BPR tangkap si 'pemutar skru' tetapi pemimpin perasuah bebas - Anwar

Wan Nordin dan Azamin Amin | Foto Wan Zahari Salleh
Thu | Oct 25, 07 | 1:12:03 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Hrkh) - Meskipun Badan Pencegah Rasuah (BPR) bertindak menahan beberapa orang yang mempunyai kaitan dengan Laporan Ketua Audit Negara 2006, termasuk kes 'pemutar skru' di mahkamah semalam, namun bagi Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibarhim perasuah di kalangan pemimpin masih dibebaskan.

ImageKatanya tindakan ini seolah-olah untuk menunjukkan BPR berjaya dalam membanteras perasuah, sebaliknya dilihat Anwar sebagai usaha kerajaan BN dengan menggunakan BPR untuk menutup skandal rasuah besar membabitkan pemimpin mereka.

"Pada minggu ini media telah memainkan beberapa kejayaan terbaru BPR khususnya di dalam kes 'pemutar skru', tetapi janganlah kita melupakan kes yang lebih besar yang belum selesai seperti kes skandal kehakiman, kapal selam Scorpene, jet Sukhoi dan PKFZ,"kata Anwar sambil disahut penyokongnya yang juga menyebut nama Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Beliau juga berkata,salah laku kehakiman kini nampaknya gagal ditangani dan wujud usaha untuk menutup segala bukti, apatah lagi keseluruhan siasatan akan diperlekehkan jika Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meneruskan kontrak Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang terpalit dengan isu 'Pita Lingam'.

Beliau juga mengecam pentadbiran Abdullah yang gagal sama sekali menangani kes-kes berprofil tinggi malah membiarkan perasuah terus menerajui negara dan turut menyelar panel bebas yang tidak berfungsi dalam kes 'Pita Lingam'.

"Walaupun saya bekerjasama dengan BPR, tetapi saya tetap mahukan Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi menyiasat kes 'Pita Lingam',"tegasnya.

Anwar juga mengharapkan isu ini berterusan menjelang Pilihan Raya Umum ke-12 yang dijangkakan akan berlaku dalam masa terdekat ini (November) supaya dapat memberi 'kelebihan' kepada rakyat untuk menilai prestasi buruk kerajaan pimpinan Abdullah.

ImageBercakap mengenai isu yang sama,Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrol Amin Bahron menyifatkan apa yang berlaku dalam negara ini merupakan 'filem bollywood' yang menjadi realiti.

"Kita sakit hati bila tonton filem Hindustan yang memaparkan salah laku polis dan kehakiman, tetapi realitinya berlaku dalam negara kita sendiri.Semua ini menunjukkan sistem kehakiman, politik, ekonomi dan sosial yang rosak,"katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula berkata beliau sangsi dengan tindakan BPR terhadap 10 individu yang ditahan semalam.

Baginya, mereka seharusnya didakwa tiga atau empat tahun lalu bukannya mengambil masa yang lama seperti sekarang.

"Semasa saya jadi CEO Sime Darby, sebelum laporan didedah kepada umum atau lembaga pengarah, saya telah ambil tindakan segera terhadap mereka yang menyalahgunakan kuasa dan harta,"katanya.

Sementara itu, semalam, Badan Pencegah Rasuah (BPR) mendakwa 10 orang termasuk sembilan kakitangan kerajaan di mahkamah di tiga negeri atas tuduhan yang mempunyai kaitan dengan Laporan Ketua Audit Negara 2006.- mks.

0 comments: