Malaysia menang kerusi Unesco

PARIS: Malaysia terpilih menduduki kerusi Lembaga Eksekutif Unesco dengan undi tertinggi dalam kumpulan Asia Pasifik apabila memperoleh 147 undi pada persidangan agung ke-34 pertubuhan itu di sini Rabu.

Lima negara lain yang terpilih daripada kumpulan itu ialah Korea Selatan (139), Filipina (137), Sri Lanka (130), Mongolia (130) dan Pakistan (106) daripada sembilan negara yang bertanding.

Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mewakili negara adalah calon pilihan sejak awal daripada kalangan negara anggota pertubuhan itu yang kini berjumlah 193.


Keputusan diumumkan Presiden Persidangan Agung itu, George N Anastassopoulus kira-kira jam 4 petang (11 malam waktu Malaysia) selepas pengundian secara sulit pada sesi persidangan di ibu pejabat Unesco.

Wakil tetap Malaysia ke Unesco, Kenneth J Luis mewakili negara untuk mengundi. Luis yang bertungkus-lumus menggerakkan kempen Malaysia, menyifatkan kemenangan itu sebagai kejayaan bersama membabitkan pelbagai kementerian.

"Kemenangan ini adalah untuk negara," katanya kepada Bernama.

Lembaga eksekutif yang mengandungi 58 anggota adalah badan kedua tertinggi dalam Unesco daripada pelbagai kumpulan kawasan di dunia. Ia bertanggungjawab menentukan program pertubuhan dilaksanakan serta memperuntukkan anggaran belanjawan berkenaan.

Hishammuddin yang bersyukur dengan keputusan itu, berterima kasih kepada negara anggota yang memberi kepercayaan kepada Malaysia menduduki kerusi itu untuk penggal 2008-2011.

"Ini adalah satu amanah dan tanggungjawab penting bagi Malaysia," katanya. � Bernama

0 comments: