Keperkasaan Amerika boleh binasa sekelip mata

Subky Abdul Latif
Mon | Oct 29, 07 | 3:02:59 pm MYT

Hanya dalam beberapa hari berpuluh ribu ekar kawasan perumahan, kebun dan rimba di selatan California hangus dijilat api. Setengah juta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman ke tempat selamat, kehilangan rumah dan harta benda yang mereka bina sepanjang hidup.

Kebakaran yang terburuk bagi negeri California dan negara Amerika itu merebak cepat dan tidak dapat dikawal oleh kesempurnaan sistem pencegahan bencana negara itu. Ia disebabkan oleh turunnya ribut yang begitu kencang menyebabkan api melarat begitu pantas.

Amerika adalah negara termaju di dunia, rakyatnya menikmati pelajaran, teknologi, ekonomi, demokrasi dan lain-lain yang terbaik di dunia. Sistem pencegahan bencana seperti kebakaran, ribut, banjir dan tanah runtuh yang dikira canggih.

Dan dengan semua persiapan bagi menghadapi berbagai-bagai kemungkinan bencana itu tidak mampu mengawal dan membendung bencana kebakaran yang berlaku begitu pantas itu. Kebakaran itu hanya reda apabila angin kencang memperlahankan tiupannya.

Yang terjadi itu hanya dikira sebagai satu bencana dan tragedi. Tiada pernah manusia dapat mengelak dari bencana datang, baik ia dapat dikesan awal oleh kemajuan ilmu manusia atau ia datang dengan tiba-tiba.

Kebakaran di California itu adalah antara beberapa siri bencana yang melanda Amerika selepas peristiwa 11 September, 2001. Sebelum bumi itu terbakar ia telah didahului oleh beberapa taufan yang berbagai-bagai nama di New Orleans, Teluk Mexico, Texas dan lain-lain.

Sekalian taufan itu dapat dikesan awal dan disediakan persiapan, tetapi tidak ada apa yang dapat menghalang bencana itu dari menelan mangsa yang banyak termasuk terbunuh.

Sebagaimana Indonesia dalam beberapa tahun ini kerap diserang gempa dan gegaran bumi, maka begitulah Amerika kerap didatangi bencana.

Bukan Amerika saja dilanda bencana, tempat lain juga ada habuannya termasuk Malaysia. Bencana bukan suatu yang baru, bahkan telah ada sejak wujudnya sejarah manusia bermula dari banjir besar pada zaman Nuh a.s., taufan kencang pada zaman Hud a.s. dan petir yang melanda kaum Tsamud pada zaman Salleh a.s.

Dan di sepanjang sejarah pada nabi ada saja bencana melanda. Semua bencana itu disebabkan oleh azab ke atas kaum-kaum yang ingkar kepada peraturan Allah dan mendustakan nabi-nabi. Sesudah umat-umat itu mendustakan utusan Allah dan mempersetankan amaran azab yang utusan itu beritahu, malah minta supaya azab itu dibuktikan, maka datanglah azab itu.

Setiap azab atau bencana yang melanda itu lazimnya memusnah terus kaum itu. Kaum Nuh tinggal tiga orang anaknya dan sekitar 80 pengikut yang tidak berzuriat. Hanya tiga orang anak Nabi Nuh a.s. menyambung zuriat yang ramai hingga hari ini.

Kaum Aad habis binasa. Kaum Aad yang berada di luar kawasan bencana pun kemudiannya binasa hingga tiada langsung benih Aad di dunia. Begitu juga Tsamud dan kaum Lut. Memang had bencana itu saja riwayatnya.

Tetapi siapakah yang berupaya mengira bencana seperti tsunami, taufan dan kebakaran seperti yang melanda California - yang Hollywood terletak di dalamnya - adalah antara siri azab yang melanda kaum Nuh, Aad, Tsamud dan Lut dulu?

Bangsa Amerika yang anutan rasminya adalah Kristian (satu cabang agama dari langit yang tahu tentang azab tadi dari kitab-kitab sucinya) tidak pernah berhajat membandingkan azab silam itu dengan bencana taufan dan kebakaran itu. Ia dikira bencana alam sahaja tetapi bukan lanjutan azab Allah atas pendustaan ke atas utusan Allah.

Setiap yang beriman kepada Allah, nabi akhir zaman dan hari kiamat tetap menerima semua bencana itu adalah siri azab terhadap keingkaran manusia. Tetapi atas rahmat yang Nabi Muhammad s.a.w. bawa, azab atas umatnya tidak seazab yang menimpa umat-umat terdahulu.

Bagi Amerika yang mendustakan Rasulullah s.a.w., memfitnahkan Islam itu sebagai keganasan, membunuh ribuan umat Islam di Iraq, Afghanistan, Palestin, menyeksa orang beriman di penjara Guantanamoa Bay, Abu Gharib dan lain-lain, maka semua siri bencana selepas 11/9 adalah rantai azab yang bermula dari zaman Nuh a.s. dulu.

Cuma doa Rasulullah s.a.w. diperkenan supaya azab atas umatnya tidak sampai seteruk umat-umat terdahulu. Banjir di Kota Tinggi tidak sampai mengakhiri benih bangsa Melayu, tsunami di Aceh tidak melenyapkan bangsa Indonesia dan kebakaran di California tidak sampai membinasakan seluruh bangsa Amerika.

Jika tidaklah perkenan Allah atas doa baginda, nescaya dosa Hollywood dan kekejaman Amerika di dunia boleh membakar seluruh bumi dan bangsa Amerika. Tetapi kebakaran di California menyeksa setengah juta penduduk dan puluhan ribu hektar tanah hanyalah peratus kecil dari bangsa Amerika yang hampir 300 juta itu. Ia sebagai amaran dan peringatan betapa keperkasaan Amerika boleh dibinasakan sekelip mata oleh Allah.

Kalau Amerika itu berada pada zaman Nuh, nescaya habis benua itu tenggelam, jika berada di zaman Lut nescaya bumi Amerika utara menjadi Laut Mati yang lebih luas. Tinggallah Kanada dan Mexico dalam peta Amerika utara.

Berapa ramai orang yang mahu berfikir begitu bahawa kebakaran itu adalah bala Allah. Kaum Amerika dan Eropah tidak berfikir begitu dan tidak mahu mengambil iktibar dari kisah dari al-Quran. Jangankan mereka, umat Islam pun terlupa dengan kisah al-Quran itu, apalah lagi pemuja Islam Hadhari.

Kecuali umat Nabi Yunus. Cepat-cepat bertaubat apabila ada ancaman azab dari langit. Seratus peratus umatnya Allah selamatkan dari bala. Senang mereka di dunia untuk beberapa lama.

0 comments: