Surat Pilihan: Lim Goh Tong bermula dari bawah, angkasawan bermula dari atas

Muhammad Hanafi
Thu | Oct 25, 07 | 12:13:31 pm MYT

Sekalipun kesal dan marah dengan tindakan akhbar harian nasional Melayu yang memperbesar-besarkan kejayaan mendiang Lim Goh Tong selepas kematiannya (ada sesetengahnya menyiarkan tiga muka surat kisah Raja Kasino itu, seolah-olah merestui pembinaan tempat maksiat, Kasino Genting), saya kagum dengan sikap beliau seperti ditulis dalam akhbar-akhbar berkenaan.

Goh Tong (namanya kini diabadikan pada sebuah tempat di Pahang; bernama Goh Tong Jaya), bermula daripada bawah. Anak pendatang dari China pada usia 19 tahun ini memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan, kemudian jatuh, bangun kembali dan akhirnya menjadi orang ke-200-300 terkaya di dunia selepas projeknya menjadikan sebuah puncak hutan di Pahang sebagai pusat hiburan termasuk kasino menjadi.

Untuk berjaya Goh Tong bermula daripada bawah. Goh Tong tidak bermula daripada atas. Ramai peniaga berjaya dan utuh bermula daripada bawah. Kalau seorang usahawan dalam bidang penyajian makanan, dia bermula daripada menggunakan kereta sorong, kemudian gerai, restoran, dan kemudian menapak jauh lagi.

Kebanyakan peniaga Melayu yang tidak berjaya bermula daripada atas. Untuk memulakan perniagaan yang belum berjalan pun, mereka membuat pinjaman besar – RM100,000 atau RM200,000. Mereka kemudian berlagak dengan kereta besar dan rumah besar sedangkan perniagaan belum pun berjalan. Akhirnya mereka hancur! Hutang MARA dan Bank Bumiputra yang lingkup itu pun mereka tidak bayar.

Jika Goh Tong yang menjadi pujaan ramai termasuk PM yang memberi ulasan pujian melangit kepada Raja Kasino ini, bermula daripada bawah, mengapa tidak projek angkasawan kita? Kenapa kita tidak majukan anak bangsa kita serta infrastukturnya sebelum kita meluncurkan anak watan ke angkasa raya?

Apakah projek angkasawan kita mahu mencontohi ramai peniaga Melayu yang 'hancus' itu? Mereka bermula daripada atas, kemudian hancur. Apakah kita mahu jadi hebat, hebat, hebat di angkasa dan selepas itu menyembah bumi?

Dalam hal ini, contohilah Lim Goh Tong. Janganlah contohi Si Bedul yang meranapkan Bank Bumiputra itu. Bermulalah daripada bawah, jangan bermula daripada atas. Kalau bermula daripada bawah, seandainya jatuh taklah teruk sangat, tapi kalau bermula daripada angkasa raya, kalau jatuh nanti, jawapannya tidak bangun-bangun lagi! – lanh

0 comments: