Peniaga naikkan gas RM10 setong

Oleh Hassan Omar

KOTA KINABALU: Belum pun ada keputusan dibuat kerajaan berhubung harga minyak berikutan ada pengedar gas di negeri ini dikesan menaikkan harga bahan api itu sejak dua minggu lalu.

Pihak terbabit dipercayai menjual gas antara RM5 hingga RM10 lebih tinggi berbanding harga kawalan RM21.96 setong gas 12 kilogram (kg) dan RM25.62 setong gas 14 kg.

Harga sebenar setong gas 12kg di Sabah adalah RM40.20. Bagaimanapun, kerajaan memberi subsidi RM18.24 menjadikan harga di pasaran RM21.96.

Bagi setong gas 14kg, harga sebenar ialah RM46.90, manakala subsidi kerajaan ialah RM21.28, menjadikan harga pasaran RM25.62.

Seorang pengguna, Murib Murphy mendakwa, beliau terpaksa membeli setong gas 14 kg pada harga RM32.50 daripada seorang pengedar yang menggunakan lori kecil di kediamannya di Kepayan Ridge, di sini minggu lalu.

"Selalunya saya beli gas tidak sampai RM30 tetapi minggu lalu pengedar itu mengenakan RM32.50. Bagaimanapun, saya tak diberikan resit," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.

Pengarah Urusan sebuah pusat pengedar gas di Papar, Maju Jaya Gas Sdn Bhd, Kenny Wong, berkata beliau dihujani panggilan telefon pengguna sejak dua minggu lalu yang mendakwa mereka terpaksa membayar lebih tinggi untuk mendapatkan gas.

Beliau berkata, kebanyakan mereka mendakwa, pengedar gas yang menggunakan lori kecil mengenakan bayaran antara RM5 hingga RM10 lebih tinggi bagi setong gas 14kg berbanding harga biasa antara RM27 hingga RM29.

"Mereka menuduh saya yang menaikkan harga gas. Bagaimana saya boleh menaikkan harga sedangkan ia barang kawalan,” katanya.

Tinjauan Berita Harian di beberapa kedai runcit di bandar raya ini dan Papar mendapati pemilik kedai mendakwa ada pihak tertentu memaklumkan kepada mereka harga gas akan dinaikkan RM10 tidak lama lagi.

"Setong (gas 14kg) kami jual RM27.10 tetapi kami dengar harga akan naik sampai RM10," kata seorang peniaga kedai runcit di Segama, di sini.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Jaafar Walad, berkata pihaknya turut menerima panggilan daripada pengguna yang mendakwa mereka terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan bahan api itu, sejak tiga hari lalu.

"Ada seorang kakitangan awam menemui saya mendakwa, dia terpaksa membayar RM40 iaitu RM10 lebih tinggi daripada harga biasa untuk mendapatkan gas 14 kg," katanya.

Sehubungan itu, katanya, KPDNHEP sudah menyediakan perangkap untuk pengedar gas yang sengaja menangguk di air keruh.

0 comments: