AS, Russia berbalah ancaman Iran

WASHINGTON: Presiden George W Bush kelmarin berkata pelan mewujudkan sistem pertahanan peluru berpandu di Eropah yang diketuai Amerika Syarikat amat diperlukan untuk menangani ancaman serangan daripada Iran.

"Jika Iran memilih untuk melancarkan serangan dan masyarakat antarabangsa tidak mengambil langkah menghalangnya, berkemungkinan Iran mempunyai kemampuan itu. Dan kita perlu mengambil serius perkara ini - sekarang," katanya.

Amaran terbaru Bush mengenai cita-cita nuklear Teheran disuarakan dalam mempertahankan dasar keselamatannya di Universiti Pertahanan Kebangsaan dan muncul tidak lama selepas Setiausaha Pertahanan, Robert Gates, memberitahu sidang akhbar di Republik Czech bahawa Washington mungkin menangguhkan proses mengaktifkan kawasan pertahanan peluru berpandu sehingga memperoleh 'bukti kukuh' mengenai ancaman peluru berpandu Iran.


Dalam ucapannya, Bush berkata anggaran perisikan menunjukkan Iran mempunyai kemampuan menyerang Amerika dan banyak sekutu Eropahnya menjelang 2015.

Amaran mengenai Iran itu jelas bertentangan dengan kenyataan Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov, ketika melawat Tokyo baru-baru ini.

Katanya, inisiatif pertahanan peluru berpandu diketuai Amerika di Eropah dan Asia berasaskan penilaian salah mengenai ancaman dari Iran.

"Korea Utara yang memberikan ancaman, bukan Iran," Lavrov dipetik sebagai memberitahu Menteri Luar Jepun, Masahiko Komura.

Bush cuba mendapatkan perhatian Russia dan mengheret Moscow ke dalam rancangannya, dengan membayangkan sistem yang dirancang itu sebagai 'usaha kerjasama' menentang 'ancaman yang memberi kesan kepada semua.'

Dia memberikan pandangan positif kepada tawaran Presiden Russia, Vladimir Putih, menempatkan cadangan itu di Azerbaijan dan selatan Russia.� AP

0 comments: