Kertas kabinet mengenai kenaikan tol tahun depan

PUTRAJAYA 25 Okt — Kementerian Kerja Raya akan mengemukakan kertas Kabinet minggu ini mengenai keperluan menaikkan tol mulai 1 Januari seperti termaktub dalam perjanjian antara kerajaan dan para pemegang konsesi.

“Saya akan memaklumkan kepada Kabinet mengenai perkara itu sahaja dan terpulang kepada Kabinet untuk membuat keputusan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Perniagaan Global bagi Network of International Sikh Entrepreneurship di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini beliau berkata, Kabinet belum membincangkan mengenai perkara itu dan belum ada keputusan lagi setakat ini.

Samy Vellu juga berkata, beliau telah membangkitkan dalam mesyuarat Kabinet semalam mengenai keperluan memberikan peluang yang lebih banyak kepada kaum India untuk menyertai perkhidmatan awam selain peluang mendapatkan lebih banyak biasiswa pendidikan kerajaan.

Menjawab soalan lain, beliau yang juga Presiden MIC percaya masyarakat India tidak akan tersinggung dengan langkah Umno mengadakan perhimpunan agungnya 5 hingga 9 Nov walaupun sambutan perayaan Deepavali diadakan pada 8 Nov.

Ini kerana masyarakat India di negara ini berfikiran luas dan memahami keperluan Umno untuk mengadakan perhimpunan agung itu, katanya.

— BERNAMA

0 comments: