Kemarau Koo-Tan berakhir





Juarai Terbuka Denmark selepas tundukkan Erikssen-Lundgaard 14-21, 21-14, 21-12

PENANTIAN tujuh bulan tanpa gelaran Siri Super dinoktahkan beregu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menundukkan pasangan tuan rumah, Jens Erikssen-Martin Lundgaard Hansen pada final Terbuka Denmark di Odense, malam tadi.

Namun kemenangan itu hanya hadir selepas persaingan tiga set apabila Kien Keat-Boon Heong muncul pemenang dengan keputusan 14-21, 21-14, 21-12 dalam masa 48 minit aksi keseluruhan.


Kemenangan itu juga mengangkat mereka mengatasi pasangan utama China, Fu Haifeng-Cai Yun dalam jumlah gelaran Siri Super dengan rangkulan mahkota keempat berbanding hanya tiga milik lawan.

Ia juga jadi penghadir keyakinan terbaik untuk kedua-dua pemain negara itu selepas mengalami kemerosotan prestasi ekoran aksi kurang memberangsangkan sepanjang tempoh kemarau berkenaan.

Kien Keat-Boon Heong menang Terbuka Malaysia, Seluruh England dan Terbuka Switzerland pada tempoh tiga bulan pertama tahun ini sebelum mengalami kemerosotan dan hanya menang dua kejohanan kurang ternama, Terbuka Filipina dan Macau sehinggalah kemenangan malam tadi.

Sementara itu, juara dunia, Lin Dan berjaya dalam usaha merangkul gelaran perseorangan Terbuka Denmark ketiganya selepas mudah menundukkan rakan senegara, Bao Chunlai 21-15 21-12.

Aksi dipertontonkan pilihan utama itu jelas setahap lebih tinggi daripada Chunlai, pilihan keempat, yang kerap kali diperangkap dengan variasi pukulan mengelirukan untuk menang dalam tempoh 36 minit.

Malah kekentalan semangat juang yang dipamerkan Chunlai ketika menundukkan pemain negara, Lee Chong Wei pada separuh akhir itu ketara hilang apabila lebih kerap membiarkan Lin Dan menguasai rentak.

Sebelumnya, saingan final beregu campuran menyaksikan pertarungan sengit yang berlanjutan selama 75 minit sebelum gandingan China, He Hanbin-Yu Yang berjaya menundukkan pilihan ketiga dari England, Nathan Robertson-Gail Emms.

Pilihan ketujuh dari China itu bagaimanapun diberi tentangan sejak awal sebelum muncul pemenang dengan keputusan 21-17, 19-21 21-17.

0 comments: