Middle Rocks, South Ledge juga milik Malaysia

THE HAGUE, Belanda 15 Nov. – Tindakan Singapura menuntut hak kedaulatan ke atas Middle Rocks dan South Ledge 13 tahun selepas Pulau Batu Putih hanya bertujuan menyokong kes mereka, hujah Profesor Nico Schrijver.

Beliau memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini, tuntutan tersebut sebenarnya tidak relevan kerana kedua-dua bentuk batu itu bukan gugusan Pulau Batu Putih seperti yang didakwa oleh Singapura sepanjang hujah lisan republik itu minggu lepas.

Katanya, baik dari sudut geologi, geomorfologi, hidrografi, pelayaran mahupun undang-undang antarabangsa, ketiga-tiga pulau batu itu kekal berasingan dan merupakan bentuk maritim yang berbeza.

“Singapura tidak boleh menuntut hak kedaulatan ke atas Middle Rocks dan South Ledge semata-mata berdasarkan tuntutan mereka ke atas Pulau Batu Putih.

“Ia (Singapura) mesti menunjukkan bahawa mereka mempunyai hak kedaulatan ke atas setiap bentuk maritim itu secara berasingan.

“Manifestasi ini yang gagal dilakukan oleh Singapura,” katanya ketika mengemukakan hujah lisan di hadapan Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh serta 14 hakim lain di sini, hari ini.

Schrijver berhujah, pada 14 Februari 1980 iaitu ketika Singapura menuntut hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, tiada rujukan dibuat ke atas Middle Rocks dan South Ledge.

Sebaliknya, tambah beliau, tuntutan ke atas kedua-dua bentuk maritim itu hanya dibuat 13 tahun selepas itu iaitu pada 6 Februari 1993, ketika berlangsungnya rundingan antara Malaysia dan Singapura berhubung Pulau Batu Putih.

“Amat jelas kelewatan tuntutan oleh Singapura ke atas Middle Rocks dan South Ledge hanya bertujuan menyokong tuntutan mereka ke atas Pulau Batu Putih,” hujahnya.

Menurut Schrijver, dakwaan peguam Singapura, Alen Pellet bahawa Pulau Batu Putih dan Middle Rocks membentuk satu unit, oleh itu South Ledge juga termasuk dalam kawasan tersebut tidak berasas sama sekali.

Tegas beliau, ketiga-tiga pulau batu itu tidak boleh disifatkan sebagai satu kumpulan semata-mata berdasarkan persamaan karakter yang ada pada batu-batu itu.

– Utusan

0 comments: