Shah Rukh Khan akui sukar lepasi pemeriksaan di London

MUMBAI: Aktor terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan, berkata namanya yang jelas menunjukkan dia beragama Islam menyebabkan dia diperiksa lebih ketat apabila pergi ke negara luar terutama di lapangan terbang Heathrow di London, lapor akhbar, semalam.

Shah Rukh memberitahu akhbar DNA beribu pejabat di Mumbai bahawa pada masa lalu, namanya cukup dikenali di luar negara dan bagasi yang dibawanya dan krew filem mudah melepasi pemeriksaan.

Bagaimanapun, selain melalui pemeriksaan lebih ketat, Shah Rukh mendapati pembantunya yang beragama Hindu dapat melepasi pemeriksaan beg lebih cepat berbanding dia sendiri, menurut akhbar.


"Hari ini, saya yang akan ditahan untuk pemeriksaan, jadi dia yang membawa beg saya. Di peringkat antarabangsa, jika anda memiliki nama keluarga Muslim, anda akan dianggap pengganas," pelakon itu dipetik sebagai berkata.

Shah Rukh bakal membintangi filem terbaru arahan Karan Johar bertajuk My name is Khan - mengenai bagaimana umat Islam dicurigai selepas serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat.

Pelakon itu sudah membintangi lebih 50 filem. Terbaru, Shah Rukh berlakon sebagai jurulatih pasukan hoki wanita India dalam filem yang mencatat kutipan pecah panggung, Chak De India. �AP

0 comments: