Nash, Sosilawati setuju usul sulh

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar


Nasharuddin Elias dan Sosilawati Lawiya

Usahawan mohon cerai jika rundingan gagal

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal Nasharuddin Elias atau Nash mendakwa isterinya, Sosilawati Lawiya, sering mengaibkannya selain memandang rendah keupayaannya, termasuk membawa cerita beliau daif dan tidak berduit.

Bekas penyanyi Lefthanded itu juga mendakwa Sosilawati, pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, memberitahu media dan kenalannya, beliau yang meminta cerai.


Nash, 47, berkata dia tidak pernah menceraikan isterinya seperti dilaporkan media dan mereka masih suami isteri yang sah walaupun tidak tinggal sebumbung.

"Saya tidak pernah melafazkan cerai. Saya juga tidak pernah mencetuskan pergaduhan dari mula perkahwinan saya hingga sekarang. Ini semua fitnah.

"Saya sengaja tidak mahu menggembar-gemburkan cerita ini kerana isteri saya meminta cerai pada bulan Ramadan, sedangkan saya sangat menghormati bulan itu.


"Perceraian ini diminta oleh isteri saya dan saya sama sekali tidak setuju. Bagaimanapun tindakannya mengata saya sangat mengaibkan diri saya seolah-olah tidak mempunyai duit dan begitu daif," katanya pada sidang media di pejabat peguamnya, Amli Embong, di sini, semalam.

Sidang akhbar itu diadakan selepas selesai menghadiri prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Gombak, berhubung kes perceraian yang difailkan Sosilawati, 18 September lalu.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Mohammad menangguhkan permohonan cerai itu kepada 23 November ini untuk memberi masa kepada mereka untuk berunding.

Sebelum itu, peguam Sosilawati, Mohd Zaidi Mohd Zin, memberitahu mahkamah, pihak Nash memutuskan satu usul sulh diadakan sebagai penyelesaian kepada kemelut perkahwinan mereka.

"Kami mengalu-alukan cadangan Sulh itu. Namun, jika ia gagal, permohonan perceraian akan diteruskan," katanya.

Sementara itu, Amli berkata, anak guamnya tidak bersetuju untuk bercerai.

Sosilawati yang hadir pada prosiding itu tenang ketika mendengar keputusan mahkamah.

Beliau yang ditemui di luar mahkamah berkata: "Saya akan tetap memohon cerai sekiranya penyelesaian sulh gagal".

Pasangan itu berkahwin Disember tahun lalu dan Sosilawati memohon cerai bulan lalu selepas mendakwa ada masalah dalam perkahwinan mereka.

Ditanya apa keputusannya jika Sosilawati bersetuju untuk berunding, Nash berkata, dia tiada masalah jika syaratnya boleh dipersetujui.

"Selama 11 tahun selepas bercerai dengan isteri pertama, saya menjadi bapa tunggal dan berdiri sendiri untuk menanggung anak saya. Saya seorang yang sangat fleksibel," katanya.

Mengenai tingkah lakunya dan Sosilawati yang tidak bertegur sapa ketika berada di pekarangan mahkamah, Nash berkata: "Sosilawati sepatutnya menghormati saya. Dia isteri saya dan sepatutnya datang menegur saya, bukan saya yang harus pergi menegurnya," katanya.

0 comments: