Myanmar setuju percepat lawatan semula wakil PBB

Gambari diundang sekali lagi pada minggu pertama November

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): Pemerintah Myanmar yang akhirnya tunduk kepada tekanan antarabangsa semalam bersetuju mempercepatkan lawatan semula wakil PBB, Ibrahim Gambari kepada awal November.

Langkah itu dibuat sehari selepas junta tentera menerima lawatan pertama dalam tempoh empat tahun oleh pegawai hak asasi tertinggi PBB.


Gambari yang baru-baru ini dalam lawatan ke enam negara Asia dijangka melawat Myanmar dalam minggu pertama November berikutan kerajaan Myanmar bersetuju mempercepatkan undangan ke negara itu, kata jurucakap PBB, Michele Montas.

Minggu lalu, Gambari berkata bahawa beliau diundang untuk kembali ke Myanmar pada minggu ketiga November. Namun, Amerika Syarikat dan sekutu Eropahnya menjelaskan mereka mahukan wakil PBB itu kembali semula ke Myanmar secepat mungkin.

Majlis Keselamatan PBB awal bulan ini mengutuk tindakan junta dan menggesa pembebasan awal banduan politik dan tahanan lain bagi memberi laluan kepada perdamaian kebangsaan dan perubahan kepada demokrasi.

Perancis dan Amerika kemudian memberi amaran kepada rejim tentera sekiranya mereka gagal mematuhi arahan majlis mereka akan dikenakan hukuman.

Jumaat lalu, Amerika mengetatkan sekatan terhadap pemerintah junta Myanmar dan menggesa China serta India mengenakan tekanan terhadap junta.

Menteri luar Kesatuan Eropah awal bulan ini meluluskan sekatan baru terhadap rejim Myanmar termasuk sekatan terhadap eksport kayu, batu permata dan besi, tetapi tidak membabitkan minyak.

Bagaimanapun, kesan sekatan Barat dilemahkan oleh China, India dan Thailand yang menggunakan sumber kekayaan Myanmar untuk pertumbuhan ekonomi mereka.

Seorang pegawai kanan Amerika Selasa lalu juga menggesa China dan India mengenakan sekatan jualan senjata atau tenaga kepada rejim tentera Myanmar berikutan masalah politik negara itu.

"Kini tiba masanya bagi Beijing dan New Delhi untuk mengetepikan rundingan tenaga yang meletakkan wang dalam saku junta dan menangguhkan jualan senjata kepada rejim," kata Timbalan Setiausaha Negara Amerika, John Negroponte dalam satu ucapan di Washington. � AFP

0 comments: