Gara-gara Benazir pulang

Subky Abdul Latif
Thu | Oct 25, 07 | 11:37:51 am MYT

Kepulangan Benazir Bhutto dari buangan selama lapan tahun ke Pakistan tidak memberikan harapan yang baik bagi Pakistan, Parvez Musharraf dan Benazir Bhutto sendiri.

Sekalipun kepulangannya itu disambut oleh puluhan ribu penyokong, kota Karachi menjadi lautan manusia pada hari kapalterbang yang membawanya mencecah bumi Pakistan, setiap sudut di kota itu dipenuhi poster dan sepanduk mengalukan kepulangannya bagaikan seorang wira yang membawa kemenangan; tetapi bagai yang dibimbangkan, tidak sempat 24 jam ketibaannya, Pakistan bermandi darah, yang terburuk dalam sejarah kewujudan negara itu.

Pada letupan konvoi mengiringi Benazir itu sekurang-kurangnya 138 terbunuh dan antara 300 รข€“ 400 cedera.

Siapa yang melancarkan letupan itu? Paling mudah ialah menuduh Al-Qaeda dan Taliban. Tetapi yang jelas ia adalah tindakan bangsa Pakistan yang menentang Musharraf dan politik Bush yang menjadikan Pakistan sebagai alat dan boneka Amerika.

Sebagaimana rakyat Amerika sekarang bergerak untuk mengakhiri politik Bush dan Dick Cheney, maka begitulah rakyat Pakistan yang mahu Pakistan bebas dari diperalat Amerika, bergerak mahu membebaskannya dari kuasa diktator Musharraf.

Tiada cara Musharraf boleh melanjutkan kuasa, kerana jelas dia telah menyebabkan Pakistan dalam gelombang politik yang tidak menentu. Kedudukan Musharraf yang berada di hujung tanduk seperti mahu diselamatkan oleh Benazir.

perkongsian kuasa Musharraf - Benazir

Muafakat Musharraf dan Benazir yang bersetuju untuk berkongsi kuasa dilihat boleh memberi nafas sementara kepada kuasa goyang Musharraf dan setiap yang boleh menyambung nafas Musharraf adalah bagi memperpanjang kehadiran pengaruh Amerika di Pakistan.

Benazir memang telah dilihat lama sebagai pemimpin yang disenangi Amerika. Itulah imej yang ada padanya sejak dua kali menjadi Perdana Menteri. Ia suatu yang tidak disenangi oleh politik nasional Pakistan.

Politik Benazir yang sentiasa dilihat membuka ruang kepada Amerika untuk memupuk pengaruh bagi melemahkan arus nasionalistik yang berkecuali dan pro-Islam di Afghanistan dan di Pakistan. Mungkin Pakistan tidak berupaya menjadi negara kuasa nuklear kiranya negara itu terus menerus di bawah Benazir.

Dalam imej seperti itu dia pulang dalam suasana Pakistan di bawah kejatuhan Musharraf. Walaupun mimpinya tidak sama dengan mimpi Musharraf, tetapi kepulangannya dapat melegakan Musharraf.

Sekurang-kurangnya Musharraf sudah berjaya mendapatkan undi yang secukupnya di Parlimen untuk menjadi Presiden bagi penggal kedua. Kiranya ia tidak disokong oleh penyokong Benazir, sukar bagi Musharraf untuk menjadi undi yang diperlukan.

Setakat rencana ini ditulis Musharraf masih tertangguh untuk memulakan penggal keduanya kerana menunggu keputusan mahkamah agung apakah pencalonan sah dari segi perlembagaan. Tetapi rakyat Pakistan yang rata-rata bencikan Musharraf melihat politik Benazir telah membantu Musharraf untuk bernafas.

faktor Amerika

Semua melihat yang memungkin Benazir bermuafakat dengan Musharraf adalah atas perancangan Amerika. Amerika dipercayai menyusun idea kepada kedua-duanya berkongsi kuasa untuk kepentingan Amerika. Amerika sedang cemas di Afghanistan. Tanpa Musharraf, Amerika tidak dapat berkuat di Afghanistan dan tidak terdaya meneruskan kempen menentang Taliban dan al-Qaeda.

Pihak lain yang dapat diharapkan oleh Amerika bagi mengekalkan cengkamannya ke atas Pakistan ialah Benazir. Tetapi Benazir menghadapi kes rasuah dan tidak boleh pulang ke Pakistan. Dia menjadi orang buangan sebelum Msharraf merampas kuasa.

Maka Musharraf dianjurkan memberi laluan pulang kepada Benazir, melucutkan tuduhan rasuah terhadapnya, menawarkan laluan berpolitik mudah kepadanya. Perkongsian kuasa antara keduanya, dapat mengekalkan Musharraf menjadi Presiden, dan dengan sokongan Musharraf boleh menjadikan Benazir kembali sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga.

Benazir boleh menuntut apa saja dan ia akan disetujui Musharraf asal Benazir dapat mengekalkannya menjadi Presiden. Maka Benazir menuntut supaya Musharraf melucutkan jawatan Ketua Turus Tentera. Ia disetujui oleh Musharraf.

Kedua-duanya bersetuju untuk terus memerangi al-Qaeda dan Taliban dan lain-lain gejala yang disifatkannya keganasan.

Benazir dapat apa yang dikehendakinya. Tetapi ia tidak menjamin Benazir akan terus setia kepada Musharraf. Apa yang dikehendakinya ialah kemudahan pulang dan laluan mudah untuk berpolitik semula.

Tetapi kiranya Musharraf satu liabiliti berterusan bagi Benazir dan Amerika, maka bukan mustahil Musharraf akan digantikan oleh Benazir seperti beberapa boneka Soviet Union di Afghanistan yang diganti satu demi satu dulu. Noor Tariki, Hafiz Amin dan Babrak Kamal dibuang Kremlin secara hina apabila mereka menjadi beban.

Persetujuan awal Benazir dan Musharraf adalah untuk memerangi habis-habisan Al-Qaeda dan Taliban. Maka sudah tentu Al-Qaeda dan Taliban yang sedang memerangi regim Musharraf akan menjadikan kedua-duanya sasaran. Mereka secara terbuka melancarkan perang terhadap Benazir di samping sudah pun menjadikan Musharraf dan kerajaan sebagai sasaran.

Permintaan Musharraf supaya Benazir menangguhkan kepulangannya kerana ancaman itu ditolak oleh Benazir. Tiada pilihan bagi Musharraf terpaksa menghadapi segala masalah bagi keselamatan Benazir. Ia satu beban baru bagi Pakistan.

Anti-Musharraf dan anti-Benazir melaksanakan kegiatannya. Benazir terselamat dari cubaan membunuhnya. Tetapi pertumpahan darah sudah pun berlaku. Dan Pakistan terus bergolak serta tiada laluan mudah buat Benazir dan Musharraf.

Yang diperhatikan sekarang ialah reaksi Nawaz Sharif dan Parti Liga Islamnya. Jika dia tidak pulang, dia akan ketinggalan dalam pergolakan yang terbaru dan membiarkan Benazir sendiri menghadapi keadaan. Oleh itu Nawaz kena pulang.

Apabila dia pulang, suasana Pakistan akan bertambah bergelora. Semuanya gara-gara angkara kerakusan Amerika./tajdid

0 comments: