Hishammuddin peroleh undi tertinggi Lembaga Eksekutif UNESCO

PARIS 24 Okt. – Malaysia terpilih menduduki kerusi Lembaga Eksekutif Unesco dengan undi tertinggi dalam kumpulan Asia Pasifik setelah memperoleh 147 undi pada persidangan agung ke-34 pertubuhan itu di sini hari ini.

Lima negara lain yang terpilih daripada kumpulan itu ialah Korea Selatan (139), Filipina (137), Sri Lanka (130), Mongolia (130) dan Pakistan (106) daripada sembilan negara yang bertanding.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mewakili negara, merupakan calon pilihan sejak awal dalam kalangan negara anggota pertubuhan itu yang kini berjumlah 193.

Keputusan itu diumumkan oleh presiden persidangan agung itu, George N. Anastassopoulus kira-kira pukul 4 petang (11 malam waktu Malaysia) setelah pengundian secara sulit dijalankan pada sesi persidangan di Ibu Pejabat Unesco.

Wakil tetap Malaysia ke Unesco, Kenneth J.Luis mewakili negara untuk mengundi.

Luis menyifatkan kemenangan itu sebagai kejayaan bersama membabitkan pelbagai kementerian.

“Kemenangan ini adalah untuk negara,” katanya kepada Bernama.

Lembaga eksekutif yang mengandungi 58 anggota merupakan badan kedua tertinggi dalam Unesco daripada pelbagai kumpulan kawasan di dunia. Ia bertanggungjawab menentukan program-program pertubuhan dilaksanakan serta memperuntukkan anggaran belanjawan berkenaan.

Hishammuddin, yang bersyukur dengan keputusan itu, berterima kasih kepada negara-negara anggota yang memberi kepercayaan kepada Malaysia bagi menduduki kerusi itu untuk penggal 2008-2011.

“Ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab penting bagi Malaysia,” katanya.

Sebagai langkah permulaan, beliau berkata Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Unesco serta Suruhanjaya Kebangsaan Unesco Malaysia (SKUM) akan dipertingkatkan untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

Hishammuddin berkata Malaysia juga akan berusaha meningkatkan kerjasama Unesco dengan pertubuhan serantau seperti Asean dan Komanwel.

– Bernama

0 comments: