Ada waktunya polis terpaksa berkorban – Musa

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata hari ini ada waktunya anggota polis terpaksa berkorban demi kepentingan orang awam semasa menjalankan tugas.

“Saya tidak kata kita kena mempertaruhkan nyawa, tapi kadang kala kita terpaksa berkorban agar tiada nyawa lain yang melayang dan saya kagum apabila pasukan polis sanggup mempertaruhkan nyawa demi keamanan negara,” katanya kepada Bernama di sini hari ini ketika mengulas kejadian empat anggota polis cedera ditembak penjenayah ketika bertugas.

Kelmarin, dua anggota polis cedera apabila berbalas tembakan dengan lelaki yang dikehendaki polis di premis menjual kereta terpakai di Jalan Ipoh di sini.

Belum sampai 24 jam, semalam, dua lagi anggota polis ditembak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, Lebuhraya Utara Selatan menghala ke ibu negara.

Mereka semua ditembak ketika cuba mematahkan cubaan samun dan cuba menangkap penjenayah-penjenayah terbabit.

Musa berkata, dalam keadaan terdesak dan tidak dijangka, pelbagai hal boleh berlaku oleh itu beliau meminta agar anggota polis berwaspada ketika menjalankan tugas.

Sambil mengingatkan anggota polis supaya berwaspada dan bersiap-sedia menghadapi segala risiko ketika berhadapan dengan situasi bahaya, beliau turut menafikan wujud kelemahan dan kekurangan dalam aspek mempertahankan diri di kalangan anggotanya ketika menghadapi ancaman.

“Setiap anggota polis telah dibekalkan dengan persediaan yang secukupnya bagi menghadapi situasi yang tidak dijangka dan berbahaya,” katanya.

Musa berkata, anggota polis perlu berani menghadapi semua situasi demi mempertahankan keselamatan masyarakat dan negara.

“Walaupun akan mengancam nyawa, kita perlu berani menghadapinya. Itulah risikonya sebagai anggota polis,” katanya.

Beliau berkata jika jenayah berlaku di depan mata, anggota polis diajar untuk bertindak segera walaupun menyedari tindakannya bakal mengancam nyawa sendiri.

– Bernama

0 comments: