Jemputan Hari Raya pun kena bayar?

Mat Zain Mat Isa
Mon | Oct 29, 07 | 5:03:22 pm MYT

Pernahkah kita dengar dalam negara kita ini ada penganjur majlis sambutan Hari Raya meminta bayaran daripada orang yang dijemputnya?

Pelik, bukan? Tetapi itulah apa yang dapat difahami berlaku di Terengganu sekarang.

Ceritanya begini. Pada 23 Oktober lalu, Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu (ICU Jabatan Perdana Menteri), yang beralamat di Tingkat 10, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, telah mengeluarkan surat jemputan rasmi kepada semua Ketua Jabatan Persekutuan dan Badan-badan Berkanun Persekutuan di negeri itu.

Surat tersebut adalah jemputan untuk mereka ke Majlis Bersama YAB Menteri Besar Terengganu dan Ketua/Kakitangan Jabatan/Badan-badan Berkanun Persekutuan Negeri Terengganu serta Sambutan Hari Raya. Majlis itu dijadual diadakan pada 4 Oktober nanti di Pusat Dagangan Terengganu (TTC).

Surat itu mencatatkan lagi, "sukacita dengan ini Y.Bhg. Dato'/Tuan/Puan dengan hormatnya dijemput hadir ke majlis tersebut. Turut dipohon agar Y.Bhg. Dato'/Tuan/Puan dapat memanjang dan menjemput sama kakitangan di bawah jabatan Y.Bhg. Dato'/Tuan/Puan hadir beramai-ramai bagi memeriahkan majlis tersebut."

Setakat itu, surat itu nampak OK, tiada yang tidak kena. Bahkan, sejuk hati setiap ketua jabatan atau badan berkanun terbabit yang membacanya. Kerana, surat itu bukan sahaja menjemput ketua jabatan, bahkan memohon ketua itu menjemput semua kakitangan bawahan masing-masing.

Amboi! Besar nampaknya majlis dirancang tu. Kalau sampai jemput semua kakitangan Jabatan/Badan Berkanun Persekutuan tu, ramai juga yang dijangka hadir tu. Persiapannya mestilah rapi dan teliti. Perbelanjaannya pun tentulah besar.

Bagai diduga, perbelanjaannya memang besar, sehinggakan pihak penganjur tidak mampu menanggung kosnya sendirian. Tak dapat dipastikan berapakah jumlahnya. Tetapi pengakuan penganjur bahawa ia tidak mampu tanggung kosnya dapat difahami secara jelas di helaian kedua surat itu.

Isinya berbunyi, "sukacita turut dipohon agar jabatan Y.Bhg. DatoĆ¢€™/Tuan/Puan dapat menghulurkan sumbangan sekurang-kurangnya RM200.00 bagi menampung kos perbelanjaan majlis tersebut. Sumbangan bolehlah dikreditkan terus ke akaun 'JAWATANKUASA PENYELARAS JABATAN-JABATAN PERSEKUTUAN NEGERI TERENGGANU'."

Allah Ya Rabbi! Biar betul sikit ni! Takkan jabatan kerajaan Persekutuan pun sebangsat itu, sampai terpaksa memungut sumbangan jabatan-jabatan lain untuk buat majlis nak jamu MB? Bukankah baru minggu lepas PM Pak Lah kata kita ada wang dan kita boleh buat macam-macam pembangunan lagi? Minta ajalah dengan PM tu!

Lagi pun, ini kan majlis Hari Raya. Mana ada dalam tradisi atau adat-budaya kita buat sambutan Hari Raya, jemput orang datang ramai-ramai, lepas tu minta orang yang dijemput itu bayar pulak? Jangan-jangan penulis mereka-reka cerita lagi tak?

Sama ada para pembaca nak percaya atau tidak, itu bukan hak penulis. Apa yang dapat ditegaskan, penulis diberikan satu salinan surat rasmi tersebut. Ia telah ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Jabatan-Jabatan Persekutuan Negeri Terengganu, Haji Ahmad bin Abdullah (ini nama sebenar tau, bukan rekaan penulis!).

Bagi yang masih sangsi, jika anda di Terengganu dan berkhidmat di mana-mana Jabatan atau Badan Berkanun Persekutuan, sila buat pengesahan tentang perkara ini dengan ketua jabatan masing-masing.

Kalau perlu berbisik pun, berbisiklah. Manalah tahu, kalau cakap kuat-kuat nanti takut orang lain dengar pulak!

Bagi yang tidak bekerja di sana, anda boleh bertanya khabar dengan kawan-kawan atau sanak-saudara yang bekerja di mana-mana jabatan atau badan berkanun terbabit.

Penulis cuma ada dua komen tentang perkara ini. Pertama, jika dah tahu tak cukup wang untuk anjurkan majlis Hari Raya, buat apa susah-susah nak buat juga? Tak puas lagi ke beraya ke sana-sini dalam tiga minggu ini? Dah berlambak majlis sambutan Hari Raya dianjurkan pelbagai pihak.

Ataukah pihak penganjur memang bertujuan nak mengampu MB sehingga sanggup meminta 'sedekah' dari orang lain? Tak ada maknanya semua itu!

Dalam akhbar kebelakangan ini pun banyak diperbahaskan tentang penganjuran majlis jamuan yang ada unsur nak menunjuk-nunjuk sebegini. "Lebih baik tak payah buat,"kata para ulama dan ilmuan Islam kita.

Kedua, majlis Hari Raya 'berbayar' sebagaimana bakal diadakan itu amatlah unik. Rasanya setakat ini, itulah satu-satunya majlis Hari Raya seumpama itu di negeri Terengganu, atau mungkin di negara ini.

Oleh kerana sifatnya sebegitu, maka ia bakal menjadi satu lagi rekod baru yang dicipta oleh Terengganu.

Memang kena sangatlah begitu. Sebab MB Terengganu memang suka sangat bab mencipta nama dan rekod-rekod sebegini. Seeloknya pihak penganjur menjemput sama wakil The Malaysian Book of Records hadir ke majlis tersebut nanti.

Di akhir majlis itu, MB boleh bergambar dengan wakil itu, seperti biasa, tersengih dan mengangkat sijil pengiktirafan MBOR.

Gambar dan berita itu nanti akan diulang terbit dalam akhbar dan tv. Menyusul seminggu selepas itu ialah papantanda yang dipacakkan di segenap simpang jalan raya di serata negeri.

Memahat Sejarah, Mencipta Tamadun. Tahniah lagi untuk Terengganu! Satu lagi rekod cemerlang dicipta tahun ini, "Majlis Sambutan Hari Raya Berbayar Yang Pertama dan Terbesar Melibatkan Jabatan/Badan Berkanun Kerajaan."

Ya Allah, macam-macam boleh terjadi di negara ini sejak wujudnya kerajaan hadhari! - mks.

0 comments: