Undang-undang khas haramkan peraduan gores digubal

IPOH 15 Nov. – Kerajaan akan menggubal satu undang-undang khas untuk mengharamkan semua jenis peraduan gores dan menang yang dijalankan oleh syarikat jualan langsung dalam tempoh terdekat ini, bagi mengelak lebih ramai pengguna menjadi mangsa penipuan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk S. Veerasingam berkata, ketika ini, kementerian tidak boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat jualan langsung berlesen yang menganjurkan peraduan gores dan menang jika mereka memang ada menyediakan hadiah kepada orang ramai.

‘‘Bagi syarikat jualan langsung yang menganjurkan peraduan gores dan menang, kita tidak boleh ambil tindakan jika mereka benar-benar menyediakan hadiah kepada pemenang peraduan tersebut.

‘‘Peraduan itu hanya dianggap sebagai kes penipuan dan boleh kenakan tindakan jika tiada barang-barang yang dijanjikan kepada pemenang tetapi dalam beribu-ribu peserta menyertai peraduan itu berapa ramaikah yang bertuah boleh mendapat hadiah.

‘‘Katakan hadiah peraduan adalah kereta, daripada beribu-ribu peserta mengambil bahagian, lebih 90 peratus tidak akan berjaya sedangkan mereka sudah menyerahkan sejumlah wang kepada syarikat penganjur untuk melayakkan diri menyertai peraduan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Seminar Berbelanja Bijak Tahun 2007 anjuran KPDNHEP Perak bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) di Bangunan Persekutuan Ipoh, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Perundangan Puspanita Kebangsaan, Datin Azizah Abd. Hamid; Pengerusi Puspanita Perak, Datin Faridah Din dan Pengarah KPDNHEP Perak, Ahmad Nasir Khosri.

Menurut Veerasingam, peraduan itu lebih cenderung merugikan pengguna dan ini mendorong kerajaan mengambil keputusan untuk mengharamkan semua jenis peraduan gores dan menang meskipun ia dijalankan oleh syarikat jualan langsung berlesen.

Katanya, apabila undang-undang pengharaman itu diluluskan, semua syarikat jualan langsung yang memohon lesen untuk beroperasi akan dipastikan tidak boleh menganjurkan sebarang peraduan gores dan menang.

Salah

‘‘Melalui undang-undang baru ini, semua syarikat jualan langsung yang mengadakan peraduan gores dan menang adalah salah di sisi undang-undang.

‘‘Selepas ini, syarikat jualan langsung yang memohon lesen semasa ditemuduga akan dipastikan tidak menjalankan peraduan gores dan menang. Jika tidak, kita akan batalkan lesen mereka,” ujarnya.

Veerasingam berkata, tindakan pengharaman itu akan dikuatkuasakan sebaik sahaja undang-undang baru dilulus dan diumumkan oleh Menterinya, Datuk Mohd. Shafie Apdal.

Mengikut statistik polis pada tahun lalu, katanya, terdapat 14 jenis aktiviti penipuan dikenal pasti seperti gores dan menang, khidmat pesanan ringkas (SMS) Akademi Fantasia 4, SMS mendapatkan projek Petronas, penipuan lelongan barangan Kastam, jual beli kereta, bomoh, tukang tilik nasib dan perubatan, cabutan bertuah melalui internet, memalsukan tiket perjudian, pakej umrah serta pinjaman wang Ah Long.

‘‘Sejak 2006 hingga pertengahan tahun ini, sebanyak 1,549 kes penipuan dilaporkan membabitkan kerugian RM34,843,656.33.

‘‘Dari segi aduan pula, Pusat Nasihat Pengguna Nasional menerima sebanyak 19,320 aduan di seluruh negara, dengan 70.28 peratus atau 13,579 daripadanya mengenai penipuan gores dan menang,” jelasnya sambil memberitahu kementeriannya sudah membatalkan lesen 20 syarikat jualan langsung yang terlibat dalam kegiatan penipuan itu setakat ini.

0 comments: