Rakyat usah cepat tuding jari salahkan SPRM

Rakyat usah cepat tuding jari salahkan SPRM

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my


KEMATIAN Teoh dijadikan isu besar pihak tertentu terutama pembangkang untuk mencari salah SPRM.

Usaha negara basmi rasuah seakan sia-sia sekiranya setiap tindakan, siasatan sering dipertikai

PENUH emosi dan dihimpit tekanan - mungkin demikian persepsi awal paling tepat bagi menggambarkan kenyataan Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shukri Abdull, minggu lalu yang tidak semena-mena mahu menghentikan siasatan terhadap ahli politik berikutan kecaman hebat daripada pelbagai pihak berhubung prosedur siasatan yang dijalankan suruhanjaya itu.

Apa sebenarnya yang bermain dalam fikiran pegawai kanan SPRM itu, hanya beliau yang tahu. Bagaimanapun, di mata kasar ia lebih kepada mainan perasaan yang berkecamuk dan boleh cermin profesionalisme menjalankan tugas. Namun realitinya, itulah sifat individu normal yang akan memberi reaksi spontan terhadap apa difikirkannya.

Mungkin benar, mungkin salah, tetapi itulah juga yang diperkatakan apabila Shukri mengeluarkan kenyataan demikian. Malah, ada juga mencebik dan berkata 'kenapa cepat mengalah'.

Tentunya benar apabila Shukri menegaskan SPRM mengikut prosedur ketika penahanan pembantu Exco Selangor, Wong Chuan How dibuat, termasuk membacakan amaran bertulis sebelum penahanan, dan suspek perlu dibawa ke pejabat SPRM.

Ini disebabkan semua peralatan diperlukan untuk merekod keterangan berada di ibu pejabat atau pejabat siasatan SPRM. Soalnya, apakah orang ramai menerima kenyataan seperti itu kerana rata-rata kita tahu masyarakat lebih gemar berbicara mengenai keburukan berbanding kebaikan.

Malah, Panel Penilaian SPRM yang dipengerusikan Tan Sri Hadenan Abdul Jalil pernah mengutarakan masalah persepsi awam terhadap SPRM yang lebih negatif berbanding positif. Berbalik kepada kenyataan Shukri, setidak-tidaknya beliau mendedahkan apa yang selama ini terbuku di hatinya iaitu campur tangan politik menyukarkan beliau dan kakitangannya melaksanakan tugas seperti diharapkan, selain kritikan diterima setiap kali kertas siasatan membabitkan ahli dan parti politik dibuka.

Nyata di sini, kuasa yang dikatakan diberikan kepada SPRM tidak melambangkan erti sebenar perkataan itu. Campur tangan politik dimaksudkan sebenarnya menjurus kepada tekanan yang dikenakan umum terhadap SPRM setiap kali ahli politik disiasat, lebih-lebih lagi jika daripada parti pembangkang.

Begitupun, susulan kenyataan Shukri itu, janganlah pula ada ahli politik yang bergembira meraikan 'kejayaan' mereka terlepas daripada sebarang tuduhan rasuah, kerana ternyata ia bersifat sementara. Pastinya itu hanya pandangan peribadi Shukri sebagai pihak yang meneliti fail siasatan yang bukan setakat satu atau dua, tetapi puluhan dan ada kalanya mencecah angka ratusan setiap minggu di seluruh negara.

Mungkinkah mekanisme berlainan membabitkan siasatan kes ahli politik yang akan dirangka dan dirujuk kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dapat menangani masalah yang timbul?. Kita tunggu dan lihat kesannya nanti, tetapi yang penting, peranan SPRM sebagai badan yang bertanggungjawab menyiasat kegiatan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan secara bebas sepatutnya tidak diganggu atau dipertikai sesiapa pun.

Apa pun, Shukri diharap tidak mengulangi kenyataan bersifat 'pukulan bola tanggung' seperti dilakukannya itu kerana ini boleh 'memakan diri sendiri'. Mungkin beliau sudah melepaskan apa yang terpendam, tetapi ia sebenarnya memberi kesan besar kepada imej SPRM di mata awam. Itulah sebabnya, selang sehari saja ibu pejabat SPRM menafikan bertindak seperti 'gestapo' (polis rahsia Nazi) ketika menjalankan siasatan dan akan tetap menyiasat ahli politik yang dikaitkan dengan salah laku rasuah.

SPRM juga menegaskan Wong tidak akan cedera jika mematuhi arahan dan memberikan kerjasama penuh kepada pegawai suruhanjaya itu bagi menyempurnakan siasatan. Pada masa sama, Ahmad Said menafikan kenyataan Shukri dengan menyatakan SPRM akan tetap menjalankan siasatan terhadap ahli politik yang dikaitkan dengan salah laku rasuah walaupun menerima kecaman daripada pembangkang.

Sambil menyifatkan pembangkang 'banyak main wayang' dan tidak mahu bekerjasama, Ahmad Said berkata, jika suruhanjaya itu menghentikan siasatan, pembangkang tentu akan menyebarkan pelbagai dakyah terhadapnya. Beliau sedar, masih ramai yang bersimpati terhadap SPRM walaupun tidak secara terang-terangan, lebih-lebih lagi apabila terlalu banyak kritikan dan hentaman yang boleh menjatuhkan moral dan semangat kerja kakitangan suruhanjaya itu dilemparkan di laman web dan laman blog pelbagai pihak.

Memang tekanan wujud di mana-mana dan SPRM tidak terkecuali menerimanya. Dalam kes kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock contohnya, ia menjadi isu besar sehingga membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Diraja mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan prosedur soal siasat yang diguna pakai SPRM. Pada masa sama, inkues pula diadakan bagi mengetahui punca kematian mendiang.

Rentetan itu tidak hairanlah pelbagai isu sampingan turut berlaku. Kejadian Ahmad Said menerima ugutan bunuh yang turut mengaitkan ahli keluarganya dan anggota suruhanjaya berkenaan sebenarnya menggambarkan risiko kerja yang dihadapi SPRM dalam suasana yang genting berikutan kematian Teoh.

Sesuatu yang pasti, 'keterlanjuran kata' Shukri itu bukan sandiwara seperti babak lakonan Wong di pejabat perkhidmatan wakil rakyat di Sungai Pelek, Sepang, baru-baru ini. Dalam kekecohan jam 10 pagi itu, Wong yang cedera di kaki mendakwa ditolak kakitangan SPRM. Gelagat Wong yang meronta-ronta dan memekik 'no way' berkali-kali serta cuba melarikan diri seolah-olah pegawai SPRM bertindak melampaui batasan tugas itu tidak sepatutnya berlaku.

Rakaman video menunjukkan ia berpunca daripada keengganannya bekerjasama membantu siasatan. Alasan diberi Wong dan peguamnya ialah mereka terikat dengan Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor Bil 4 Tahun 2009 menyebabkan Wong ditahan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Kekecohan berpunca daripada kedegilan Wong sendiri walaupun pegawai SPRM bertimbang rasa dan bersetuju membenarkan beliau dan peguamnya ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan berhubung tangkapannya.

Malangnya, ketika masuk ke kereta pegawai SPRM, Wong menepis tangan pegawai SPRM yang mengiringinya dan cuba melarikan diri. Tentunya, pegawai SPRM menghalang dan lelaki berusia 50 tahun itu menjatuhkan diri atas kaki lima deretan kedai di situ sebelum mengadu sakit dada.

Kronologi ringkas kejadian di Sungai Pelek harus membuka minda semua pihak supaya tidak hanya menuding jari tanpa meneliti situasi sebenar. Dalam hal ini, kata-kata Shukri sebenarnya memberi tamparan kepada mereka yang lebih memilih untuk bercakap sesuka hati daripada menilai sesuatu tindakan daripada perspektif positif.

Kenyataan Shukri bahawa 'jika rakyat menyokong tindakan membanteras rasuah, mereka perlu bekerjasama dengan SPRM dan bukan membuat tuduhan melulu', menghantar mesej yang jelas kepada semua.

0 comments: