Kien Keat-Boon Heong takluk Denmark

KUALA LUMPUR - Pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong melenyapkan sorakan penyokong tuan rumah sebelum berjaya muncul juara beregu Terbuka Denmark pada perlawanan akhir di Arena Fyn, Odense, semalam.

Beraksi di bawah tekanan tinggi, beregu nombor satu negara itu mempamerkan kematangan untuk memalukan Jens Eriksen-Martin Lungaard Hansen di tempat sendiri 14-21, 21-14, 21-12 dalam masa 48 minit.

Diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan, Kien Keat-Boon Heong sepatutnya tidak perlu bermain hingga tiga set apabila pada satu ketika mendahului selesa 13-10 di set pertama.

Namun, kehilangan tumpuan akibat tekanan daripada penonton menyaksikan mereka membenarkan beregu Denmark itu memungut enam mata berturut-turut untuk ketinggalan 13-16.

Walaupun berjaya menambah satu mata, perasaan gementar mereka tidak dapat dibendung lagi apabila Kien Keat-Boon Heong mudah menyerahkan lima mata berturut-turut lagi sebelum tewas 14-21.

Set kedua, pasangan negara itu bermain lebih berhati-hati dengan saling mengejar mata demi mata yang agak rapat.

Namun, selepas terikat 9-9, Kien Keat-Boon Heong mula mengorak langkah dengan bermain pantas untuk mendahului 14-10, 17-14 sebelum mengheret perlawanan ke set ketiga hasil kemenangan 21-14.

Set ketiga, juara Seluruh England itu bagaimanapun menerima tentangan agak mudah daripada lawan mereka.

Selepas terikat 3-3, Kien Keat-Boon Heong memungut tiga mata berturut-turut untuk mendahului 6-3.

Dengan bijak menyerap tekanan penonton dan asakan lawan, pasangan negara itu terus mendahului 10-5.

Ketika beregu lawan tampak semakin longlai, kesempatan itu digunakan sebaiknya untuk memungut tujuh mata berturut-turut untuk memimpin perlawanan dengan 17-7.

Selepas membenarkan lawan mereka menambah lima mata, Kien Keat-Boon Heong tidak menoleh ke belakang lagi untuk menamatkan perlawanan dengan 21-12.

Ini merupakan kejuaraan keenam mereka tahun ini selepas menjuarai Terbuka Malaysia, Seluruh England, Terbuka Switzerland, Terbuka Filipina dan Terbuka Macau.

0 comments: