Soalan dwibahasa diteruskan

Oleh Mohd Roji Abdullah

Kajian 3 tahun keberkesanan pengajaran BI di sekolah rendah: Hishammuddin

KLUANG: Kerajaan memutuskan peperiksaan subjek Matematik dan Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diteruskan dalam dwibahasa, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan sementara kajian menyeluruh mengenainya selesai dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata malam kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengumumkan keputusan sama membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT).


"Hari ini (semalam) saya diminta untuk membuat pengumuman membabitkan sekolah kebangsaan. Saya dan Menteri Besar (Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman) diminta secara bersama mengumumkan keputusan membabitkan sekolah kebangsaan yang kita capai dalam perbincangan Biro Pendidikan Umno.

"Saya menegaskan keputusan itu dibuat bersandarkan kepada kajian dan penelitian menyeluruh sistem pendidikan sekolah rendah di negara kita," katanya kepada pemberita selepas Majlis Aidilfitri Parlimen Sembrong di Dewan Taman Sri Lambak di sini, semalam.

Malam kelmarin dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam dan Persembahan Kebudayaan 50 Tahun Malaysiaku Gemilang anjuran MCA di Kuala Lumpur, Abdullah berkata, peperiksaan Matematik dan Sains di sekolah jenis kebangsaan akan diteruskan dalam dwibahasa, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa ibunda.


Hishammuddin berkata, ekoran keputusan itu kajian menyeluruh berhubung kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris terutamanya di sekolah rendah akan dibuat dalam tempoh dua tiga tahun lagi, merangkumi pelbagai aspek termasuk UPSR.

"Ini bermakna UPSR perlu kita kaji semula, kurikulum juga perlukan penelitian dan pada masa sama kita harus mengkaji sistem pendidikan guru serta cara kita mentadbir sekolah rendah dari tahun satu hingga tahun enam," katanya.

Hishammuddin berharap pengumuman itu mendapat maklum balas positif daripada semua pihak kerana ia dibuat selepas kerajaan menyedari ada kekurangan terutama di sekolah luar bandar jika peperiksaan dilaksanakan dalam satu bahasa iaitu bahasa Inggeris.

Sementara itu, Abdul Ghani, ketika berucap pada majlis sama berkata, ada pihak tersalah tafsir apabila Umno Johor baru-baru ini mengemukakan usul supaya bahasa kebangsaan dikekalkan bagi pembelajaran Sains dan Matematik.

Beliau berkata, Umno Johor menyokong penekanan yang dibuat di peringkat dasar dan bukannya bermaksud untuk menghalang terus pembelajaran bahasa Inggeris.

"Ada beranggapan Umno Johor tidak mahu anak kita belajar bahasa Inggeris kerana mengemukakan usul itu, tetapi sebenarnya Umno Johor menyokong kuat langkah kerajaan menggalakkan anak menguasai pelbagai bahasa," katanya.

0 comments: