Benazir kaji perjanjian dengan Musharraf



TANYA KHABAR: Pemimpin Jamiat Ulma-e-Islam (JUI) berbincang dengan Benazir mengenai serangan bunuh diri yang mengorbankan 146 orang penyokong bekas pemimpin itu minggu lalu.

Presiden enggan pecat pegawai disyaki terbabit cubaan bunuh

ISLAMABAD: Bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto, menimbang semula perjanjian perkongsian kuasa kontroversi dengan Presiden Pervez Musharraf berikutan kerajaan menolak permintaannya untuk memecat pegawai tinggi didakwa mempunyai kaitan dengan cubaan membunuhnya, minggu lalu.

"Benazir tidak begitu optimis mengenai perkara itu kerana berasa dia diperangkap," kata pembantu kanan bekas Perdana Menteri itu.

Sumber, yang terbabit dalam keseluruhan proses dialog, berkata keengganan memenuhi desakan Benazir, terutama menyingkirkan tiga pegawai atasan kerajaan, menyebabkan dia memikirkan semula perjanjian itu.


Benazir menyalahkan ketua biro perisikan negara itu, Brigadier Ejaz Shah, di atas serangan bom terhadap perarakan menyambung kepulangannya pada 18 Oktober lalu, yang mengorbankan 146 orang dan mencederakan lebih 500 lagi.

Dia mendesak pemecatan Ejaz Shah bersama-sama dua lagi pegawai kerajaan termasuk Ketua Menteri Punjab, Chaudry Perwaiz Elahi, pembantu rapat Musharraf, dan saudara lelaki presiden dari Liga Muslim Pakistan (PML), Chaudry Shujaat Hussein.

Agensi perisikan mengumumkan tiga �suspek� yang dinamakan Benazir itu tidak bersalah dalam sebarang salah laku dan menolak pembabitan mereka dalam serangan pengganas. Musharraf turut enggan memecat Ejaz Shah.


Benazir menegaskan bahawa lampu jalan di sepanjang laluan perarakan itu dipadamkan sebaik keadaan mula gelap.

"Saya yakin ia perbuatan disengajakan. Ia menunjukkan kepada saya bahawa pihak tertentu dalam kerajaan mahu membunuh saya," kata Benazir dalam sidang akhbar di kediamannya di Karachi.

Dia berkata, pihak berkuasa 'menyembunyikan sesuatu' selepas menolak desakannya mendapatkan pakar antarabangsa untuk membantu dalam proses siasatan.

Sumber juga berkata, Benazir amat kecewa dan gementar selepas cubaan membunuh.

"Dia sudah memaklumkan penjamin mengenai keadaan keseluruhan," katanya merujuk kepada pentadbiran Presiden George W Bush, yang memainkan peranan penting dalam mencadangkan perjanjian perkongsian kuasa antara dua musuh politik itu.

"Dengan menamakan Elahi sebagai tertuduh, Benazir memberikan isyarat jelas kepada Musharraf yang dia perlu memilihnya atau PML," kata sumber.

Di Karachi, pegawai kanan yang mengetuai siasatan ke atas cubaan membunuh Benazir, menarik diri daripada kes itu selepas bekas Perdana Menteri itu membantah pembabitannya.

Benazir menuduh ketua penyiasat, Manzur Mughal, terbabit menyeksa suaminya yang ditahan polis pada 1999 ketika era pemerintahan Nawaz Sharif.

"Pegawai itu meminta dibenarkan bercuti dan pegawai baru akan dilantik bagi mengetuai siasatan," kata Setiausaha Dalam Negeri Sindh, Ghulam Muhammad Mohtarram yang mengakui Manzur berbuat demikian kerana bantahan Benazir. � Agensi

0 comments: