Kerajaan akan haram jualan 'gores, menang'

IPOH: Kerajaan akan mengharamkan perniagaan jualan langsung yang berkonsepkan 'gores dan menang' bagi mengelak lebih ramai orang terus menjadi mangsa penipuan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk S Veerasingam, berkata pengharaman perniagaan seumpamanya perlu disegerakan berikutan pelbagai aduan diterima daripada mereka yang menjadi mangsa.

Beliau berkata, tindakan tegas mengharamkan aktiviti perniagaan itu perlu kerana ia semakin serius sejak kebelakangan ini, termasuk pengguna dipaksa membeli sesuatu barangan walaupun mereka tidak memerlukannya.

"Berdasarkan statistik aduan oleh Pusat Nasihat Pengguna Nasional sebanyak 19,320 aduan diterima daripada pengguna seluruh negara dengan 70.28 peratus atau 13,579 aduan adalah membabitkan penipuan 'gores dan menang'.

"Aktiviti jualan langsung seumpamanya adalah salah dan tindakan boleh diambil terhadap pihak yang menjalankan aktiviti ini untuk mengaut keuntungan dengan cara mudah," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Kepenggunaan Berbelanja Bijak 2007 di sini, semalam.

Veerasingam berkata, pihak terbabit menggunakan istilah 'gores dan menang' dalam perniagaan sebagai satu taktik untuk melariskan jualan dengan cara memperdaya pengguna.

"Cadangan untuk mengharamkan bentuk perniagaan seumpamanya akan dipercepatkan dan keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun, sebanyak 20 syarikat sudah dibatalkan operasinya kerana melanggar pelbagai peraturan yang ditetapkan ketika menjalankan perniagaan 'gores dan menang'.

Veerasingam berkata, tindakan sukar diambil sekiranya pihak yang menjalankan perniagaan itu sememangnya menyediakan hadiah atau barangan yang berkualiti dan bermutu seperti yang dijanjikan.

0 comments: