Pakistan soal siasat 15 mangsa serangan berani mati

KARACHI 24 Okt. – Agensi keselamatan Pakistan yang menyiasat serangan berani mati ke atas perarakan menyambut kepulangan Benazir Bhutto telah menahan sekurang-kurangnya 15 orang untuk disoal siasat.

Sebahagian mereka merupakan mangsa yang turut cedera dalam serangan berani mati minggu lalu dan ditangkap dari beberapa hospital.

Bagaimanapun, seorang penyiasat polis memberitahu, tidak ada tahanan terbabit yang dianggap suspek.

Seorang penyiasat yang enggan dikenali berkata, antara 15 hingga 16 orang telah ditahan, tetapi tidak mahu mendedahkan maklumat hasil soal siasat atau maklumat tahanan terbabit.

Pihak berkuasa menyatakan, serangan itu mungkin dilakukan oleh dua penyerang berani mati dan sudah mengeluarkan gambar kepala seorang penyerang terbabit yang masih tidak dikenali.

Sementara itu tahap keselamatan di Karachi masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas Benazir semalam mendedahkan telah menerima sepucuk surat ugutan mati.

– AP

0 comments: