahkan perpaduan ke tepi. Kita hormat dan percaya dengan kaum lain dan mereka pun faham dan hormat kaum bumiputera.

Tapi agak malang ketika ini dalam keadaan ekonomi yang gawat, maka tafsiran 1 Malaysia menjadi sangat cetek dan hanya untuk pastikan kepentingan kita dilindungi.

Saya melihat secara keseluruhan usahawan Melayu dan bumiputera, ada banyak syarikat yang bagus dan diberikan projek oleh kerajaan. Tapi mereka tidak melihat untuk pergi ke peringkat antarabangsa kerana merasakan sudah memadai dengan kekayaan daripada projek itu. Selepas beberapa tahun, secara lumrahnya kontrak projek itu diberikan pula kepada orang lain. Maka usahawan tadi ini akan jatuh.

Kerana itu saya lihat syarikat bumiputera yang diberikan kontrak perlu buktikan kepada kerajaan bahawa mereka mampu mengembangkan syarikat ke peringkat antarabangsa. Kaum bumiputera sebenarnya mampu dan kemampuan kita dalam perniagaan sama seperti kaum-kaum lain di dunia.

Sekolah perlu jadi acuan 1Belia, 1Malaysia

KONSEP 1Belia adalah konsep yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Tujuannya bagi membantu mencapai gagasan Satu Malaysia. Kini konsep 1Belia, 1Malaysia adalah antara gagasan yang penting di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri menegaskan bahawa pendekatan 1Belia, 1Malaysia adalah satu konsep yang perlu diterapkan dalam pergerakan belia di negara ini. Memang tepat sekali saranan itu bahawa 1Malaysia tidak akan menjadi kenyataan sekiranya belia tidak bersatu.

Jika belia tidak menunjukkan komitmen untuk bersatu, mencari persamaan biarpun berlainan bangsa, agama dan budaya, segala yang dibangunkan pada hari ini akan musnah akibat longgarnya jati diri, perpaduan dan semangat cinta kepada negara.

Oleh kerana masa depan negara sangat bergantung kepada generasi belia pada hari ini, saya merasakan bahawa konsep 1Belia, 1Malaysia perlu untuk diterapkan di peringkat sekolah lagi.

Sekolah perlu menjadi acuan dan landasan yang mampu melahirkan golongan belia yang bersatu dan bergerak seiringan aspirasi negara dengan mengetepikan perbezaan yang berdasarkan kepada bangsa dan agama.

Sekolah sebenarnya boleh menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi masa depan yang progresif dan seimbang serta menjadi kekuatan bangsa Malaysia.

Penerapan konsep 1Belia, 1Malaysia di peringkat sekolah boleh dilaksanakan dengan beberapa cara seperti pengukuhan pemahaman dan amalan konsep Rukun Negara; mengaktifkan persatuan-persatuan yang melibatkan kepelbagaian kaum dan agama, serta pengukuhan amalan-amalan murni seperti sifat hormat-menghormati dan saling bantu-membantu.

Jika kita boleh memastikan belia yang dianggarkan berjumlah 12 juta berkongsi wawasan yang serupa, ia akan menjadi kekuatan yang mampu memacu negara ke arah masa depan yang gemilang.

Penerapan konsep 1Belia, 1Malaysia di peringkat sekolah juga perlu menerima sentuhan secara langsung daripada Kementerian Pelajaran. Tidak mustahil bagi kementerian ini untuk merangka program-program yang seiringan dengan konsep tersebut, menyalurkan sumber yang diperlukan serta mewujudkan pegawai khas yang menyelaraskan program-program yang berkaitan di peringkat sekolah.

Sekiranya sekolah mampu memantapkan generasi belia daripada segi semangat cintakan negara, pembentukan karakter-karakter yang positif dan keinginan yang kuat untuk berpadu tenaga bagi membangunkan negara, nescaya apabila remaja tamat zaman persekolahan dan mencapai usia yang lebih dewasa, mereka akan mampu melihat rasional betapa pentingnya semangat setia kawan di kalangan kepelbagaian bangsa dan agama.

Adalah lebih mudah untuk mendidik dan mendedahkan kepentingan konsep 1Belia, 1Malaysia kepada golongan remaja. Golongan remaja lebih mudah dipupuk dan dibentuk serta lebih mudah menerima perubahan-perubahan.

Justeru, sangat sesuai sekali jika pembentukan sahsiah dan karakter remaja dapat dipupuk ketika berada di alam persekolahan lagi. Ini adalah kerana sekolah menyediakan persekitaran yang membolehkan berlakunya hubungan dan interaksi secara aktif.

Jika konsep 1Belia, 1Malaysia dapat diketengahkan dengan jelas kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya pelajar-pelajar sekolah, tidak mustahil negara akan dapat dipacu ke arah negara maju dalam erti kata yang sebenarnya.

Dengan perkataan lain konsep 1Belia, 1Malaysia mampu untuk membezakan aspirasi negara kita dengan lain-lain negara di Asia.

Konsep 1Belia, 1Malaysia mampu menyediakan ubat yang paling mujarab kepada penyakit-penyakit sosial terutamanya yang berkaitan dengan pergeseran sesama belia akibat perbezaan budaya, agama dan kaum.

DR. SHAIFUL ANNUAR KHALID,

Pensyarah Kanan,

Fakulti Pengurusan Perniagaan,

Universiti Teknologi Mara, Perlis
Satu Malaysia utamakan kepentingan nasional

Dr.Mohd Ridhuan tee


Seperti yang pernah dikatakan oleh Perdana Menteri, Sarawak dan Sabah adalah contoh satu Malaysia. Walaupun masing-masing mempunyai lebih daripada 30 etnik, tetapi semangat kesatuan mereka amat mantap berbanding Semenanjung yang hanya mempunyai tiga etnik iaitu Melayu (60 peratus), Cina (25 peratus), India (10 peratus) dan lain-lain 5 peratus, tetapi masih sukar untuk mencontohi Sabah dan Sarawak.

Persoalannya, kenapa? Jawapannya, di Sabah dan Sarawak, konsep satu Malaysia telah terpakai sekian lama, sejak mereka menyertai Malaysia. Penggunaan satu bahasa, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan begitu meluas. Justeru, tidak hairan penduduk Sabah dan Sarawak begitu fasih berbahasa Melayu. Bahasa telah menyatukan mereka. Bila pergi ke sana, kita agak sukar untuk membezakan mereka adalah Iban, Dayak, Murut atau Kadazan, kerana semua boleh berbahasa Melayu dengan baik.

Keadaan sebaliknya berlaku di Semenanjung. Walaupun kita hanya boleh berbangga dengan Tan Siew Sin dan Sambathan yang memahami sejarah. Mereka fasih berbahasa Melayu. Bahasa Melayu telah berperanan besar menyatukan pelbagai bangsa ketika itu. Namun, keadaan sudah berbeza hari ini. Semakin ramai yang berfikiran seperti Lee Kuan Yew dan Lim Kit Siang yang mahukan Malaysian Malaysia dilaksanakan. Pada mereka, satu Malaysia adalah sama rata-sama rasa. Tidak ada hak istimewa orang Melayu, bahasa lain (Cina) hendaklah setaraf dengan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, sekolah jenis kebangsaan mesti setara dengan sekolah kebangsaan, atas kata kunci fair and square. Mujurlah MCA, Gerakan dan MIC dapat sedikit memahami keadaan. Itupun terlalu sukar bagi UMNO untuk membuat mereka faham kerana mereka tidak dapat melihat atau sengaja pejamkan mata untuk melihat 'diskriminasi' tersebut dalam bentuk yang positif.

Dengan sebab itu, hari ini apabila bercakap soal satu Malaysia, bukan melayu tidak melihat kepada satu Malaysia yang bersandarkan kepada perlembagaan, mereka hanya mahukan satu Malaysia melaksanakan dasar fair and square. Tidak ada Dasar Ekonomi Baru (DEB), tidak ada hak istimewa orang Melayu dan sebagainya.

Persoalannya, kenapakah mereka langsung tidak bersuara soal, perlunya satu sekolah, satu bahasa dalam soal pembinaan negara bangsa? Kenapa bila Perdana Menteri sebut sahaja satu Malaysia, maka secara spontan mereka melatah bahawa satu Malaysia adalah sama rata dan sama rasa, apa jua yang berpihak kepada Melayu dan Islam mesti dihapuskan? Kenapa kita bincangkan tentang perlunya satu bahasa Melayu diperkasakan di sekolah jenis kebangsaan? Semua ini berlaku kerana sifat ultra kiasu atau sentiasa mahu menang telah lama terpahat dalam pemikiran mereka. Apa jua perkara dilihat tidak menguntungkan mereka, maka akan ditentang habis-habisan.

Saya rasa pelik, bila ada polisi kerajaan pusat yang menguntungkan maka akan disokong habis-habisan. Begitu juga bila ada polisi yang tidak menguntungkan akan ditentang habis-habisan. Bermakna, politik perkauman masih tebal. Kita hanya meletakkan kepentingan kaum di hadapan berbanding kepentingan nasional. Misalnya, isu siaran berita dalam bahasa Mandarin di RTM yang telah diubah daripada jam 8.00 malam kepada waktu yang lain. Sebelum inipun siaran berita bukan Melayu, bukan pada jam 8.00 malam, kemudian diubah kepada jam 8.00 malam. Bila Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan baru dilantik, maka siaran berita mandarin diubah kepada asal, yakni bukan jam 8.00 malam. Kita dapati, serta merta MCA, Gerakan dan DAP melompat dengan mengatakan ia adalah satu diskriminasi dan tidak adil. Persoalannya, adakah tindakan ini satu yang wajar, bertepatan dengan konsep satu Malaysia yang mahu mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi?

Begitu juga dalam isu kemasukan Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan Au Kam Wah, bekas pemimpin SAPP, ke dalam parti Gerakan. Secara cepat, Presiden Gerakan terus mengambil keputusan mencadangkan agar Datuk Raymond Tan dilantik sebagai Naib Presiden Gerakan, sebagai mewakili kepentingan masyarakat Cina di Sabah. Gerakan selama ini mengatakan bahawa mereka adalah parti untuk semua kaum. Tetapi tidak bertindak sedemikian apabila berkaitan kepentingan kaum Cina. Bermakna, Gerakan masih lagi parti cauvinis Cina bukannya untuk semua kaum seperti yang termaktub dalam perlembagaan mereka. Cuba presiden Gerakan kira berapa banyak parti politik di Sabah yang telah mewakili masyarakat Cina? Sepatutnya Gerakan perlu berkata bahawa perlantikan Datuk Raymond adalah untuk mewakili masyarakat Sabah secara keseluruhan. Inilah bentuk pemikiran satu Malaysia, dan bukannya terkongkong dalam kotak etnik sahaja. Saya tidak nafikan ada kumpulan tertentu dari kalangan orang Melayu juga berfikiran sedemikian.

Kita perlu memandang jauh ke hadapan bila bercakap soal pembinaan negara bangsa berasaskan kepada konsep satu Malaysia. Kepentingan etnik hendaklah diketepikan apabila berhadapan dengan kepentingan nasional.
Belia dan agenda Satu Malaysia

Oleh DR. SAMSUDIN A. RAHIM


HARI Belia diraikan pada 15 Mei setiap tahun. Pengiktirafan kepada belia adalah penting kerana golongan ini bukan sahaja generasi pewaris tetapi nadi dan indikator keadaan sesebuah negara. Maju atau mundur ekonomi negara, perubahan nilai dan budaya, struktur pekerjaan dan konsep kenegaraan dicerminkan oleh generasi belia.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk membangunkan belia di negara ini, masih banyak isu membabitkan belia diketengahkan. Antaranya ialah keterpinggiran belia dalam sektor ekonomi, salah laku sosial dan tahap perpaduan di kalangan belia pelbagai kaum.

Pendekatan dan pengisian pembangunan belia perlukan perubahan. Selaras dengan perubahan kepimpinan negara dan juga untuk mengatasi kelemahan pendekatan lalu perlu difikirkan pendekatan dan pengisian daripada perspektif baru.

Satu cabaran yang memerlukan perspektif baru adalah bagaimana program pembangunan belia dapat merealisasikan gagasan Satu Malaysia.

Walaupun perpaduan kaum sentiasa menjadi tunggak matlamat pembangunan negara tetapi setelah lebih 50 tahun merdeka, isu perpaduan masih lagi belum dapat diatasi sepenuhnya. Kebelakangan ini, ikatan perpaduan antara kaum kelihatan semakin rapuh.

Kajian oleh Social Science Research Center-Youthsay di kalangan 4,500 belia pada April lalu mendapati, 35 peratus menyatakan rakyat lebih berpecah dan tidak bersatu. Sementara 24 peratus menyatakan rakyat lebih bersatu dan 36 peratus merasakan tahap perpaduan seperti biasa sahaja. Sejumlah sembilan peratus tidak memberikan pendapat.

Kajian itu mendapati 88 peratus belia setuju agar kita kurang menekankan aspek kaum atau etnik dalam wacana seharian. Apabila ditanya tentang konsep Satu Malaysia, 61 peratus menyokong gagasan itu.

Bermula dengan masyarakat majmuk sewaktu mencapai kemerdekaan, kita memulakan proses asimilasi dan seterusnya menuju ke arah integrasi sebagai bangsa Malaysia.

Adalah sukar untuk menjadi satu bangsa yang bersatu jika rakyat tidak dibentuk dalam acuan yang benar-benar diperlukan oleh negara. Sudah tiba masanya program pembangunan belia menekankan aspek pembangunan kewarganegaraan.

Ia berkisar kepada empat kategori iaitu kewarganegaraan sosial, politik, budaya dan ekonomi bersesuaian dengan hak warganegara. Kewarganegaraan tidak hanya boleh dilihat sebagai keahlian seseorang dalam sesebuah negara berdasarkan status kelahiran mereka.

Kewarganegaraan tidak perlu terbatas dengan hubungan negara dan warganya. Sebaliknya ia memerlukan peranan aktif warga untuk membawa perubahan dalam pelbagai dimensi hidup.

Di England satu suruhanjaya Youth Citizenship Commission ditubuhkan pada 2007. Ia bertujuan meningkatkan keterlibatan belia dalam proses demokrasi, melaksanakan pendidikan kewarganegaraan di kalangan kumpulan terpinggir, menggalakkan warga aktif melalui kerja komuniti dan sukarela, serta bagaimana sistem politik boleh mencerminkan cita rasa generasi masa kini.

Negara-negara Kesatuan Eropah juga melancarkan kertas putih New Impetus for European Youth pada 2001. Ia bertujuan menggalakkan kewarganegaraan aktif di kalangan generasi belia. Ini bermaksud melibatkan belia dalam penggunaan kemahiran dan keupayaan sosial, kognitif dan budaya dalam proses membuat keputusan dan pendidikan kewarganegaraan.

Apa yang perhatikan, kebanyakan program pembangunan belia tertumpu kepada aktiviti riadah dan sukan untuk mengisi masa lapang. Memang diakui aktiviti itu penting untuk menjamin tahap kesihatan. Tetapi di manakah program pembangunan yang mendidik belia untuk menjadi warganegara aktif, berpengetahuan dan bertanggungjawab?

Secara umum, kewarganegaraan melibatkan tiga perkara iaitu identiti, rasa diterima dan juga keterlibatan.

Identiti berkait dengan siapa kita. Sukar untuk tentukan identiti fizikal kerana kita berasal daripada pelbagai kaum. Kita ibarat rojak. Tetapi yang menjadikan rojak itu sedap adalah sos petis yang menggarap pelbagai ramuan rojak menjadi satu.

Selain identiti nasional, kita juga boleh mewujudkan identiti budaya. Ia boleh mengambil kira nilai-nilai seperti budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.

Nilai-nilai Satu Malaysia boleh mewujudkan warganegara yang mempunyai karakter nasional.

Kewarganegaraan juga melibatkan rasa diterima oleh orang lain. Setiap belia perlu merasa mereka diterima oleh masyarakat, persatuan dan majikan. Aspek penting dalam membentuk kewarganegaraan adalah keterlibatan. Ia mesti aktif dan efektif bukan setakat status sebagai ahli sesebuah negara sahaja.

Indeks Belia Malaysia 2008 menunjukkan, tahap keterlibatan belia dalam berpersatuan dan juga sosial politik masih di tahap rendah. Begitu juga dengan skor mengenai identiti.

Walaupun jutaan ringgit dilabur untuk pelbagai program pembangunan belia tetapi pencapaian terhadap intipati pembangunan kewarganegaraan di kalangan belia masih rendah.

Kelemahan itu berlaku kerana program pembangunan belia tidak begitu fokus. Ia tidak mempunyai visi yang jelas untuk dicapai dalam konteks pembangunan negara.

Sementara itu, kita juga perlu mempunyai sistem pemantauan yang akan menilai keberkesanan setiap program melahirkan hasil yang diperlukan. Sistem itu perlu memantau pencapaian dalam tiga domain utama itu identiti, rasa diterima dan keterlibatan dalam empat dimensi kewarganegaraan iaitu politik, sosial, budaya dan ekonomi.

Daripada segi struktur pula, mekanisme program pembangunan belia perlu dirombak dan disusun semula.

Adakah kepelbagaian bentuk persatuan belia yang ada sekarang ini sesuai untuk mencapai matlamat gagasan Satu Malaysia? Kita perlukan kepelbagaian daripada segi bentuk program dan aktiviti yang merangkumi aspek politik, ekonomi, budaya dan sosial.

Usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan kapasiti keupayaan sistem penyampaian program pembangunan belia agar mereka boleh melakukan transformasi ke arah Satu Malaysia secara efektif.

Program pembangunan belia tidak boleh lagi dilaksanakan melalui persatuan berbentuk kaum. Sasaran program tidak semestinya terbatas kepada keahlian dalam persatuan dan mereka yang ingin turut serta sahaja.

Pendidikan kewarganegaraan melalui program pembangunan belia haruslah mengambil kira untuk menyampaikan maklumat dan mendidik belia mengenai cabaran dalam bidang pekerjaan, peluang-peluang memajukan diri untuk masa depan, meningkatkan kemahiran dan kapasiti diri, menghayati kualiti kehidupan berkeluarga yang baik dan sebagainya.

Perpaduan antara pelbagai kaum tidak akan tercapai sekiranya generasi belia masih lagi dibelenggu dengan masalah-masalah peribadi. Perpaduan kaum juga mungkin tidak akan tercapai jika kita tidak mempunyai warganegara yang berkualiti dan aktif menunaikan tanggungjawab mereka.

Gagasan Satu Malaysia boleh dicapai jika generasi belia berusaha berjuang untuk masa depan dengan ciri kewarganegaraan satu bangsa, satu bahasa dan satu negara.

PENULIS ialah adalah Profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia dan mantan Ketua Pengawai Eksekutif, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia
Gagasan PM ceriakan alam sekitar
Oleh Zaini Ujang

PEPATAH Melayu menyebut bersatu teguh, bercerai roboh. Demikian kepentingan perpaduan dalam sesebuah keluarga, masyarakat, organisasi dan sesebuah negara. Tanpa perpaduan sekurang-kurangnya dari segi aspirasi dan wawasan, maka kita tidak dapat bersaing, apatah lagi mengangkasa bangsa Malaysia untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara maju.

Itulah barangkali latar suasana sehingga menyebabkan Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan slogan ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ pada hari pelantikannya sebagai Perdana Menteri enam minggu lalu. ‘1Malaysia’ nampaknya sudah dikembangkan bukan sekadar slogan, malah menjadi gagasan mengenai perpaduan negara.

Dalam konteks Malaysia, isu perpaduan menjadi semakin rencam dan rumit disebabkan kepelbagaian kumpulan etnik dan agama. Kata perbidalan, banyak orang banyak ragam. Mahu tidak mahu, keragaman itu perlu dikembangkan secara positif dalam segala bidang sebagai suatu kepelbagaian yang mewarnakan pencapaian, bukan pertelingkahan apatah lagi permusuhan.

Dalam bidang pelestarian alam sekitar misalnya, gagasan 1Malaysia juga perlu dibina dan dihayati. Pada hemat saya, kesedaran dan komitmen untuk sama-sama berganding bahu melestarikan alam sekitar adalah satu aspirasi besar. Ketika ini aspirasi itu sudah bermula walaupun masih banyak ruang dipertingkatkan.

Dalam ruang pojok ini, saya sering menulis bahawa tahap kesedaran dan komitmen rakyat Malaysia memang sudah menyerlah tetapi perlu lebih menyeluruh ke tahap lebih tinggi. Buktinya, berdasarkan Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI) pada 2008, Malaysia berada pada kedudukan ke-26. Kedudukan itu lebih baik berbanding banyak negara maju seperti Amerika Syarikat, Belanda dan Australia disebabkan komitmen secara keseluruhan warga Malaysia khususnya dalam bidang keseimbangan ekosistem.

Hal sama juga ditunjukkan dari segi tapak ekologi global dengan 2.2 gha per kapita walaupun nilai itu lebih tinggi berbanding tapak ekologi lestari global pada tahap 1.9 gha per kapita (Global Fooprint Network, 2006). Pencapaian itu bergantung kepada komitmen warga Malaysia secara menyeluruh kepada pelestarian sejagat dan serantau.

Inisiatif perseorangan tidak banyak memberi kesan kepada keseimbangan ekosistem, apatah lagi untuk menjayakan gagasan besar seperti mengurangkan pemanasan suhu bumi dan pencemaran air. Di sinilah peranan gagasan 1Malaysia diperlukan. Pada hemat saya, 1Malaysia tidak boleh dibahas dalam konteks gagasan politik semata-mata untuk bersatu hati membina negara dan ‘menyejukkan’ iklim politik tempatan.

Malah, perlu juga diolah supaya turut berperanan menyejukkan iklim global dan menceriakan alam sekitar. Sehubungan itu, kita memerlukan sokongan dan komitmen setiap warga Malaysia untuk mengamalkan cara hidup lestari dalam setiap lapangan. Cara hidup lestari tidak akan terhasil jika minda tidak lestari.

Minda lestari bermakna memahami dan berusaha untuk menghayati nilai murni dan abadi mengenai kepentingan alam sekitar dan makhluk ciptaan Allah SWT yang hidup (biotik) atau sebaliknya (abiotik). Nilai berkenaan akan menjadi asas pemikiran untuk beramal dan komited memberi sumbangan dalam semua sektor supaya kepentingan sejagat, negara dan masyarakat lebih diutamakan, khususnya berkaitan dengan keseimbangan ekosistem.

Dalam sektor industri misalnya, 1Malaysia dihayati dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan proses penghasilan produk tidak mencemarkan alam sekitar yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan penduduk sekitar. Selain itu produk yang dihasilkan mestilah memenuhi ciri mesra alam supaya penggunaan sehinggalah pelupusannya tidak memudaratkan kesihatan awam.

Dari segi sosial, konsep 1Malaysia minda lestari boleh dihayati menerusi kerjasama penduduk setempat untuk bergotong-royong membersih kawasan supaya takungan air pembiakan nyamuk dimusnahkan, menanam pokok di sekitar kawasan perumahan, atau sekadar memastikan kawasan bersih tanpa sampah berserakan. Kerjasama ini nampak mudah dan santai tetapi besar kesan kepada keseimbangan ekosistem dan perpaduan masyarakat.

Selain itu, rakyat didahulukan dalam inisiatif pelestarian alam sekitar. Ketika ini banyak inisiatif dilaksanakan tetapi perlu dipertingkatkan secara berterusan dari segi kesihatan dan keselamatan awam, dan keseimbangan ekosistem. Hal ini ketara dalam kes membabitkan kelulusan projek pembinaan di tanah tinggi berisiko tinggi, perumahan awam di kawasan berisiko banjir dan guna tanah di kawasan tadahan air.

Selain itu, kepentingan rakyat juga perlu didahulukan dari segi rundingan tarif air dan tenaga elektrik yang mempunyai implikasi kepada penggunaan sumber asli yang juga perlu dilestarikan. Pada hemat saya, salah satu komitmen ‘rakyat didahulukan’ adalah dengan memperkenalkan cukai alam sekitar dalam pakej tarif air dan elektrik bagi memastikan tidak berlaku pembaziran dan penggunaan sumber asli dilestarikan membabitkan semua pihak, termasuk pengguna dan penyedia perkhidmatan.

Sejak awal 1970-an, Malaysia adalah antara negara terawal melaksanakan pelbagai langkah perundangan untuk mengurus alam sekitar menerusi penggubalan pelbagai akta seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Pindaan demi pindaan dilakukan secara berterusan untuk menangani perubahan dan perkembangan semasa, termasuk penggubalan Akta Perkhidmatan Pembetungan 1994 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Kepelbagaian akta itu menunjukkan komitmen kerajaan dan inisiatif berterusan untuk menghayati minda dan cara hidup lestari. Namun demikian, masih banyak perkara yang perlu dilaksanakan, atau masih belum dilaksanakan dengan jayanya, seperti penguatkuasaan undang-undang dan kesedaran masyarakat. Dalam konteks ‘Pencapaian Diutamakan’, komitmen ini perlu diserlahkan dalam bentuk lebih sistematik dan terarah.

Sehubungan itu, saya mencadangkan agar kerajaan segera melaksanakan penilaian prestasi berasaskan EPI (environmental performance index atau indeks prestasi alam sekitar) yang diterima pakai secara global dan diperkenalkan Universiti Colombia dan Universiti Yale di Amerika Syarikat.

Sekadar makluman, UTM adalah universiti tempatan yang menjalin kerjasama dengan kedua-dua universiti ternama itu untuk memastikan EPI dapat dilaksana.

Saya percaya gagasan 1Malaysia boleh dikembangkan bagi menjana dinamisme memantapkan lagi pelestarian alam sekitar untuk kepentingan rakyat menerusi EPI sebagai petunjuk pencapaian secara lebih menyeluruh.



Prof Datuk Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)
Belia berwawasan bantu jayakan konsep 1Malaysia

Oleh Amirullah Andi Nur
arullah@bharian.com.my

BELIA adalah aset terpenting dalam sesebuah negara. Jatuh bangunnya sesebuah negara pada masa depan, bergantung kepada peranan dimainkan golongan ini. Tentunya kita sudah biasa mendengar ungkapan itu.

Justeru, sebagai menghargai sokongan serta sumbangan penting golongan ini kepada negara sejak lebih 51 tahun lalu, maka setiap tahun kerajaan meraikan mereka menerusi sambutan Hari dan Minggu Belia Negara yang tetapkan pada setiap 15 Mei, seperti pada hari ini.

Tahun ini, sambutan perhimpunan berpusat di Melaka, negeri yang kaya dengan sejarah dan paling aktif dengan aktiviti belia. Sambutan awal program ini sebenarnya sudah dilancarkan di Stadium Utama Kangar pada 3 Mei lalu. Bagaimanapun sempena perhimpunan hari ini, acara di Melaka bermula sejak 13 Mei lalu dan berakhir Ahad ini.

Sambutan yang dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Belia Malaysia dan Bahagian Sahabat Belia, Jabatan Ketua Menteri Melaka itu, menyaksikan penganjuran pelbagai acara menarik. Antaranya Karnival Remaja, Festival Rekreasi dan Sukan Belia Kebangsaan serta Konvensyen Belia Kebangsaan.

Kemuncak sambutan tentunya, perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh. Perhimpunan kali ini bertemakan `Belia Berwawasan Penggerak Kejayaan'.

Dianggarkan kira-kira 20,000 pemimpin dan wakil pelbagai pertubuhan belia dari seluruh negara hadir pada majlis ini. Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden Perhimpunan Belia Sedunia, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek serta Presiden Majlis Belia Malaysia, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dijangka hadir.

Pada awalnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual merasmikan dan sekali gus menyampaikan amanat penting pada majlis ini. Namun beliau terpaksa membatalkannya pada saat akhir kerana menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Segitiga Terumbu Karang (CTI) di Menado, Sulawesi Utara, Indonesia.

Tahun lalu, perhimpunan diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil yang dihadiri kira-kira 15,000 pemimpin dan wakil belia, mewakili pelbagai pertubuhan atau persatuan dari seluruh negara. Perasmian program bertemakan `Belia Cemerlang, Negara Terbilang' itu disempurnakan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sebagai imbasan, antara lain, dalam amanahnya yang terakhir sebagai Perdana Menteri, Abdullah mahu golongan belia di negara ini menanam sikap untuk sentiasa maju, hebat dan bersemangat tinggi agar dapat mencapai kejayaan dalam setiap bidang diceburi.

“Dengan sikap untuk sentiasa maju dan disertakan dengan ilmu atau kemahiran, belia akan mampu menghadapi saingan yang semakin mencabar. Kita tidak mahu belia tidak bekerja atau terbabit dalam kerja tidak berfaedah... kita mahu tenaga muda ini diperkasakan dan sama-sama membangunkan negara,” katanya.

Perhimpunan secara besar-besaran di Ballroom MITC, Melaka pada petang ini sememangnya sangat dinantikan pelbagai pihak, khususnya di kalangan pemimpin dan ahli belia sama ada di peringkat pusat, negeri atau daerah yang berkumpul di negeri kelahiran Hang Tuah itu sejak beberapa hari lalu.

Sejak mengambil alih kepemimpinan negara pada awal April lalu, tidak banyak diketahui mengenai hala tuju belia negara berlandaskan konsep ‘1Malaysia’ yang diperkenalkan Perdana Menteri. Malah pada peringkat kementerian sendiri, dikatakan belum ada pendekatan paling tepat mengenainya.

Apa lagi dengan pelbagai kes membabitkan golongan belia hari ini yang agak membimbangkan. Misalnya, terbaru, seramai 500 mat rempit dan pelumba kereta haram ditahan di Dataran Merdeka dalam operasi mencegah kegiatan lumba haram dan kesalahan lalu lintas.

Itu tidak termasuk kes berkaitan penyalahgunaan dadah, ragut, pecah rumah, curi kenderaan, gangsterisme, seks rambang atau sumbang mahram termasuk membabitkan remaja di peringkat sekolah yang kebelakangan ini banyak disiarkan media. Kes sebegini tentunya amat membimbangkan kita sebagai rakyat Malaysia.

Ahmad Shabery sebelum ini ada menyentuh konsep 1Malaysia ketika mewakili Timbalan Perdana Menteri melancarkan sambutan Hari dan Minggu Belia Negara 2009 di Kangar. Selepas majlis itu, beliau mengumumkan mengenai konsep ‘Satu Belia’.

Antara lain, beliau berkata, kejayaan konsep 1Malaysia sukar untuk dijayakan jika belia yang kini berjumlah kira-kira 12 juta, tidak bersatu. Bagi menjayakan konsep 1Malaysia, katanya, cara berfikir golongan muda juga perlu ditukar dan ia sepatutnya dimulakan pada peringkat sekolah rendah lagi.

“Belia seharusnya bersatu dan berfikir sebagai satu. Mereka mempunyai tanggungjawab lebih besar sebagai pelapis kepemimpinan negara pada masa depan. Kita patut mengajar mereka supaya menjadi warganegara yang mencintai dan mengasihi negara sebab mereka adalah mewakili masa depan.

“Sebab itu, konsep 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan akan menjadi realiti, malah mampu dicapai dengan cepat jika belia bersatu,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim ketika ditemui pada satu majlis di Melaka baru-baru ini berkata, amanat yang bakal disampaikan Muhyiddin pada petang ini sangat penting terutama kepada belia, bagi memahami apa yang ingin dibawakan pucuk pimpinan menerusi konsep 1Malaysia.

Katanya, ini adalah amanat sulung pucuk pimpinan negara kepada belia dalam satu acara yang menghimpunkan semua pemimpin belia, sejak kepemimpinan baru mengambil alih.

“Sebab itu, saya berharap, perhimpunan ini bakal menjadi titik pertemuan kepada seluruh kepemimpinan belia seluruh negara untuk memahami konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri. Amanat ini penting untuk mengajak belia bergerak atas satu nada dan lebih penting, atas satu pemahaman.

“Selepas daripada itu, apabila mereka kembali ke tempat atau kawasan masing-masing, pemimpin atau wakil belia yang hadir ini akan membawa satu suara yang sama dan bukan lagi atas andaian serta pemahaman berbeza-beza. Belia perlu sepakat mencari jalan untuk sama-sama menjayakan konsep 1Malaysia ini,” katanya.

Setiausaha Agung Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Nizam Omar berkata, pertubuhan itu sememangnya menantikan amanat yang bakal disampaikan Timbalan Perdana Menteri terutama berkaitan konsep 1Malaysia.

“Kita berharap akan ada satu perkhabaran gembira disampaikan dalam amanat Timbalan Perdana Menteri nanti, sama ada untuk belia di kampung atau di bandar,” katanya.



Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian, Melaka
Menghayati gagasan Satu Malaysia

UNTUK meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap gagasan Satu Malaysia, Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya dan Kerajaan Negeri Terengganu akan mengadakan satu seminar sehari pada 7 Jun hadapan bertempat di Hotel Primula, Kuala Terengganu.

Selain daripada satu usaha merintis kerjasama antara pimpinan politik/pentadbiran negeri Terengganu dengan satu institusi akademik (APM, Universiti Malaya), Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said telah menyebut beberapa sebab kenapa seminar itu perlu diadakan.

Pertama, katanya, untuk menjelaskan maksud sebenar gagasan "Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Keperluan untuk menjelaskan konsep itu seperti yang disebut oleh Ahmad Said selari dengan pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom.

Seperti dilaporkan oleh RTM hari Selasa lalu, Jamil sendiri berpendapat "sehingga kini rakyat belum memahami dengan mendalam konsep Satu Malaysia itu." Malah seorang wartawan terkenal yang berpengalaman luas, Datuk A. Kadir Jasin dalam ruangan blognya, 17 April juga mengaku dan menulis ayat berikut: "saya kurang yakin yang saya memahami sepenuhnya gagasan ini."

Dan ahli akademik terkenal, Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, sewaktu dihubungi melalui telefon berkata: "Saya tidak pasti adakah gagasan itu satu 'ideologi politik' (political ideology) atau satu 'strategi tadbir urus' (governance strategy)." Ertinya, Profesor Shamsul sendiri juga belum pasti apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan gagasan Satu Malaysia.

Jadi benarlah seperti yang dikatakan oleh Datuk Jamil bahawa ramai yang belum faham sepenuhnya mengenai konsep atau gagasan Satu Malaysia.

Sebab kedua kenapa seminar di Kuala Terengganu itu perlu diadakan, menurut Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Profesor Datuk Zainal Borhan adalah untuk menangkis atau mengelakkan kecenderungan pihak-pihak tertentu daripada memberikan takrif yang "keliru dan bercelaru" terhadap gagasan itu.

Memang ada terdengar suara-suara sumbang yang hendak menyamakan gagasan Satu Malaysia itu dengan konsep Malaysian Malaysia peninggalan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang hendak dilanjutkan oleh Lim Kit Siang dan DAP.

Sebab atau tujuan ketiga seminar itu adalah untuk memberi peluang kepada cendekiawan, pemimpin-pemimpin politik dan birokrat bertukar-tukar fikiran mengenai pelaksanaan dan strategi mencapai matlamat gagasan Satu Malaysia itu.

Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim telah mengumumkan beberapa langkah yang sedang dan hendak dilaksanakan oleh kementeriannya untuk memasyarakatkan (dan mengoperasikan) gagasan Satu Malaysia.

Seminar anjuran bersama APM sebagai satu badan akademik dengan Kerajaan Negeri Terengganu sebagai badan politik dan pentadbiran yang hendak diadakan di Hotel Primula itu boleh dianggap sebagai lanjutan daripada usaha-usaha kementerian di bawah pimpinan Dr. Rais.

Sejajar dengan tiga sebab atau tiga tujuan yang dinukilkan tersebut, sesi seminar dibahagikan kepada tiga subtema seperti berikut: (i) Pemahaman dan Pentakrifan, (ii) Pengisian dan Pemasyarakatan, dan (iii) Pelaksanaan dan Strategi.

Dua perkara yang perlu sentiasa diingat dalam memberi takrif dan tafsiran gagasan Satu Malaysia. Pertama ialah konsep "acuan kita sendiri" dalam membentuk negara bangsa seperti terkandung dalam Wawasan 2020. Kedua, petikan titah ucapan Sultan Azlan Shah semasa menerima gelaran Ijazah Kehormat Doktor Kesusasteraan dari Universiti Malaya pada 30 Jun 1979 (sewaktu itu baginda dirujuk sebagai Raja Tan Sri Azlan Shah).

Baginda bertitah 30 tahun yang lalu: "Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang adat dan berbilang resam. Tetapi bagaimanapun kita perlu beringat, dan jika tidak ingat, maka kita seharusnyalah di peringatkan bahawa dalam negara yang semuanya berbilang itu, mesti ada satu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian kita."

Saya cadangkan supaya teks ucapan Baginda 30 tahun lalu diedarkan kembali dalam seminar 7 Jun di Hotel Primula itu.

SENATOR DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah Felo Penyelidik Kanan (Pelawat) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
Konsep 1Malaysia bukan slogan kosong

Oleh Abdul Rahman Sulaiman
rahmansulaiman@yahoo.com


NAJIB melambai kepada orang ramai ketika membuat lawatan mengejut
di Jalan Petaling, Kuala Lumpur, bulan lalu. Perdana Menteri dalam
memperkenalkan konsep terbarunya mengarahkan soal protokol dikurangkan
dalam setiap majlis rasmi.


Najib perlu diberi peluang bukti dasar kesinambungan kepemimpinan BN formula paling berkesan

SEJAK mengambil alih kepimpinan negara pada 3 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan beberapa konsep dan pendekatan baru yang beliau mahu jadikan falsafah dan garis bertindak pentadbirannya.

Beliau juga berhasrat menjadikan konsep dan pendekatan itu sebagai prinsip perjuangan Umno dan Barisan Nasional yang dipimpinnya. Antara konsep dan pendekatan yang dimaksudkan ialah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; pemupukan budaya jitu; urusan di luar kebiasaan serta konsep al-waad dan al-baiah sebagai ikatan perhubungan antara anggota pentadbiran kerajaan dengan penjawat awam.

Di samping itu, Najib juga membuat beberapa pembaharuan dalam urusan harian kerajaan untuk menjimatkan waktu dan perbelanjaan. Untuk itu, beliau mengarahkan soal protokol dikurangkan dalam upacara. Sebagai contoh, beliau mahukan sebutan nama atau gelaran orang kenamaan di awal ucapan dikurangkan sementara majlis rasmi perlu ditamatkan selewat-lewatnya jam 10.30 malam.

Adalah dipercayai bahawa lebih banyak pembaharuan akan diketengahkan dalam minggu-minggu akan datang atau dari semasa ke semasa selaras dengan hasrat beliau untuk mengajak rakyat sama-sama melaksanakan 'satu transformasi besar untuk negara' seperti yang beliau janjikan dalam ucapan sulungnya tatkala mengambil alih jawatan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dulu.

Bagaimanapun, oleh kerana konsep dan pendekatan yang cuba diterapkan itu dilihat sebagai baru dan diperkenalkan pada kadar yang agak pantas satu demi satu, penerimaan orang ramai nampaknya agak perlahan walaupun pada keseluruhannya positif.

Ada pihak yang teruja, tetapi tidak kurang juga yang menganggap segala-galanya sebagai slogan kosong yang akan hanya tinggal sebagai slogan seperti yang pernah dialami pada masa-masa lalu.

Di kalangan pemimpin pembangkang pula, mereka pantas memomokkan dan memutarbelitkan perkara itu untuk memberikan gambaran bahawa kerajaan berhasrat untuk mengabaikan tanggungjawabnya terhadap sebahagian daripada rakyat yang semestinya masih memerlukan bantuan.

Sebagai contoh, konsep 1Malaysia sengaja dimomokkan sebagai 'Malaysian Malaysia' yang cuba ditonjolkan DAP satu ketika dulu. Ini menyebabkan sebahagian orang Melayu, terutama yang tinggal di luar bandar dan mungkin kurang pendedahan terhadap media, agak risau.

Sebenarnya, tiada siapa yang perlu bimbang dengan konsep itu. Satu hakikat yang perlu disedari ialah tiada kerajaan di mana-mana juga yang sengaja memperkenalkan sesuatu dasar untuk menyusahkan atau menganiaya rakyat.

Seperti yang Najib sendiri pernah jelaskan, 1Malaysia adalah gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang menjadi amalan setiap rakyat. Ia bukan satu dasar baru yang terpisah dari dasar kerajaan BN sebelum ini. Sebaliknya, ia adalah pelengkap kepada pendekatan sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan untuk mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara.

Perpaduan yang digambarkan menerusi gagasan 1Malaysia amat berbeza daripada konsep asimilasi yang diamalkan di negara lain apabila identiti kaum dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Ia juga berbeza dengan konsep Malaysian Malaysia yang menekankan kesamarataan dan penghapusan keistimewaan orang Melayu dan hak Bumiputera yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti setiap kaum dan menganggapnya sebagai satu aset. Dalam hubungan ini, setiap kaum perlu menerima dan bukan hanya sekadar bertolak ansur perbezaan antara satu dengan lain.

Asas utama konsep ini ialah keadilan untuk semua kaum dalam erti kata bahawa nasib semua kaum akan dibela tanpa mana-mana pihak dipinggirkan. Mereka yang perlu pembelaan akan dibela tanpa mengira kaum. Semua kaum juga perlu berkongsi aspirasi yang sama dan kesetiaan yang serupa terhadap negara.

Budaya jitu pula bertujuan mendorong rakyat agar mengamalkan prinsip ketepatan dalam melakukan sesuatu sama ada dari segi pengukuran, pengurusan masa, jadual penyampaian, kualiti produk dan seumpamanya. Ini bermakna budaya cukup makan atau sikap sambil lewa atau ala kadar dalam melakukan sesuatu perlu dikikis.

Ini juga bukan perkara baru dalam sesetengah kegiatan rakyat. Misalnya dalam bidang perniagaan, lazimnya ahli perniagaan akan berlumba-lumba untuk mendapatkan keuntungan maksimum mungkin melalui kegiatan mereka. Dalam pendidikan juga, pelajar berlumba-lumba untuk mendapat markah A dalam setiap mata pelajaran yang mereka ambil dalam peperiksaan awam.

Kalau ini dapat dijadikan amalan, lama kelamaan budaya yang mementingkan prinsip ketepatan ini akan membolehkan Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang mengutamakan kualiti dan kecemerlangan.

Begitu juga dengan konsep lain yang cuba dipopularkan Perdana Menteri. Ia bukanlah baru dalam erti kata terlalu asing dalam kehidupan harian rakyat. Apa yang beliau lakukan ialah mempromosikan semula konsep itu sebagai satu pakej secara lebih khusus dan fokus.

Semua pihak harus menerima hakikat bahawa kejayaan sesuatu usaha atau keberkesanan satu-satu konsep itu tidak akan dapat dicapai atau dinilai dalam sekelip mata. Ia memerlukan proses evolusi yang mungkin memakan masa. Yang penting ialah Perdana Menteri memulakan langkah pertama dengan mempraktikkan apa yang beliau sarankan.

Setiap pegawai yang rapat dengan beliau tahu betapa seriusnya beliau dalam usaha ini. Oleh itu, tentulah tidak adil untuk mana-mana pihak menghukum beliau setelah hanya lebih sedikit sebulan selepas beliau mengambil alih jawatan.

Apa yang lebih penting ialah untuk semua pihak daripada anggota Jemaah Menteri sehingga kepada penjawat awam dan rakyat biasa memberikan sokongan padu dan cuba menyusuri rentak yang sudah pun dipalu.

Pilihan lain yang ada ialah untuk tidak berbuat apa-apa dan membiarkan negara terus ketinggalan dalam arus perlumbaan global yang setiap saat menjadi lebih kompetitif dan mencabar.

Kalau ini berlaku, tiada siapa yang pasti bahawa rakyat yang selama ini biasa hidup dengan selesa sanggup mengetepikan kemewahan yang pernah mereka rasai.

Datuk Rahman Sulaiman adalah bekas Ketua Pengarang Bernama
Bank Idea Rakyat - pelengkap Satu Malaysia

DALAM suasana politik dan ekonomi Malaysia yang kian mencabar, tanggungjawab untuk memikul tugas negara tidak boleh dibebankan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri serta 69 ahli Kabinet sahaja. Ia juga adalah tanggungjawab bersama yang perlu dipikul oleh setiap rakyat yang ingin terus hidup aman makmur di tanah air tercinta, Malaysia.

Tatkala mencari jigsaw terakhir supaya rakyat dapat terlibat secara langsung dalam pentadbiran negara, Bank Idea Rakyat dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sekilas pandang seperti cadangan yang simple (ringkas) namun secara praktikalnya, boleh diterima pakai sebagai mekanisme pelengkap serta mampu membuat perubahan 180 darjah terhadap senario politik dan ekonomi negara.

Sejak Datuk Seri Najib Tun Razak melaungkan hasratnya untuk mewujudkan sebuah kerajaan beraspirasikan di bawah konsep 'Satu Malaysia,' 'Rakyat Didahulukan,' Prestasi Diutamakan,' puas saya memikirkan pelbagai kaedah dan tatacara bagaimana konsep tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Struktur perwakilan baru UMNO yang akan diputuskan dalam mesyuarat khas pada akhir tahun ini bakal menyaksikan jumlah perwakilan UMNO ditambah menjadi 60,000 orang dan kuota pencalonan dikecilkan.

Ini sudah cukup menggambarkan bahawa hala tuju parti tersebut mulai Perhimpunan Agung UMNO ke-59 nanti ditentukan menurut keperluan semasa rakyat, khususnya Melayu di dalam UMNO.

Mengikut penganalisisan saya, walaupun perwakilan seramai 60,000 orang itu adalah jauh lebih ramai berbanding jumlah asal lebih kurang 5,000 orang, ia hanyalah 1.5 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli UMNO yang kini sudah mencecah 4.0 juta orang.

Jika jumlah ini benar-benar mewakili 100 peratus suara ahli UMNO sekalipun, belum tentu ia mewakili 15 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi pada PRU-13 nanti.

Walaupun demikian, saranan Najib-Muhyiddin adalah murni kerana struktur UMNO baru juga memberikan kuasa menghukum secara langsung kepada rakyat untuk tidak memanjangkan tempoh pentadbiran mana-mana pemimpin yang dirasakan gagal melaksanakan amanah secara berkesan.

Hakikatnya, sejauh manapun kita berhujah mengenai jumlah perwakilan baru UMNO, ia hanya bersangkut-paut dengan kaedah pemilihan pemimpin Melayu dari parti UMNO sahaja. Persoalan pemilihan pemimpin Melayu dan bukan Melayu dari parti-parti komponen BN yang lain serta kualiti perkhidmatan menteri-menteri Kabinet masih belum lagi terjawab.

Mungkin itu adalah antara alasan mengapa Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dilantik dan dipertanggungjawabkan ke atas pengurusan prestasi Kabinet Najib-Muhyiddin dalam mencapai objektif sebenar konsep 'Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan'.

Demi memperkukuhkan lagi struktur pentadbiran kerajaan, saranan seperti Bank Idea Rakyat perlu dilihat sebagai 'jantung utama' dalam pentadbiran yang mendahulukan rakyat dan mengutamakan prestasi.

Ia bukan hanya bertindak sebagai jambatan di antara kerajaan dan 15 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi pada PRU-13 nanti, malahan ia adalah bukti keterbukaan kerajaan dalam menerima pandangan, cadangan dan kritikan yang dibawa rakyat dalam pelbagai isu termasuk ekonomi, pendidikan, perhubungan kaum, kebajikan serta pentadbiran kerajaan secara keseluruhan.

Ternyata Bank Idea Rakyat ini tidak boleh disamaertikan seperti tabung pengaduan awam yang dianggap sudah lama wujud sejak zaman 'dinasour' kerana ia bukan hanya mengambil kira aduan rakyat semata-mata tetapi juga pandangan serta cadangan rakyat terhadap sesuatu isu secara khusus.

Dunia hari ini yang berorentasikan kecanggihan ICT pasti boleh menampung cadangan Bank Idea Rakyat itu dalam bentuk sistem pungutan suara seperti Public Relations System atau Sistem Perhubungan Rakyat yang melibatkan dua komponen utama iaitu, rakyat yang memberi cadangan dan pandangan secara tulus ikhlas; dan kerajaan yang menangani cadangan dan pandangan rakyat secara telus dan terperinci.

Malaysia yang rakyatnya semakin bijak dan peka dengan ehwal semasa perlu diberi hak sama rata untuk bersuara.

Menurut statistik Suruhanjaya Telekomunikasi dan Multimedia pada Disember 2008, jumlah pengguna internet adalah lebih kurang 10 juta orang manakala jumlah telefon bimbit berdaftar pula adalah sebanyak 26.5 juta orang.

Dengan kedua-dua kekuatan ini, infrastruktur Sistem Perhubungan Rakyat dan jaringan rakyat-parti-kerajaan sebenarnya sudah sedia terbentuk. Bagi rakyat yang bukan pengguna internet mahupun telefon bimbit, di ruang inilah wakil-wakil rakyat memainkan peranan untuk bertindak selaku ejen kerajaan yang efektif dengan menganjurkan kaedah sistem pungutan suara rakyat secara manual.

Memang benar bahawa cadangan Bank Idea Rakyat akan menjadikan setiap unit struktur kerajaan kembali peka kepada jeritan suara rakyat. Namun, tunggak kejayaan kepada saranan mekanisme pelengkap itu juga bergantung kepada keberkesanan tindakan susulan yang akhirnya akan diterjemahkan oleh rakyat dalam keputusan PRU-13.

Dengan penuh keyakinan dan harapan, semoga kerajaan sempat membuktikan keberkesanan tindakan susulan memandangkan PRU-13 bakal menemui kita kurang atau lebih tiga tahun dari sekarang.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)