Penstrukturan semula agensi bantu warga tani

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani membayangkan semua agensi di bawahnya bakal menjalani proses penstrukturan semula supaya menjadikan mereka lebih efektif membela nasib petani.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya mempersoalkan sejauh mana pencapaian agensi itu dalam membimbing dan membangunkan petani yang majoritinya orang Melayu.

"Adakah kita mahukan satu kajian semula dilakukan, penambahbaikan, dirombak struktur dan operasinya, dasar dan fungsinya, supaya agensi berkenaan akan lebih efektif, menepati sasaran dan sesuai dengan zamannya supaya masyarakat petani Melayu kita akan lebih terbela," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Anjakan Paradigma: Dalam Transformasi Sektor Pertanian’ pada Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 di Allson Klana, di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, menyedari bahawa sektor pertanian memperlihatkan pengaruh yang kuat untuk pembangunan sosio-ekonomi negara terutama sekali untuk pembasmian kemiskinan dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi orang Melayu, maka lahirlah trend yang mendalam bagi kerajaan menubuhkan agensi baru untuk menguruskan pembangunan pertanian yang spesifik.

Katanya, agensi seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Felcra dan rancangan tanah baru yang lain serta agensi yang berorientasikan penyelidikan, perkhidmatan dan pemasaran seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ditubuhkan yang dipertanggungjawabkan membantu menangani masalah dan kekurangan di kalangan petani.


Muhyiddin berkata, sebagai contoh, salah satu golongan termiskin dalam negara sekarang adalah nelayan dan agak pelik kerana Jabatan Perikanan yang ditubuhkan kerajaan sejak 1894 iaitu sudah hampir 110, tetapi nasib nelayan masih tidak jauh berubah.

Sementara itu, Pengerusi Forum Halal Sedunia, Khairy Jamaluddin, berkata Malaysia tidak boleh berlengah untuk menjadi pusat pengeluaran produk halal kerana negara Asean seperti Thailand, Singapura dan Filipina sedang berusaha membangunkan sistem pensijilan halal

Katanya, kajian menunjukkan umat Islam lebih cenderung untuk menggunakan produk yang dikeluarkan oleh negara Islam kerana keyakinan mereka lebih tinggi kepada pengesahan yang dibuat oleh negara Islam.

Khairy berkata, peningkatan pengeluaran adalah antara faktor penting kejayaan Hab Halal 2010 dan dari segi asas boleh diperlihatkan bahawa industri halal secara automatik disasarkan untuk orang Melayu kebiasaannya beragama Islam dan dengan itu arif mengenai konsep halal.



"Tetapi persoalannya ialah adakah fokus kerajaan untuk memajukan industri halal dan sekali gus memajukan taraf ekonomi orang Melayu ini dimonopoli oleh orang Melayu. Jawapannya mudah, tidak," katanya pada bengkel Pembangunan Industri Halal: Agenda Melayu Dalam Pertanian pada Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007, di sini, semalam.

0 comments: