Guna segala sumber dalam pembangunan

PENDANG 28 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, negeri-negeri utara tanah air yang selama ini banyak bergantung kepada sektor pertanian boleh menjadi lebih maju sekiranya segala sumber yang ada diusaha dan dibangunkan.

Menurutnya, sektor pertanian terutama tanaman padi telah banyak mengalami perubahan dan turut membawa pembangunan di Kedah, Perlis, utara Perak dan Seberang Perai di Pulau Pinang.

Malah katanya, Kedah boleh menjadi sebuah negeri yang paling maju kerana ia sebuah negeri yang besar dan mempunyai potensi ke arah tersebut.

‘‘Keadaan ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja, sesuatu perlu kita lakukan bagi mencapai hasrat tersebut,” katanya di hadapan kira-kira 10,000 orang yang menghadiri Perhimpunan Rakyat Bersama Perdana Menteri di Mini Stadium Pendang di sini hari ini.

Beliau berkata, mereka yang terlibat dalam pembangunan di negeri-negeri berkenaan perlu memberi tumpuan untuk menggunakan segala sumber yang ada untuk lebih membangun dan makmur berbanding hari ini.

Perdana Menteri menegaskan, pembangunan itu juga perlu dilakukan secara menyeluruh dan bukannya melibatkan sesetengah kawasan agar dapat dirasai semua pihak.

Sebab itulah kata beliau, kerajaan memperkenalkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor Utara) bagi negeri-negeri di utara tanah air.

Beliau yang diiringi isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah sebelum itu melawat ladang jagung di Bukit Kayu Hitam dan melancarkan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) negeri-negeri utara secara serentak di kediaman rasmi Menteri Besar di Mentaloon.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan isteri, Datin Seri Noraini Abdullah, Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin serta Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Md. Rozai Shafian.

Sementara itu pada majlis makan malam dan perjumpaan bersama kakitangan awam kerajaan negeri dan persekutuan di Alor Star malam ini, Abdullah berkata, Program Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) akan membantu beberapa kawasan yang mundur di Kedah menjadi kawasan yang membangun dan maju.

“Kedah akan lihat satu kemajuan yang tidak pernah dalam sejarah...Saya beri komitmen untuk membantu Kedah mencapainya,” katanya.

Katanya, sejak pelancaran NCER, kerajaan negeri Kedah telah memberi respons yang baik bagi memastikan semua perancangan menjadi realiti.

“Kita berharap respons yang baik dari segi kecekapan, produktiviti, ketangkasan dan bukan sekretariat kerajaan sahaja yang harus cekap tetapi seluruh jabatan kerajaan termasuk pejabat-pejabat di daerah mesti cekap,” kata beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta semua kakitangan kerajaan negeri dan kerajaan pusat menjalinkan satu kerjasama yang erat dalam usaha mencapai hasrat kerajaan untuk memajukan Kedah.

0 comments: