Iltizam politik revolusi pertanian

Oleh Ahmad Naim Tahir,Saufi Hamzah dan Ahmad Syahrul Derauh

SEREMBAN: Datuk Seri Najib Razak mahu orang Melayu yang bergiat dalam sektor pertanian turut sama menanam iltizam politik yang kuat untuk membangunkan bidang itu menjadi satu perniagaan, bukan lagi sekadar ‘seronok-seronok’ dan ‘cukup makan’ seperti yang digambarkan oleh penjajah satu ketika dulu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, iltizam itu sudah terserlah di pihak kerajaan seperti dibuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta kementerian bertanggungjawab dan amat penting ia disokong semua peringkat masyarakat.

Beliau berkata, penjajah melihat dan menganggap orang Melayu suka kekal dalam bidang pertanian secara tradisional, walaupun hidup dalam kemiskinan serta menderita dan mereka tidak pernah mengambil inisiatif untuk memajukan bidang itu.


"Apabila merdeka, kita mulakan usaha memajukan pertanian dengan menubuhkan pelbagai agensi dan dapat lihat kesannya amat baik. Kini, sudah era globalisasi dan kita cuba lonjakkan lagi pertanian sesuai dengan konsep moden dan kita mulakan revolusi senyap.

“Bagaimanapun, jangan fikir bidang ini sangat mudah kerana jika mudah, daripada dulu lagi kita dah berjaya. Kita mesti tunjukkan kesungguhan dan iltizam politik untuk jayakan hasrat ini yang memang boleh dicapai jika ada tindakan bersepadu daripada semua pihak,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007, di sini semalam. Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.


Konvensyen dua hari bertemakan ‘Melayu dalam Pertanian: Dulu, Kini dan Akan Datang’ itu dianjurkan Biro Pertanian Umno dan dihadiri kira-kira 1,200 disertai ahli dan pemimpin Umno, wakil badan korporat dan akademik.

Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, penekanan yang diberikan kerajaan melalui konsep ‘pertanian adalah perniagaan’ bukan bermakna semua petani perlu menjadi peniaga, tetapi mereka harus memahami konsep perniagaan dari segi untung rugi, nilai tambah produk serta teknologi baru.

Katanya, perubahan disasarkan bagi bidang pertanian memerlukan pendekatan baru, bukan lagi kaedah tradisional atau secara fizikal.

Beliau juga menggariskan tiga kaedah menjayakan hasrat itu iaitu melaksanakan projek pertanian secara intensif, melalui integrasi dan besar-besaran untuk mencapai potensi maksimum serta menggunakan kaedah saintifik melalui teknologi baru.

Pada sidang akhbarnya, Najib berkata, perlu ada hubungan antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terbabit dalam sektor pertanian dengan pengusaha kecil supaya kedua-dua pihak memperoleh manfaat daripada kemajuan bidang berkenaan.

0 comments: