Jangan campur urusan Malaysia

Oleh Azrina Ahzan

PUTRAJAYA: Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, semalam mengingatkan bekas wakil Kesatuan Eropah (EU), Thierry Rommel, supaya tidak mencampuri hal ehwal negara ini dengan membuat dakwaan tidak berasas.

Katanya, kenyataan Rommel bahawa Malaysia berada dalam keadaan darurat berikutan tindakan polis menyuraikan perhimpunan haram di ibu negara Sabtu lalu, bukan saja tidak bertanggungjawab tetapi menjejaskan kredibiliti EU.

"Saya ingin mengingatkan beliau supaya jangan cuba masuk campur dalam hal ehwal negara ini dan lihat keadaan sebenar sebelum membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan kredibilitinya dan EU sendiri.

"Secara realitinya, kita tengok tidak ada sekatan, rakyat bebas dan ini jauh daripada gambaran yang kita berada dalam keadaan darurat kerana demonstrasi baru-baru ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan Malaysia yang menyertai Kejohanan Robotik Olimpiad Dunia (WRO) 2007 di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Rommel kepada Reuters baru-baru ini bahawa Malaysia kini berada dalam keadaan darurat selepas polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan perhimpunan haram di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

Dalam temu bual dengan agensi berita itu, Rommel turut mendakwa ketidakadilan dalam pilihan raya di Malaysia bukan satu rahsia dan mempertikaikan dasar membantu Bumiputera yang dilaksanakan kerajaan.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, tindakan pihak terbabit menganjurkan perhimpunan haram itu sebenarnya menimbulkan kemarahan orang ramai kerana ia bukan saja menjejaskan kegiatan harian, malah sumber pendapatan mereka.

"Saya percaya orang ramai lebih marah kepada demonstrasi yang menjejaskan periuk nasi mereka,” katanya.

Bercakap mengenai kejohanan berkenaan, Hishammuddin berkata, aktiviti berkaitan pertandingan robotik itu menjurus pelajar untuk berfikir, menyelesaikan masalah dan bekerja dalam kumpulan selain meningkatkan kemahiran matematik dan sains.

“Aktiviti itu juga dapat memupuk kreativiti serta inovatif peserta,” katanya.

Kejohanan WRO 2007 yang akan berlangsung di Taipei, Taiwan, hingga Ahad ini disertai 300 pasukan dari 24 negara dengan Malaysia diwakili 15 pasukan membabitkan 62 anggota.

0 comments: