Hasil ujian kesan letupan didedah hari ini

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang masuk hari ke-53 esok akan disambung dengan keterangan oleh seorang lagi ahli kimia berhubung ujian kesan letupan dan perbandingan terhadap 70 barang bukti.

Ketua Unit Senjata Api dan Kesan Alat di Seksyen Kriminalistik, Bahagian Forensik, Jabatan Kimia, Petaling Jaya, Shaari Desa, 40, akan mengecam semua barang itu termasuk senjata api dan kelongsong peluru yang disimpan dalam 69 sampul surat.

Beliau juga akan menjelaskan satu demi satu proses analisis yang telah dijalankan ke atas barang bukti yang antaranya diambil dari tempat kejadian serta rumah dan kenderaan tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar.

Pakar tersebut juga akan mendedahkan beberapa penemuan atau hasil daripada ujian yang bakal menjurus kepada satu kesimpulan.

Pemeriksaan utama terhadap saksi pendakwa ke-40 akan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin.

Bagaimanapun, keterangan beliau dijangka mengambil masa beberapa hari bagi membolehkan semua barang bukti dikemuka selain disoal balas oleh peguam bela.

Pada 9 Oktober lalu, Shaari sempat memberi keterangan tentang 70 barang kes yang telah diterima untuk dianalisis dan ujian perbandingan.

Beliau yang sepatutnya menyambung keterangan pada 22 Oktober lalu bagaimanapun tidak dapat berbuat demikian kerana mendapat rawatan di hospital.

0 comments: