Tiada bahan letupan, peluru, senjata api dijumpai di rumah Sirul Azhar

SHAH ALAM 24 Sept. - Tiada sebarang bahan letupan mahupun peluru serta senjata api ditemui hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) di rumah tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar.

Sarjan S. Nagendraroo, 47, memberitahu mahkamah tinggi di sini hari ini, pemeriksaan di tiga buah bilik di rumah Sirul Azhar pada 2 petang, 7 November 2006 mengambil masa selama 20 minit.

Setelah tiada bahan letupan dijumpai, kata Nagendraroo, Asisten Supritendan (ASP) Zulkarnain Samsudin telah mengarahkan pasukan UPB balik ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Menurut saksi itu yang bertugas di bahagian Logistik dan Persenjataan IPKKL, sepanjang pemeriksaan dijalankan, beliau tidak nampak anggota mahupun pegawai dari unit lain selain daripada unit Jenayah Utama (D9) IPK Kuala Lumpur (IPKKL).

Nagendraroo memberi keterangan selaku saksi keenam dalam prosiding bicara dalam perbicaraan yang masuk hari ketujuh hari ini.

Perbicaraan utama terhadap penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, bersama Cif Inspektor Azilah Hadri dan Sirul Azhar masuk hari ke-39 hari ini.

Terdahulunya, ketika disoal dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Nagendraroo memberitahu bahawa ASP Zulkarnain telah meminta bantuan sepasukan anggota UPB untuk membantu tugas pemeriksaan senjata api, peluru dan bahan letupan.

Bertindak atas arahan tersebut, menurut saksi, beliau bersama pasukan telah menunggu ASP Zulkarnain, selepas Plaza Tol Kota Damansara sebelum menuju ke kawasan flat.

Nagendraroo berkata, selepas tiba dan menunggu selama 10 minit di luar, barulah ASP Zulkarnain mengarahkan UPB masuk ke dalam rumah Sirul Azhar.

"Ketika itu, saya lihat Sirul Azhar bergari bersama Koperal Chiam berada di ruang tamu rumah," kata Nagendraroo dengan nada suara yang agak laju.

Ketika disoal dalam pemeriksaan balas oleh peguam Hasnal Redzua Merican, saksi itu menyatakan bahawa taklimat penugasan hanya dimaklumkan oleh ASP Zulkarnain kepada UPB ketika mendaki tangga ke rumah Sirul Azhar.

Prosiding bicara dalam perbicaraan selesai sebaik sahaja Nagendraroo selesai memberikan keterangan.

Perbicaraan bersambung pada sesi petang. Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin mendengar keterangan saksi bagi prosiding perbicaraan utama.

Sementara itu, Abdul Razak yang telah menjalani pembedahan mata pada 18 September lalu, hadir di mahkamah dengan memakai cermin mata gelap untuk melindungi matanya yang kelihatan masih bengkak. - Utusan

0 comments: