Setengah juta tinggalkan rumah

Kebakaran hutan di California catat perpindahan terbesar dalam sejarah Amerika

SAN DIEGO: Kebakaran hutan yang menakutkan di selatan California mengancam hampir 70,000 rumah dan memaksa sehingga setengah juta penduduk meninggalkan rumah masing-masing dalam perpindahan besar-besaran di negeri itu sejak kelmarin.

Kebakaran terburuk California dalam tempoh empat tahun itu semakin teruk kerana angin panas Santa Ana yang bertiup sejak tiga hari lalu sehingga menjejaskan kawasan San Diego di selatan dan mengancam penduduk di kawasan pergunungan di utara.

Kira-kira 1,500 rumah dan struktur lain musnah dalam kebakaran berkenaan dan sehingga petang Selasa lalu kira-kira 500,000 penduduk dipindahkan yang disifatkan perpindahan terbesar di Amerika Syarikat selepas kejadian taufan Katrina yang melanda kawasan Gulf Coast pada 2005.


"Saya bimbangkan bayi saya, rumah, anak-anak dan semuanya," kata Ama Ramirez, 30 yang berlindung di Stadium Qualcomm, San Diego bersama anak perempuannya.

Kebanyakan rumah musnah adalah di kawasan San Diego kerana kebakaran hutan besar berlaku empat kali dan menyebabkan seorang terbunuh.

Empat lagi kematian dilaporkan di kalangan mereka yang berpindah dan berpuluh yang lain cedera termasuk 18 ahli bomba.

Pasukan bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran hutan yang setinggi lebih 30 meter ketika cuba menyelamatkan beberapa rumah berhampiran kebakaran terbabit.

Gabenor Arnold Schwarzenegger meminta Presiden George W. Bush meningkatkan status kawasan kebakaran di California itu kepada bencana terbesar yang membolehkan penduduk menerima bantuan persekutuan.

Bush awal Selasa lalu mengeluarkan perintah darurat tetapi Schwarzenegger memaklumkan beliau dalam surat terbaru bahawa bencana berkenaan adalah luar biasa dan tindak balas berkesan adalah di luar kemampuan kerajaan tempatan dan negeri.

Schwarzenegger berkata, sejumlah 68,000 rumah termasuk kabin dan vila mewah diancam bahaya dan 10,000 pekerja lelaki dan wanita cuba memadamkan api itu.

Lebih 120,000 hektar kawasan terbakar dan kerajaan negeri meletakkan kerugian berjumlah beratus juta dolar.

"Kita berhadapan dengan tiga perkara serentak iaitu kawasan paling kering, cuaca paling panas dan angin kencang. Ini membantu kebakaran itu merebak," kata Schwarzenegger di Lake Arrowhead di mana kebakaran mengancam penduduk di kawasan pergunungan berhampiran.

Bush dijangka melawat kawasan kebakaran terbabit hari ini. � Reuters

0 comments: