Eksperimen angkasawan negara tiba hari ini

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Bahan penyelidikan yang dilaksanakan oleh angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor di angkasa lepas dijadualkan tiba di tanah air esok.

Utusan Malaysia difahamkan, bahan-bahan tersebut akan dibawa dari Moscow, Rusia oleh delegasi saintis tempatan yang diketuai oleh Profesor Dr. A. Rahman A. Jamal dengan pesawat komersial.

Di Malaysia, kesemua bahan berkenaan akan dianalisis oleh saintis tempatan dari beberapa universiti.

Selama 10 hari di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), Sheikh Muszaphar telah menjalankan eksperimen membabitkan kesan mikrograviti dan radiasi terhadap sel barah dan bakteria serta uji kaji pengkristalan protein bagi kemungkinan mencari penawar HIV/AIDS.

Menggunakan sepenuhnya kelebihan keadaan mikrograviti dan ruang radiasi di angkasa, penyelidikan itu akan memberikan satu bentuk keputusan yang sangat hampir kepada biologi sebenar sel, mikrob dan protein yang dikaji.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada bahan penyelidikan yang akan dibawa balik itu masih berkeadaan baik memandangkan kapsul Soyuz yang membawa pulang Sheikh Muszaphar mengalami masalah teknikal menyebabkannya sukar untuk mendarat dengan perlahan.

Bahan-bahan penyelidikan yang dilakukan oleh angkasawan negara ISS perlu dikekalkan tahap suhunya dan amat sensitif dengan gegaran.

0 comments: