Pelarasan paras garis kemiskinan ikut purata

NIBONG TEBAL: Kerajaan memutuskan untuk membuat pelarasan Paras Garis Kemiskinan (PGK) di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mengikut kiraan purata bagi seluruh negara, kata Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Zainal Abidin Osman.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat minggu lalu kerana PGK yang ada sekarang berbeza berdasarkan pendapatan perkapita bagi setiap negeri.

"Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan membuat pelarasan dan memantau pelaksanaan itu nanti," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Deepavali berbentuk barang keperluan harian kepada 200 penduduk di Ladang Transkrian di sini, semalam.

Zainal Abidin berkata, selain kementeriannya, beberapa kementerian dan agensi kerajaan lain yang turut sama dalam pelarasan PGK termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan Jabatan Perpaduan.

"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga terbabit untuk mengkaji kemiskinan di bandar. Matlamat pelarasan ini adalah untuk memastikan tiada lagi kemiskinan tegar menjelang 2010," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, ICU juga bertanggungjawab dalam membuat pelarasan bagi mewujudkan data kemiskinan supaya tidak berlaku pertindihan maklumat antara agensi kerajaan.

Mengulas mengenai kenaikan harga barang berikutan peningkatan harga minyak di pasaran dunia, Zainal Abidin menasihatkan agar setiap masyarakat khususnya penduduk kampung bijak dalam berbelanja.

"Bagi penduduk kampung mereka mempunyai pelbagai alternatif untuk berjimat contohnya bercucuk tanam dan sebagainya, bagaimanapun kenaikan harga barang tidak dapat disekat kerana ia adalah fenomena dunia," katanya. – Bernama

0 comments: