Showing posts with label Tambak Johor. Show all posts
Showing posts with label Tambak Johor. Show all posts
Jambatan ketiga dan politik yang rakus

ISU cadangan pembinaan jambatan ketiga antara Malaysia dan Singapura seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat reaksi di kalangan penulis.

Ruhanie Ahmad dalam Kuda Kepang (kuda-kepang.blogspot.com) kelmarin, menilai hubungan Malaysia-Singapura umpama "menanam tebu di tepi bibir". Ini kerana pemimpin negara jiran itu menolak idea pembinaan baru bagi menggantikan Tambak Johor.

Tulisnya, Singapura langsung tidak menghormati Malaysia yang selama ini membekalkan air ke negara itu dan menyediakan Iskandar Malaysia untuk rakyatnya.

"Saya ingin bertanya, jika Malaysia hendak membina jambatan ketiga merentangi Selat Teberau, di manakah lokasinya? Adakah lokasinya mesti dikenal pasti oleh Singapura, iaitu lokasi yang betulbetul mengarah ke Nusajaya?

"Jika itulah lokasinya, bukankah satu syarikat pernah membuat satu tayangan di sebuah hotel lima bintang di Singapura kira-kira tiga tahun lalu, mengenai hasrat Singapura mahu membina sebuah jambatan raya atau superbridge yang kalis bom menuju ke Nusajaya?'' soalnya.

Tulisnya lagi, jika jambatan ketiga yang mahu dibina kelak adalah jambatan yang mengikut spesifikasi keselamatan dan pertahanan Singapura menuju ke Nusajajaya, ia perlu diperbetulkan dengan sertamerta.

Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi (thoughtsintangents.blogspot.com) pada 22 Mei pula menganggap cadangan pembinaan jambatan ketiga di bahagian tenggara Johor dianggap tidak munasabah.

Katanya, kawasan seperti Pengerang dan Desaru tidak memerlukan jambatan kerana ia sudah membangun sebagai pusat pelancongan khususnya dari Singapura yang limpahannya dapat dinikmati oleh penduduk sekitarnya.

Penulis juga mempersoalkan kenapa Pengerang tidak dihubungkan dengan pantai barat Johor sahaja dan kenapa jambatan itu tidak disertakan dengan pembinaan lebuh raya ke Pantai Timur?

''Akhir kata, kenapakah tidak dicadangkan jambatan ketiga ini dikaitkan dengan Tambak Johor? Kalaulah ia dikaitkan, nescaya ia membawa manfaat kepada bandar Johor Bharu,'' tulis beliau.

Seorang penulis yang menamakan dirinya Mesin Taip Buruk (mesintaipburuk.blogspot.com) pada 22 Mei pula menilai negara jiran itu tidak mempunyai masalah untuk membina jambatan baru merentasi Selat Teberau.

''Betul, memang Singapura tidak ada masalah untuk membina jambatan lagi. Binalah 10, 20 waima 100 jambatan antara Malaysia dan Singapura, binalah! Tapi jangan sekali-kali cuba robohkan Tambak Johor! Itulah sebenarnya pendirian Singapura selama ini,'' tulisnya.

Tulisnya, ini dibuktikan apabila mereka tidak berhalangan untuk membina laluan melalui lebuh raya Linkedua, tetapi mereka menentang habis-habisan dengan cadangan pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor.

''Atas sentimen apakah sehinggakan kerajaan Singapura begitu berat sekali hendak merobohkan Tambak Johor yang dibina ketika zaman penjajahan Inggeris dengan pembiayaan kerajaan Johor itu, aku sendiri tidak pasti,'' tulisnya.

Mohd. Sayuti dalam blog Merah Tinta (msumelayu.blogspot.com) 24 Mei menilai ahli-ahli politik yang rakus dan tidak berperikemanusiaan apabila begitu ghairah bercakap mengenai pilihan raya kecil setiap kali ada wakil rakyat meninggal dunia.

''Sikap sebegini bagi saya sudah melampau. Kita ini seolah-olah kita tidak merasai apa-apa perasaan pun atas takdir Allah yang mematikan seseorang hamba-Nya, yang antara lain bertujuan menginsafkan kita semua.

''Kematian itu disambut dengan gembira kerana ia memberi peluang berlakunya pilihan raya kecil,'' tulisnya mengenai kematian Ahli Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Ismail Yaakub.

Tulisnya, amat menyedihkan apabila jenazah wakil rakyat belum dikafan dan disembahyangkan tetapi soal pilihan raya sudah diperkatakan.

''Apakah tidak boleh warga politik mengunci mulut daripada bercakap mengenai pilihan raya sehinggalah beberapa hari?

''Misalnya biarlah selepas seminggu barulah boleh bercakap fasal pilihan raya itu,'' tulisnya.

Sehubungan dengan itu beliau berharap diadakan satu peraturan yang melarang mana-mana pihak bercakap mengenai pilihan raya kecil di kawasan yang dikosongkan itu dalam tempoh tertentu bagi menghormati arwah dan keluarganya.

Nizam Mat Saari dalam blog Secangkir Kopi Semanis Puan (nizammatsaari.com) pada 23 Mei pula menulis sikap kalangan ahli politik yang tidak ikhlas sehingga menyebabkan politik di negara ini tidak berkembang maju.

Katanya, kalangan kita masih kekal berpolitik hasad dengki, dendam mendendam, bermusuhan dan cantas mencantas.

''Kita akan bermati-matian memaksumkan parti kita dan mengharamkan parti yang tidak sealiran. Begitu mudah kuasa menghukum berada di tangan kita seolah-olah kitalah Tuhan,'' tulisnya.

Kata beliau, cara berpolitik itu berlaku kerana kita lebih cintakan kuasa sehingga lupa akhlak, adab dan etika.

''Kita tidak mampu mewujudkan politik perkongsian yang pintar antara parti-parti politik Melayu, malah apakah kita juga akan menutup pintu untuk mewujudkan suatu 'politik persaingan yang sihat'?''soal beliau lagi.

Kelolaan LUKMAN ISMAIL

lukman@utusan.com.my
Minda Pengarang: Projek jambatan baru perlu kerjasama kuat Malaysia, Singapura

JIKA tiada aral melintang dan diterima baik oleh Singapura, cadangan Malaysia supaya sebuah jambatan baru dibina bagi menghubungkan bahagian timur Johor ke republik itu, akan menjadi kenyataan, sekali gus menamatkan isu yang bagaikan 'duri dalam daging' hubungan dua hala antara dua negara berjiran ini. Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jambatan baru itu akan dapat membantu melancarkan lagi pergerakan orang ramai, barangan dan perkhidmatan antara kedua-dua negara. Kita yakin cadangan itu akan menjadi kenyataan berdasarkan hakikat Najib mengumumkan perkara itu pada sidang media bersama dengan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong selepas mengadakan pertemuan empat mata di republik itu semalam. Secara dasarnya Singapura bersetuju dengan cadangan Malaysia itu dan kedua-dua negara mahu menjalankan kajian lanjut untuk pembinaan jambatan baru sebagai langkah jangka panjang dan sederhana. Kedua-dua negara juga sependapat bahawa kemudahan laluan kenderaan dan orang ramai di Tambak Johor perlu diperbaiki dan dipertingkatkan.

Malaysia, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, meluluskan pembinaan jambatan baru bagi menggantikan separuh daripada Tambak Johor di kawasan Malaysia. Projek dilaksanakan Gerbang Perdana Selatan Bersepadu Sdn Bhd (GPSB) berharga RM620 juta itu dimulakan pada awal 2006 dan dijangka mengambil masa 36 bulan. Bagaimanapun, pada 12 April 2006, selepas kira-kira lima peratus kerja asas pembinaannya siap, kerajaan menghentikan projek itu serta semua rundingan membabitkannya dengan Kerajaan Singapura. Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi memberi alasan bahawa keputusan berkenaan dibuat selepas kerajaan mengambil kira suara dan sentimen rakyat secara keseluruhan, terutama berhubung bekalan pasir dan ruang udara. Dalam rundingan antara kedua-dua negara ketika itu, Singapura dikatakan meminta antara lain supaya Kuala Lumpur membenarkan pesawat pejuangnya menggunakan ruang udara negara ini dan membekalkan pasir sebagai balasan. Permintaan Singapura itu dikritik rakyat Malaysia, terutama penduduk Johor yang menganggapnya sebagai keterlaluan.

Yang pasti, semua pihak bersetuju bahawa sebuah lagi jambatan baru menghubungi kedua-dua negara mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dan menyediakan pelbagai peluang ekonomi kepada masyarakat tempatan, selain membantu mengatasi kesesakan di Tambak Johor. Kali ini, apa yang kita harapkan kedua-dua negara perlu berusaha keras untuk menjayakannya, tanpa sebarang syarat yang bukan-bukan. Kita tidak mahu apa yang berlaku sebelum ini berulang, iaitu bina tetapi kemudian dibatal, yang akhirnya menimbulkan masalah serta kekecewaan. Tidak mengapa jika kajian projek jambatan baru itu mengambil masa asalkan akhirnya ia menjadi kenyataan. Kita juga berharap Singapura ikhlas apabila menyatakan persetujuannya terhadap cadangan Malaysia itu, bukan berbuat demikian hanya apabila berasakan projek berkenaan lebih banyak menguntungkan mereka. Singapura harus sedar jambatan baru itu akan memudahkan pergerakan orang ramai daripada kedua-dua arah, termasuk dari Malaysia ke republik itu, sekali gus turut menguntungkan mereka.