Cabaran jadikan Malaysia 'bintang Asia'

Oleh Zulkofli Jamaludin di Paris, Perancis


SAYANG PEMIMPIN: Pelajar Malaysia mengambil kesempatan bergambar bersama Najib pada majlis makan malam

DATUK Seri Najib Razak berkata, cabaran terbesar kini adalah untuk menjadikan negara lebih kompetitif dalam aspek ekonomi, pendidikan serta sosial dan menjadikan Malaysia sebagai bintang di Asia.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia menyediakan kemudahan pendidikan bertaraf dunia, termasuk sekolah kluster bagi membangunkan modal insan serta menggalakkan rakyat belajar sehingga akhir hayat.

Katanya, banyak ruang untuk reformasi pendidikan sepanjang hayat kerana usaha menuntut ilmu itu tidak terhenti selepas seseorang pelajar atau graduan memasuki pasaran pekerjaan.


"Berikutan itu, Projek Permata Negara iaitu program asuhan dan pendidikan kanak-kanak diperkenalkan untuk melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang.

"Kita juga sedang meninjau bagaimana sistem pendidikan Perancis bermula bayi seawal dua bulan dipantau secara saintifik dan dikenal pasti potensi yang ada pada bayi mereka,� katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama Timbalan Perdana Menteri di Hotel Hilton Arc De Triomph, di sini, malam kelmarin.

Turut hadir Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Duta Malaysia Ke Perancis, Datuk S Thanarajasingam.


Majlis itu turut dihadiri lebih 500 rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di Perancis, termasuk penyanyi terkenal, Datuk Sheikh Abdullah Ahmad.

Najib berkata, penerokaan angkasa lepas dan pemilikan kapal selam jenis Scorpene � KD Tunku Abdul Rahman yang dianggap mustahil suatu ketika dulu, kini sudah direalisasikan selepas 50 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Justeru, katanya, kejayaan angkasawan pertama Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha kini menjadi pemangkin kepada rakyat, khususnya pelajar untuk mendalami sains aeroangkasa.

"Kita mahu membawa industri aeroangkasa ke Malaysia dan kita mampu mencipta kejayaan secara berterusan kerana Malaysia dipimpin oleh Perdana Menteri yang berpandangan jauh dengan nilai kepemimpinan tinggi," katanya.

Sementara itu, ketika sesi soal jawab, Najib berkata, Malaysia menghantar ramai penuntut dalam bidang kejuruteraan di Perancis kerana negara berkenaan memiliki kemudahan pendidikan bertaraf dunia.

Bagaimanapun, katanya, jumlah pelajar agak terhad kerana penuntut yang ingin melanjutkan pelajaran terpaksa belajar bahasa Perancis selama dua tahun.

"Saya kagum dengan pencapaian Perancis dalam bidang sains dan teknologi serta seni binanya. Pelajar perlu menimba pengetahuan secukup sebelum pulang ke Malaysia. Hanya dua perkara saja yang tidak harus dibawa pulang iaitu tindakan pekerja yang sering mengadakan mogok dan menuntut waktu bekerja selama 35 jam seminggu.

"Tuntutan waktu bekerja pendek itu menyebabkan kos buruh menjadi mahal dan menyebabkan negara tidak kompetitif berbanding negara yang mampu mengeluarkan produktiviti tinggi dan era globalisasi," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, sekatan antarabangsa terhadap Myanmar tidak menyelesaikan usaha mendesak kerajaan junta negara itu melaksanakan sistem demokrasi sepenuhnya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebarang sekatan akan menyebabkan Kerajaan junta lebih mudah mengawal rakyatnya selepas negara mereka menerima sekatan antarabangsa.

Katanya, Malaysia dan anggota Asean akan terus berusaha dan menyokong sebarang usaha antarabangsa menyelesaikan konflik di Myanmar secara diplomatik.

0 comments: