Tangan hakim kebas terlalu banyak menulis

SHAH ALAM 24 Okt. – Walaupun berkebolehan menulis menggunakan kedua-dua belah tangan, hakim kes bunuh Altantuya Shaariibuu, Hakim Mohd. Zaki Md. Yasin ‘tewas’ juga akhirnya.

Beliau mengakui tangannya merasa kebas akibat terlalu banyak mencatat nota prosiding pada perbicaraan itu.

Akibat masalah tersebut, hakim berkenaan berhenti seketika daripada bersidang untuk merehatkan tangannya.

Hakim Mohd. Zaki: “Tadi jari-jari tangan kiri saya merasa kebas. Sekarang jari tangan kanan pula. Jadi jari mana sekarang saya hendak gunakan.”

Pada tahap ini, beliau kelihatan menggenggam-genggam kedua-dua belah tangannya.

Walaupun begitu, Hakim Mohd. Zaki masih lagi sempat mengajukan beberapa soalan kepada saksi, Supritendan Soo Mee Tong mengenai sehelai rambut yang dijumpai di celah tempat duduk hadapan jip Suzuki Vitara bernombor pendaftaran CAC 1883.

Hakim: “Berapa panjangkah rambut yang kamu jumpai itu.”

Mee Tong: “Yang Arif, saya tidak mengukurnya. Tetapi memang ia sehelai rambut yang panjang.”

Hakim itu turut mempersoalkan tindakan Mee Tong yang mengukur kelongsong peluru walhal memang sedia maklum bahawa ia berukuran 9mm.

“Jadi kamu memang tidak mengukur panjang sehelai rambut tersebut. Kamu mengatakan ia panjang hanya berdasarkan gambar sahaja,” soal Hakim Mohd. Zaki kepada Mee Tong.

Saksi itu mengakui memang beliau tidak mengukurnya.

0 comments: