Hanya seorang saksi beri keterangan


NIK SAPEIA Nik Yusoff (dua dari kiri) dan isteri, Dr. Suraini Yahya bersama peguamnya, Zainal Abidin Mustaffa (dua dari kanan) dan Abdul Aziz Nawi (kanan) di luar Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan, semalam.

KOTA BHARU 28 Okt. – Perbicaraan kes ahli perniagaan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff, 53, yang dituduh menyebabkan kecederaan ke atas empat lelaki termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad Julai tahun lalu di Mahkamah Majistret di sini, hari ini berlangsung singkat dengan hanya seorang saksi tampil memberi keterangan.

Perbicaraan memasuki hari ke-13 di hadapan Majistret Azman Mustapha itu ditangguhkan esok selepas saksi yang sepatutnya memberikan keterangan hari ini tidak dapat hadir.

Selain itu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran turut memaklumkan terdapat seorang lagi saksi yang turut dijadualkan memberikan keterangan.

Bagaimanapun, katanya, sehingga hari ini masih belum dapat diserahkan sapina kepadanya.

Terdahulu, mahkamah dimaklumkan mengenai pelantikan seorang lagi peguam untuk tertuduh iaitu Datuk Abdul Aziz Nawi yang juga bekas Ketua Polis Kelantan.

Sementara itu, perbicaraan hari ini menyaksikan Sarjan Nasir Mohamad yang bertugas di Makmal Forensik Polis, Cheras yang telah memberikan keterangan dipanggil semula bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung prosedur pendaftaran barang kes iaitu pita rakaman kejadian.

Selepas keterangan saksi berkenaan, Azman memutuskan agar kes membabitkan ahli perniagaan itu disambung esok dengan seorang saksi baru pendakwa.

Sejak perbicaraan berlangsung pada 11 Mac lalu, pihak pendakwa raya telah memanggil seramai 14 orang saksi termasuk Dr. Mahathir dan tiga lagi mangsa.

Nik Sapeia didakwa menyebabkan kecederaan ke atas empat lelaki termasuk Dr. Mahathir secara menyembur bahan berbahaya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 11 pagi, 28 Julai tahun lalu.

Selain Dr. Mahathir dan bekas ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, Nik Sapeia juga dituduh mencederakan dua lagi individu iaitu Mohd. Nasir Muda, 45, dan ahli perniagaan Sobri Sahidan.

Ahli perniagaan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun, atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Selain Raja Rozela, pendakwaan turut dikendalikan oleh Khairul Anuar Wahab manakala tertuduh diwakili peguam bela Zainal Abidin Mustaffa dan Mohd. Ilyas Mohd. Noor.

0 comments: