RM237j ganti rugi jambatan bengkok

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan pembayaran pampasan RM237 juta apabila menamatkan cadangan pembinaan jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor tidak lama dulu, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

"Jumlah ini termasuk tuntutan bayaran kerja yang dilaksanakan di tapak berjumlah RM55 juta menjadikan jumlah sebenar pampasan RM237 juta," katanya menjawab soalan Dr Mohamed Hayati Othman (BN-Pendang).

Dr Hilmi berkata, sebagai alternatif kepada pembatalan kontrak jambatan bengkok itu, kerajaan kini sedang berbincang dengan kerajaan negeri bagi membina laluan tetap yang menghubungkan Tambak Johor dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin.


Beliau berkata, kerajaan menamatkan dua projek iaitu pembinaan jambatan itu dan pembinaan Loji Rawatan Termal Sisa Pepejal di Broga, Selangor sepanjang lima tahun lalu.

Namun bagi projek insinerator di Broga, jumlah bayaran pampasan belum diputuskan dan kerajaan sedang dalam proses membuat semakan dan perbincangan dengan pihak kontraktor berkenaan, katanya.

"Pada masa ini sisa pepejal dari kawasan Kuala Lumpur dilupuskan ke tapak pelupusan di Bukit Tagar," katanya.

Menjawab soalan Datuk Goh Siow Huat (BN-Rasah), Dr Hilmi berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menjadikan Port Dickson, Negeri Sembilan sebagai kawasan zon perdagangan bebas.

Bagaimanapun, Port Dickson akan dibangunkan sebagai zon kesihatan untuk menarik lebih ramai pelancong bagi tujuan perubatan, katanya.

0 comments: