Unit Forensik BPR mulakan siasatan

Oleh ABDUL RAZAK DIN dan ZAINI RABAN

IPOH 15 Nov. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menghantar sepasukan pegawai dari Unit Kejuruteraan Forensik, Putrajaya bagi membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas struktur bangunan yang runtuh itu.

Pengarah BPR Perak, Samsiah Abu Bakar berkata, pasukan itu akan membantu BPR negeri menjalankan siasatan bagi mencari punca keruntuhan itu bagi menentukan sama ada terdapat salah laku semasa pembinaannya.

“Sehingga kini BPR sudah mengenal pasti pihak yang terlibat dengan projek pembinaan bangunan dua tingkat tersebut yang telah menelan belanja sebanyak RM4.9 juta itu,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Datuk Wong Wai Ching akan mengetuai pasukan yang menyiasat kejadian bangunan dua tingkat milik Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) yang runtuh di lereng Tasik Banding di Gerik kelmarin.

Katanya, siasatan itu akan dimulakan sebaik sahaja semua terma dan objektif penyiasatan selesai dirumuskan.

Beliau percaya ia boleh disiapkan dalam tempoh sebulan.

Pasukan penyiasat tersebut turut dianggotai oleh beberapa pakar dari Ibu Pejabat JKR di Kuala Lumpur serta pegawai-pegawai dari Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) yang merupakan profesional dalam bidang kejuruteraan.

‘‘Siasatan ini mengambil masa kerana bahan-bahan binaan yang digunakan untuk membina bangunan berkenaan perlu diuji secara teliti,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, selepas siasatan selesai dijalankan, laporan kajian itu akan diserahkan kepada kerajaan negeri Perak dan juga Kementerian Kerja Raya.

Kelmarin, bangunan dua tingkat milik PTNP yang sudah hampir siap di lereng Tasik Banding runtuh sama sekali dipercayai akibat kerosakan pada strukturnya.

Laporan awal JKR menyatakan kelemahan pada cerucuk dan ketidaksesuaian reka bentuk bangunan mungkin menjadi punca bangunan pusat pentadbiran Taman Negara Royal Belum itu runtuh.

Sementara itu, satu sumber kerajaan negeri memberitahu Utusan Malaysia, pembinaan bangunan PTNP tersebut dipercayai dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat Design Dimension Architect Sdn. Bhd. (DDA).

Sumber memberitahu, syarikat berkenaan dikatakan telah dilantik oleh kerajaan negeri selaku perunding utama bagi projek bernilai RM3.7 juta itu.

Bagaimanapun, kerana beberapa masalah lain, nilai sebenar projek itu telah meningkat kepada RM4.9 juta dan bangunan itu hanya diserahkan kepada PTNP pada 21 Jun 2006, terlewat hampir setahun daripada jadual yang ditetapkan.

Syarikat DDA yang diamanahkan kerajaan negeri bagi memikul tanggungjawab pembinaan bangunan itu dikatakan melantik konsultan lain bagi menjalankan pembinaan tersebut.

Pihak yang dilantik oleh DDA ialah syarikat City Perunding Sdn. Bhd. selaku Perunding Struktur dan Bangunan, syarikat KH Zam Engineers Sdn. Bhd. (Perunding Mekanikal dan Elektrik) dan syarikat JB Consult (Perunding Ukur Bahan).

Syarikat Ribu Laksana (M) Sdn. Bhd. (Kontraktor Kelas B) yang beralamat di No. 82B, Jalan Leong Boon Swee, Ipoh pula dilantik sebagai kontraktor utama projek tersebut pada 30 Ogos 2004.

Kronologi lengkap kejadian tanah runtuh hingga Kompleks PTNP itu ranap sama sekali adalah seperti berikut:

* 23 September 2007 – Kejadian tanah runtuh pertama telah berlaku dan mengakibatkan bangunan Kompleks PTNP rosak dan merekah membabitkan 14 buah bilik dan empat dorms.

Ekoran itu, pihak JKR telah mengarahkan pihak konsultan secara serta-merta melaksanakan kerja-kerja pengukuhan cerun dan membuat kajian mendalam mengenai kestabilan cerun dan keselamatan bangunan tersebut.

* 30 Oktober 2007 – Kementerian Kewangan telah meluluskan permohonan untuk melaksanakan kerja-kerja kecemasan.

* 10 November 2007 – Lebih kurang pukul 6 pagi, runtuhan kedua berlaku mengakibatkan bahagian sayap kanan bangunan tersebut runtuh dan menyebabkan kerosakan di bahagian lain bangunan.

* 12 November 2007 – Kerajaan negeri telah melantik JKR negeri secara serta-merta sebagai Badan Penyiasat Bebas untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan kejadian bangunan runtuh tersebut.

* 13 November 2007 – Namun usaha itu agak terlambat apabila berlaku runtuhan tanah buat kali ketiga di kawasan tersebut pada kira-kira pukul 7 pagi yang mengakibatkan keseluruhan bangunan itu runtuh.

0 comments: