Johor garis lima strategi bajet

Oleh Johan Afandi

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman semalam, membentangkan bajet defisit untuk 2008 bagi negeri ini dengan perbelanjaan mengurus melebihi anggaran pendapatan berjumlah RM2.04 juta berbanding lebihan sebanyak RM14.64 juta pada tahun ini.

Beliau berkata, bajet desifit disebabkan anggaran perbelanjaan mengurus tahun depan berjumlah RM749.94 juta, manakala anggaran pendapatan hanya RM747.90 juta.

"Bajet defisit tahun depan berikutan peningkatan perbelanjaan mengurus 11.9 peratus daripada RM670.09 juta tahun ini kepada RM749.94 juta dengan peruntukan pembangunan saja mencecah RM175.62 juta," katanya pada hari pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, semalam.

Abdul Ghani berkata, Bajet 2008 terus mengambil pendekatan pembangunan holistik, adil, seimbang serta menyeluruh selain memberi keutamaan kepada pertumbuhan dan memastikan pengagihan adil untuk kesejahteraan rakyat.

Katanya, kerajaan negeri menggariskan lima strategi Bajet 2008 iaitu meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi dan memperkukuh sumber baru ekonomi; meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi serta memupuk 'minda kelas pertama' dan menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi yang berterusan secara membina dan produktif.

"Dua lagi strategi ialah meningkatkan tahap dan kemampuan kualiti hidup dan mengukuhkan keupayaan institusi pelaksanaan," katanya.

Beliau berkata, peratusan paling tinggi untuk perbelanjaan mengurus membabitkan perbelanjaan emolumen berjumlah RM281.73 juta atau 37.57 peratus, diikuti Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap sebanyak 33.13 peratus, termasuk bayaran balik pinjaman kepada kerajaan Pusat berjumlah RM43.25 juta dan caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM100 juta.

Katanya, perbelanjaan Perkhidmatan dan Bekalan pula sebanyak RM212.11 juta diikuti aset RM6.56 juta dan lain-lain perbelanjaan berjumlah RM1.09 juta.

"Peruntukan pembangunan pula, menyaksikan Pejabat Menteri Besar menerima pecahan terbesar berjumlah RM52.50 juta, diikuti pertanian serta pembangunan luar bandar sebanyak RM38.21 juta, Jabatan Agama Johor (RM20.28 juta), Kerajaan Tempatan dan Perumahan (RM10.03 juta)," katanya.

Menyentuh mengenai Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Abdul Ghani berkata, agensi berkenaan diperuntukkan RM32.3 juta dalam usaha memantapkan tahap kecekapan operasi, terutama berkaitan operasi pusat sehenti.

"Daripada jumlah itu, RM8 juta untuk proses meningkatkan perniagaan, RM5 juta bagi mengemas kini Pelan Pembangunan Komprehensif dan RM16 juta dalam sistem teknologi maklumat yang akan digunakan bersama agensi berkaitan, terutama pihak berkuasa tempatan dalam Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI)," katanya.

0 comments: