Mahfuz desak PM umum kedudukan kewangan negara

Intan Abdullah
Thu | Oct 25, 07 | 4:35:37 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar hari ini mendesak kerajaan seberapa segera mengumumkan kedudukan kewangan negara kepada rakyat.

"Kita mahu tahu, berapa duit yang dia ada dalam keadaan wujud sebahagian daripada rakyat yang hidup dalam kemiskinan dan kesusahan," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyatakan projek angkasawan negara yang menelan belanja lebih RM95 juta itu tidak membazir dengan hujah bahawa negara masih mempunyai sumber kewangan yang cukup.

"Beliau kena buktikan bahawa ia bukanlah retorik atau cakap-cakap kosong semata-mata," tegasnya.

Dalam pada itu, Mahfuz juga menyarankan agar kerajaan menggunakan wang tersebut dengan memberikan bonus atau honorarium kepada kakitangan awam.

Sementara itu, beliau turut menggesa kerajaan menggunakan wang yang 'ada' tersebut untuk membayar subsidi minyak yang besar bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

"Kalau benarlah kerajaan mempunyai duit, kenapa ia bukan digunakan untuk menjaga kepentingan rakyat pada masa akan datang," ujar Mahfuz sinis.

"Apakah komitmen serta janji Abdullah boleh berikan kepada rakyat bahawa harga minyak tidak akan naik sedangkan beliau tidak pernah memberikan sebarang jaminan yang meyakinkan sebelum ini?" soalnya.

Dalam perkembangan semasa, umum mengetahui bahawa harga minyak akan mengalami peningkatan lagi pada tahun ini kerana ia tidak pernah pun surut, katanya.

"Apa salahnya jika duit itu digunakan untuk membayar subsidi minyak bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat, itu lebih baik," katanya lagi.

Tegasnya, pengguna hari ini sudah cukup terbeban dengan peningkatan harga barang-barang di pasaran berikutan kenaikan harga minyak.

Keadaan ini sudah tentu akan memberikan implikasi yang negatif apabila kuasa beli di kalangan pengguna merosot dan seterusnya merencatkan pertumbuhan ekonomi negara pada masa akan datang.

Mahfuz membuat saranan tersebut supaya kerajaan menggunakan wang yang ada untuk mengelakkan daripada harga minyak tidak dinaikkan lagi, iaitu dengan memastikan ia boleh dikurangkan dengan membayar subsidi minyak yang besar. - mks/wann.

0 comments: