Kes empat suspek ‘ istimewa’ - saksi.

SHAH ALAM 25 Okt. - Kes terhadap ketiga-tiga tertuduh dan bekas teman wanita Cif Inspektor Azilah Hadri adalah suatu kes yang ‘istimewa’ lagi menarik, oleh sebab itulah suspek tidak dibenarkan bercampur dengan orang awam ketika darah mereka diambil untuk tujuan pemeriksaan.

Perkara tersebut diberitahu oleh Sarjan Mohd. Saad Kimbok, 49, dari Cawangan Jenayah Utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ketika memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Saksi memberi keterangan pada perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang masuk hari ke-52 hari ini.

Menurut saksi pendakwa ke-44 itu, beliau bersama sembilan anggota polis telah membawa Abdul Razak Abdullah Baginda (tertuduh ketiga), Azilah dan Sirul Azhar Umar (tertuduh kedua) serta Lans Koperal Rohaniza Roslan (suspek yang ditahan reman) pergi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 10 November 2006.

Terdahulunya, Mohd. Saad memberitahu, bertindak atas arahan yang diberikan sehari sebelum itu oleh Asisten Supritendan (ASP) Tony Lunggan, beliau membawa keempat-keempat suspek (ketika itu) untuk berjumpa dengan Dr. Zainal Effendy Zainal Abidin yang bertugas di Jabatan Kecemasan HKL.

Saksi yang berjaya mengecam (mengenal pasti) ketiga-tiga tertuduh yang duduk dalam kandang tertuduh bagaimanapun kedengaran tersasul ketika menyebut nama Rohaniza sebagai Nor Aliza.

Sebutan nama yang tidak tepat itu membuatkan Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin bertanya saksi: "Namanya ada Nor ke?"

Mohd. Saad yang pada peringkat ini kelihatan seolah-olah terpinga-pinga dengan pertanyaan hakim berkenaan, segera disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup: "Kamu cam atau tidak mukanya?"

Saksi itu menjawab ringkas beliau boleh mengecam wajah Rohaniza (Nor Aliza).

Apabila Rohaniza yang beruniform dipanggil masuk untuk tujuan pengecaman, Hakim Mohd. Zaki mengarahkan wanita itu menyebut namanya: "Yang Arif. Nama saya Rohaniza Roslan."

Sambil memandang ke arah Mohd. Saad yang duduk di dalam kandang saksi, Hakim Mohd. Zaki bertanya: "Hah! bukankah lain tu?"

Dalam keterangannya, Mohd. Saad memberitahu yang beliau telah memaklumkan kepada Dr. Zainal bahawa kes terhadap tahanan reman yang dibawa oleh beliau itu adalah kes 'special' (istimewa), oleh itu mereka tidak boleh bercampur dengan orang awam.

Perbicaraan bersambung pada sesi petang. - Utusan

0 comments: