Kenaikan harga barang halangan buat kerajaan adakan pilihan raya

Muhammad Nor Abd Samad
Mon | Oct 29, 07 | 3:29:12 pm MYT

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Hrkh) - Biarpun harga komoditi Malaysaia melonjak di pasaran antarabangsa, tetapi masyarakat umum di negara ini marah dengan kenaikan harga barang-barang keperluan harian dan hal ini beserta kelembapan ekonomi Amerika didapati memberi banyak masalah kepada kerajaan untuk mengadakan pilihan raya.

Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mempunyai masa sehingga Mac 2009 untuk mengadakan pilihan raya namun menurut jangkaan ia akan didakan dalam masa beberapa bulan ini.

Sementara itu parti-parti pembangkang didapati mendapat faedah yang besar daripada rasa tidak puas hati rakyat berikutan keadaan ini serta beberapa kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran Abdullah.

"Saya telah menjelajah ke seluruh negara dan saya dapati rakyat memang marah dengan kenaikan harga barang keperluan asas," kata penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato' Seri Anwar Ibrahim, seperti yang dilaporkan AFP.

"Sudah pasti pengundi akan marah dan ini akan memberikan kesan yang besar kepada kerajaan Abdullah. Kenaikan harga barang sudah pasti akan menjadi menu utama dalam kempen kami," katanya.

Kenaikan harga minyak yang mendadak Februari lepas telah mencetuskan protes rakyat secara besar-besaran dan terpaksa berhadapan dengan keganasan pihak polis dan ini menjelaskan bahawa isu kenaikan harga barang merupakan isu yang besar di kalangan rakyat. - mns

0 comments: