Saksi setuju pemeriksaan dibuat secara selektif

Oleh Norazlita Mohd. Sies dan Noor Azmah Ibrahim

SHAH ALAM 24 Okt. – Setelah ‘diasak’ dengan pelbagai soalan, akhirnya seorang pegawai polis mengakui bahawa pemeriksaan dan ujian yang dijalankan ke atas sebuah jip yang dikatakan pernah membawa wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, tidak dijalankan dengan menyeluruh sebaliknya dibuat secara selektif.

Ketua Bahagian Kimia, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cheras, Supritendan Soo Mee Tong, 51, memberitahu demikian di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ketika menjawab soalan yang dikemukakan secara bertali arus oleh peguam Hazman Ahmad.

Soalan Hazman berkisar kepada ‘kegagalan’ Mee Tong (saksi pendakwa ke-42) menghantar pakaian yang terdapat di dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Suzuki 1300 berwarna kelabu kebiru-biruan dan bernombor pendaftaran CAC 1883 ke Jabatan Kimia Petaling Jaya untuk tujuan analisis.

Peguam berkenaan mempersoalkan mengapakah saksi tidak terfikir langsung untuk menghantar pakaian tersebut walhal barang lain yang terdapat di dalam kenderaan yang sama telah diambil untuk tujuan analisis.

Hazman: “Jika kamu menghantar pakaian tersebut, ada kemungkinan pemiliknya ialah orang lain yang mungkin telah meminjam kenderaan tersebut. Dan mungkin juga orang lain turut hadir di dalam kenderaan itu.”

Mee Tong: “Tidak semestinya.”

Hazman: “Bagaimanakah kamu boleh jawab begitu. Sedangkan kamu tidak menghantar pun pakaian tersebut untuk dianalisis.”

Saksi hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Hazman dengan nada sinis berkata: “Ada kemungkinan orang lain yang meminjam kenderaan tersebut dan menukar baju lalu meletakkannya di situ.”

Mee Tong: “Kalaulah kamu terjumpa baju saya di dalam rumah kamu, tidak semestinya saya yang masuk ke dalam rumah kamu.”

Hazman: “Tetapi bukankah terdapat kemungkinan begitu memandangkan kamu tidak menjalankan ujian.”

Saksi berkenaan bagaimanapun menjelaskan bahawa apabila beliau mengambil bahan bukti memanglah terdapat kemungkinan.

Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin kemudiannya menerangkan kepada saksi maksud soalan Hazman sambil berkata: “Ada tak kemungkinan orang lain memasuki kenderaan tersebut.”

Mee Tong: “Memang ada kemungkinan.”

Hazman yang masih kelihatan seolah-olah masih belum ‘puas’ dengan jawapan saksi, terus mempersoalkan tindakan Mee Tong membuat calitan pada tempat pemegang tangan dalam kenderaan itu.

Jawab Mee Tong, beliau berbuat demikian disebabkan terdapat kemungkinan ia (tempat pemegang) ada disentuh.

Mendengarkan jawapan tersebut, Hazman terus bertanya: “Oh dengan lain perkataan, kamu secara tidak langsung mengandaikan pakaian yang menjadi persoalan itu tidak disentuhlah.”

Mee Tong cuba menjelaskan bahawa dengan hanya memegang sesuatu objek ia tidak akan memindahkan DNA kerana baju tidak dipegang dengan kuat.

Secara selamba Hazman berkata lagi: “Jadi kamu juga mengandaikan pakaian itu telah pun dipakai oleh orang lain. Tetapi bagaimanakah caranya untuk kamu mengetahuinya melainkan kamu menjalankan ujian dan pemeriksaan.”

Saksi bagaimanapun mengakui bahawa beliau tidak membuat pemeriksaan ke atas pakaian berkenaan, sehelai demi sehelai.

Setelah peguam itu menghalusi jawapan-jawapan yang diberikan oleh Mee Tong, beliau membuat satu kesimpulan bahawa saksi tidak menjalankan analisis yang menyeluruh ke atas bahan bukti di tempat kejadian. Sebaliknya membuat ujian secara selektif (berpilih-pilih).

Mee Tong menjawab ringkas: “Saya setuju.”

Ketika disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Rashid, saksi memberitahu bahawa ketika menjalankan siasatan, pihaknya tidak berupaya menghantar setiap barang yang dijumpai di tempat kejadian ke Jabatan Kimia.

“Kalau semua hendak dihantar, tidak tahulah berapa lori untuk mengangkutnya. Jadi kenalah buat pilihan barang mana hendak dihantar iaitu yang mempunyai kaitan sahaja,” jelas saksi.

Hakim Mohd. Zaki dengan nada berseloroh mencelah: “Tetapi kalau gunakan jip yang sama tidak perlulah mengangkut barang menggunakan lori.”

Saksi berkata: “Yang Arif. Tempat untuk menyimpan barang kes juga menjadi suatu masalah. Umpamanya, jika barang kes dalam suatu rompakan kedai. Tak kanlah hendak menghantar semua barang yang terlibat. Kenalah pilih.”

0 comments: