Sazali ungguli lagi Mr. Universe


Sazali Samad.

KUALA LUMPUR – Sazali Samad terus mempamerkan kejaguhannya dengan menggondol gelaran Mr. Universe buat kali keempat dalam Kejohanan Bina Badan Amatur Dunia ke-61 di Jaeju, Korea Selatan, semalam.

Dia menjuarai kategori lightweight (70 kilogram) yang baru diceburinya selepas bergelar juara dunia bagi bantamweight (65kg) di Melaka pada 2000, Moscow 2004 dan Ostrava 2006.

Khabar gembira daripada anggota polis berpangkat sarjan kelahiran Batu Pahat, Johor itu disampaikan oleh Setiausaha Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF), Francis Yong kepada Utusan Malaysia, semalam.

Lebih bermakna dalam kejayaannya kali ini ialah apabila ia tetap diperoleh tanpa bimbingan jurulatih Milos Sarcev dari Amerika Syarikat yang menamatkan kontraknya sejak berakhirnya Sukan Asia Doha tahun lalu.

Kejayaan ini juga merupakan yang kedua di peringkat antarabangsa bagi Sazali sejak beralih kategori selepas memenanginya dalam percubaan pertama pada Sukan Polis dan Bomba Dunia di Australia, Mac lalu.

Sazali yang hanya meraih pingat perak di Doha, turut akan ke Sukan SEA Korat tetapi hanya sebagai jurulatih muka baru, Buda Anchah (bawah 70kg), Mohd. Salim Mat Salleh (bawah 60kg) dan Tun Jahfar Abdul Rahim (bawah 55kg).

0 comments: