Tiada ujian cap jari dilakukan atas selipar

SHAH ALAM 24 Okt. – Ketua Bahagian Kimia, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Supritendan Soo Mee Tong mengaku beliau tidak membuat sebarang ujian mengesan cap jari ke atas sepasang selipar yang dirampas dari sebuah kenderaan pacuan empat roda milik tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar.

Saksi Pendakwa ke-42 dalam perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu memberi alasan permukaan selipar lebih kasar tidak sesuai untuk kaedah super glue fuming dan ninhydrin walau mengaku kesan darah kelihatan comot mungkin disebabkan sentuhan tangan.

Perbicaraan masuk hari ke-51 hari ini.

Menjawab soalan peguam yang mewakili Sirul Azhar, Hasnal Redzua Merican semasa pemeriksaan balas, Mee Tong juga memberitahu tiada sebarang coletan kapas dibuat ke atas selipar tersebut bagi mengesan kehadiran asid deoksiribonukleik (DNA) daripada peluh pada selipar yang tertulis perkataan ‘Heat Adswad’.

Hasnal: ‘‘Adakah selipar ini dibuat ujian swab (coletan) untuk DNA di mana-mana bahagian?

Mee Tong: ‘‘Tidak. Hanya spot test ke atas darah.’’

Hasnal: ‘‘Kesan peluh pada selipar kalau ada boleh digunakan untuk ujian DNA.’’

Mee Tong: ‘‘Kalau nak swab untuk DNA, untuk pengetahuan saya selipar ini adalah ringan dan susah untuk dapatkan DNA.’’

Hasnal: ‘‘Tetapi seluruh berat badan berada di atas selipar?’’

Mee Tong: ‘‘Semua barang kes akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia dan tiada keperluan untuk kamu melakukan coletan.’’

Hakim Datuk Mohd Zaki Md. Yasin: ‘‘Selipar ringan kalau pegang tak tinggalkan kesan peluh, tapi kalau orang pakai akan tinggalkan kesan peluh.’’

Mee Tong: ‘‘Saya setuju. Tetapi coletan pada selipar tak perlu kerana Jabatan Kimia Malaysia boleh tentukan kalau ada DNA orang lain.’’

Semasa diperiksa balas oleh peguam Kamarul Hisham Kamarudin pula, Mee Tong bersetuju bahawa DNA atau cap jari akan tertinggal sekiranya objek yang menyentuh darah yang belum kering pada selipar itu tangan atau jari manusia.

Menurutnya, pemeriksaan cap jari dianggap penting sekiranya beliau dapat melihat jalur cap jari atau cap jari plastik pada kesan darah tersebut.

Bagaimanapun, pada hari itu, kata Mee Tong, bukan sekadar kesan cap jari, malah bentuk jari pun tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Sehubungan itu, beliau mengaku tidak memberi sebarang cadangan agar pemeriksaan cap jari dilakukan ke atas selipar itu semasa menyerahkan barang-barang kes kepada pegawai penyiasat, Asisten Superintendan (ASP) Tonny Lunggan.

Mee Tong juga bersetuju dengan cadangan Kamarul bahawa siapa yang memakai selipar di sekitar waktu kejadian tidak dapat diketahui berikutan ketiadaan sebarang ujian cap jari atau DNA dilakukan ke atasnya.

Selain itu, beliau juga mengaku tidak mengambil contoh tanah pada selipar tersebut untuk ujian perbandingan kerana jumlahnya terlalu sedikit.

Di dalam keterangan hari ini, beliau yang mengetuai pasukan siasatan di tempat kejadian (CSI) itu mendedahkan tiada sebarang kesan cap jari ditemui di dalam pacuan empat roda itu selepas kaedah pengasapan super glue fuming dilakukan.

Begitu juga di bahagian luar kenderaan jenis Suzuki 1300 berwarna kebiru-biruan itu kerana pasukannya tidak melakukan sebarang pemeriksaan cap jari di bahagian itu.

Dalam kes ini, Cif Inspektor Azilah Hadri, 31, dan Sirul Azhar, 36, didakwa membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh itu dibicara bersama penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda yang didakwa bersubahat dengan mereka melakukan pembunuhan tersebut di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara pukul 9.45 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Oktober tahun lalu.

Perbicaraan bersambung esok.

0 comments: