‘UPSR 2007 menakjubkan’

Oleh HASHNAN ABDULLAH

PUTRAJAYA 15 Nov. – Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007 sebagai menakjubkan berbanding sebelum ini.

Beliau berkata, peningkatan kelulusan peperiksaan itu bukan hanya disumbangkan oleh pelajar yang memperoleh keputusan 5A malah jumlah pelajar yang lulus dalam semua mata pelajaran turut meningkat dengan mendadak.

Menurut beliau, peningkatan itu juga bukan disebabkan kebocoran soalan peperiksaan yang digembar-gemburkan oleh beberapa pihak sebelum ini.

‘‘Saya telah mendengar taklimat mengenai analisis keputusan UPSR daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) hari ini dan cukup gembira dengan analisis itu.

‘‘Bagi saya, ia adalah petanda yang cukup baik kepada kita semua, lebih-lebih lagi dengan penekanan kita terhadap usaha membangunkan dan memperkasakan modal insan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP),” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Seramai 504,537 calon dari sekolah kerajaan dan 6,982 calon dari sekolah swasta mengambil peperiksaan itu tahun ini.

Hishammuddin memberitahu, penekanan kerajaan terhadap usaha membangunkan dan memperkasakan modal insan telah memberi kesedaran kepada ibu bapa untuk memberi tumpuan khusus kepada pendidikan anak-anak.

‘‘Saya berharap kesedaran tersebut akan berterusan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Beliau turut mengumumkan Terengganu mencatatkan kelulusan UPSR yang paling tinggi berbanding negeri lain.

Sementara itu, Hishammuddin memberitahu beliau akan mempengerusikan Jawatankuasa Penggal Baru Persekolahan 2008 yang baru ditubuhkan bagi menangani isu-isu awal sesi persekolahan.

Beliau berkata, langkah tersebut diambil supaya apa jua kekeliruan orang ramai berhubung pengumuman mengenai pendidikan dalam Bajet 2008 dapat diperjelaskan dengan lebih sempurna dan berhemah.

‘‘Satu talian khusus akan disediakan bagi membolehkan orang ramai mengadu mengenai apa sahaja isu yang berkaitan dengan awal persekolahan kepada jawatankuasa itu sebelum sesi persekolahan 2008 bermula.

‘‘Nombor telefon dan faksimilenya akan diumumkan pada hari Isnin ini dan orang ramai boleh menyampaikan aduan itu bermula pada hari tersebut,” katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan Jalur Gemilang kepada pasukan Malaysia ke Kejohanan Robotik Olympiad Dunia di Taiwan yang bermula esok sehingga 18 November ini.

Sebanyak 15 pasukan terdiri daripada enam sekolah rendah, dua sekolah menengah rendah dan tujuh sekolah menengah akan mewakili Malaysia ke kejohanan melibatkan 24 negara itu.

0 comments: